Sifat Orang Munafik yang Berhukumkan Taghut dan Musuh Islam
Surah 4: An-Nisa’ (60 – 63)
Ayat 60
أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ ءَامَنُوا۟ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوٓا۟ إِلَى ٱلطَّـٰغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوٓا۟ أَن يَكْفُرُوا۟ بِهِۦ وَيُرِيدُ ٱلشَّيْطَـٰنُ أَن يُضِلَّهُمْ ضَلَـٰلًۢا بَعِيدًا
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.
Ada beberapa riwayat tentang sebab turunnya ayat ini, antaranya ialah daripada Ibnu Abi Hatim dan At-Tabari meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, Abu Barzah Al-Aslamiy adalah seorang dukun, dia menjadi hakim bagi orang-orang Yahudi dalam hal yang sedang mereka perselisihkan, kemudian ada juga orang-orang Islam datang menemuinya dan meminta untuk memutuskan hukuman, lalu Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan ayat ini.
Ayat ini menjelaskan pengingkaran Allah Swt terhadap orang-orang yang mengaku beriman kepada apa yang Dia turunkan kepada Rasulullah saw dan para nabi yang terdahulu, tetapi dalam memutuskan permasalahan, mereka tidak berhukum kepada kitabullah dan sunnah rasul-Nya.
Mereka adalah orang-orang Munafik yang mengaku beriman namun tidak mahu menjadikan Rasulullah saw sebagai hakim. Mereka malah mengangkat seorang dukun iaitu Abu Barzah Al-Aslami atau seorang Yahudi iaitu Ka’ab bin Al-Asyraf sebagai hakim. Dukun dan orang Yahudi itu diistilahkan sebagai taghut kerana mereka menetapkan hukum yang sangat bertentangan dengan hukum Allah Swt, sangat memusuhi Baginda serta jauh daripada kebenaran. Firman-Nya:
“Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah taghut itu,” maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya…………”
An-Nahl 16:36
Mereka mengikuti bisikan dan hasutan syaitan apabila mereka membelakangi Rasulullah saw. Ini kerana syaitan akan berusaha sedaya upaya menyesatkan dan menjauhkan manusia daripada jalan kebenaran.
Ayat 61
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا۟ إِلَىٰ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَإِلَى ٱلرَّسُولِ رَأَيْتَ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ يَصُدُّونَ عَنكَ صُدُودًا
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.
Dalil kemunafikan mereka adalah apabila diajak untuk mengikuti hukum berdasarkan Al-Quran dan keputusan yang dibuat oleh Rasulullah saw, mereka berpaling, tidak suka dengan cara tersebut dan cuba menghalang orang yang ingin mengikutinya.
Mereka berpaling daripada Rasulullah saw seperti orang-orang yang sombong sebagaimana firman Allah Ta’ala tentang orang-orang Musyrik :
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang diturunkan Allah.” Mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami (hanya) mengikuti apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya.” Dan apakah mereka (akan mengikuti bapa-bapa mereka) walaupun syaitan itu menyeru mereka ke dalam seksa api yang menyala-nyala (Neraka)?”
Luqman 31:21
Mereka jelas berbeza dengan orang-orang yang beriman yang digambarkan oleh Allah dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya jawapan orang-orang Mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan, “Kami mendengar, dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
An-Nur 24:51
Ayat 62
فَكَيْفَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌۢ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ ثُمَّ جَآءُوكَ يَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ إِنْ أَرَدْنَآ إِلَّآ إِحْسَـٰنًا وَتَوْفِيقًا
Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: “Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah)”.
Akhirnya orang-orang Munafik itu ditimpa musibah akibat dosa, kekufuran, kemaksiatan dan kehinaan yang telah mereka lakukan. Mereka terpaksa menemui Rasulullah saw, meminta bantuan untuk menghilangkan musibah tersebut kerana mereka tidak mampu menghindarinya.
Mereka pun datang menemui Baginda dan bersumpah menggunakan nama Allah Swt, bahawa mereka sekali-kali tidak memerlukan penyelesaian selain yang diputuskan oleh Baginda. Mereka memohon maaf kepada Baginda dan memberikan alasan bahawa perbuatan mereka mendapatkan penyelesaian kepada orang lain dan berhukum kepada musuh-musuh Baginda itu, tidak lain adalah untuk kebaikan dan perdamaian. Mereka mengatakan bahawa mereka hanya berpura-pura, bukannya atas keyakinan mereka tentang sahnya (benarnya) hukuman (tahkim) tersebut.
Ayat 63
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ يَعْلَمُ ٱللَّهُ مَا فِى قُلُوبِهِمْ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَعِظْهُمْ وَقُل لَّهُمْ فِىٓ أَنفُسِهِمْ قَوْلًۢا بَلِيغًا
Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka.
Allah Swt menyatakan bahawa mereka ini adalah orang-orang Munafik. Dia Maha Mengetahui apa yang terdapat di dalam hati mereka dan mereka akan dibalas oleh-Nya atas perbuatan mereka. Ini kerana tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada-Nya dan Dia Maha Mengetahui zahir dan batin mereka.
Oleh itu, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw berpaling daripada mereka dan tidak bersikap kasar terhadap apa yang ada di dalam hati mereka. Dia juga memerintahkan Baginda menjelaskan kepada mereka hukum-hukum-Nya, menyampaikan dorongan (targhib) dan ancaman (tarhib) atas kemunafikan yang tertanam dalam hati iaitu sentiasa berniat buruk dan berdusta.