Allah Swt Mengampunkan Dosa selain Syirik
Surah 4: An-Nisa’ (48)
Ayat 48
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفْتَرَىٰٓ إِثْمًا عَظِيمًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.
Diriwayatkan daripada Abu Dzarr ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman, ‘Wahai hambaKu, selama kalian beribadah dan berharap kepadaKu, maka Aku akan mengampunimu, apa pun kesalahan yang ada padamu. Wahai hambaKu, seandainya engkau bertemu denganKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi, selama engkau tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu yang lain, nescaya Aku akan menemuimu dan membawa keampunan sepenuh itu juga.'”
(HR. Ahmad)
Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud ra, dia bertanya: “Wahai Rasulullah, dosa apakah yang paling besar?” Baginda menjawab:
“Engkau menjadikan tandingan bagi Allah, padahal Dia-lah yang menciptakanmu.” Dan Baginda meneruskan dengan sambungan hadis ini.
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Syirik ialah perbuatan menyembah makhluk yang lemah dan serba kekurangan di samping Allah Al-Khaaliq yang Maha Sempurna. Padahal Allah Maha Kaya tidak memerlukan makhlukNya dalam mencipta dan mengurus seluruh makhluk-Nya. Semua kenikmatan yang diterima makhluk tidak ada satu pun yang bukan berasal daripadaNya. Namun demikian, ayat ini ditujukan khusus kepada pelaku syirik yang tidak bertaubat. Sekiranya dia bertaubat, maka Allah Swt mengampuninya daripada dosa-dosanya sebagaimana firman Allah:
“Katakanlah: ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’”
Az-Zumar 39:53