Sikap Orang Yahudi yang Memilih Kesesatan dan Ancaman Allah Swt terhadap Mereka
Surah 4: An-Nisa’ (44 – 47)
Ayat 44
أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ نَصِيبًا مِّنَ ٱلْكِتَـٰبِ يَشْتَرُونَ ٱلضَّلَـٰلَةَ وَيُرِيدُونَ أَن تَضِلُّوا۟ ٱلسَّبِيلَ
Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Muhammad) orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka memilih kesesatan (dengan meninggalkan pertunjuk Tuhan), dan mereka pula berkehendak supaya kamu juga sesat jalan.
Allah Swt menceritakan keadaan orang-orang Yahudi (semoga laknat Allah Swt kepada mereka terus menerus hingga ke Hari Kiamat) bahawa mereka telah menukar hidayah dengan kesesatan dan meninggalkan hujjah-hujjah dan bukti-bukti nyata yang menunjukkan kebenaran utusan-Nya iaitu Rasulullah saw. Mereka juga menyembunyikan sifat kenabian Nabi Muhammad saw dalam kitab Taurat.
Selain itu mereka juga ingin menyesatkan orang-orang yang beriman daripada jalan yang benar dan lurus iaitu beriman kepada Allah Swt dan Rasul-Nya.
Ayat 45
وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِأَعْدَآئِكُمْ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَلِيًّا وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ نَصِيرًا
Dan Allah lebih mengetahui berkenaan dengan musuh-musuh kamu, (oleh itu awasilah angkara musuh kamu itu). Dan cukuplah Allah sebagai Pengawal yang melindungi, dan cukuplah Allah sebagai Penolong (yang menyelamatkan kamu dari angkara mereka).
Allah Swt menyatakan walaupun orang-orang Yahudi ini berusaha sekuat tenaga untuk menyesatkan orang-orang yang beriman, Dia sebagai Pelindung dan Penolong kepada orang-orang beriman akan sentiasa memelihara serta membantu mereka melawan musuh-musuh. Oleh itu orang-orang beriman tidak perlu gusar terhadap musuh-musuh mereka.
Allah Swt lebih mengetahui tentang permusuhan orang-orang Yahudi terhadap orang-orang beriman daripada orang-orang beriman itu sendiri. Cukuplah Allah Swt sebagai Pelindung yang memelihara bagi mereka yang berlindung kepada-Nya dan cukuplah Allah Swt sebagai Penolong bagi orang yang memohon pertolongan-Nya.
Ayat 46
مِّنَ ٱلَّذِينَ هَادُوا۟ يُحَرِّفُونَ ٱلْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِۦ وَيَقُولُونَ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَٱسْمَعْ غَيْرَ مُسْمَعٍ وَرَٰعِنَا لَيًّۢا بِأَلْسِنَتِهِمْ وَطَعْنًا فِى ٱلدِّينِ ۚ وَلَوْ أَنَّهُمْ قَالُوا۟ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَٱسْمَعْ وَٱنظُرْنَا لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ وَأَقْوَمَ وَلَـٰكِن لَّعَنَهُمُ ٱللَّهُ بِكُفْرِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُونَ إِلَّا قَلِيلًا
Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): “Kami dengar”, (sedang mereka berkata dalam hati): “Kami tidak akan menurut”. (Mereka juga berkata): “Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk”, serta (mereka mengatakan): “Raaeina”; (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam. Dan kalaulah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami”, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antara mereka).
Allah Swt menyebutkan contoh kesesatan mereka iaitu mereka berpaling dari kitab Allah Swt setelah mereka memahaminya. Walaupun mengetahui bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah suatu perbuatan dosa dan pasti ada hukumannya mereka tetap melakukannya.
Maksud ayat, “Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar,” ialah mereka mentakwil bukan dengan takwil yang sebenarnya dan menafsirkan bukan dengan tafsiran yang dikehendaki Allah Swt dengan sengaja dan penuh kedustaan.
Allah Swt menyatakan bahawa kata-kata yang diungkapkan oleh orang-orang Yahudi sangat berbeza dengan maksud yang sebenar yang mereka zahirkan. Mereka sebenarnya hanya ingin menghina Rasulullah saw.
Mereka menyebut perkataan “Raa’ina” yang bagi orang-orang mukmin memahami maknanya sebagai, “sudilah memperhatikan kami dengan saksama.” Mereka memutar-mutar lidah sehingga bertukar kepada “Ru’uunah” yang bermaksud, “yang bodoh”, sebagai ejekan kepada Rasulullah saw dan para Sahabat. Inilah sebabnya, Allah swt menyuruh para Sahabat Baginda menukar perkataan “Raa’ina” dengan kata “Unzhurna” sebagaimana yang telah dijelaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 104.
Seterusnya Allah Swt menyatakan sekiranya mereka mengatakan, “Kami mendengar dan patuh,” dan “Dengarlah, dan perhatikanlah kami,” tentulah itu lebih baik bagi mereka dan lebih tepat. Namun disebabkan tabiat mereka yang buruk, hati mereka telah dipalingkan dan dijauhkan daripada kebaikan. Keimanan yang sepatutnya memberi manfaat kepada mereka ternyata tidak menyerap masuk ke dalam hati mereka. Oleh itu, Allah Swt melaknat dan menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya atas kekafiran dan sikap keras mereka.
Ayat 47
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ ءَامِنُوا۟ بِمَا نَزَّلْنَا مُصَدِّقًا لِّمَا مَعَكُم مِّن قَبْلِ أَن نَّطْمِسَ وُجُوهًا فَنَرُدَّهَا عَلَىٰٓ أَدْبَارِهَآ أَوْ نَلْعَنَهُمْ كَمَا لَعَنَّآ أَصْحَـٰبَ ٱلسَّبْتِ ۚ وَكَانَ أَمْرُ ٱللَّهِ مَفْعُولًا
Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (Al-Quran), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu, sebelum Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu (sehingga berubah menjadi rata – tidak bermulut, berhidung dan bermata), lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah melaknatkan orang-orang (dari kaum mereka – Yahudi) yang melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap berlaku.
Allah Swt memerintahkan ahli kitab supaya beriman kepada kitab yang diturunkan kepada Rasulullah saw iaitu Al-Quran yang agung. Al-Quran membenarkan berita-berita yang telah mereka ketahui seperti berita-berita gembira dan juga berita-berita ancaman kepada mereka.
Seterusnya Allah Swt memberi ancaman kepada mereka bahawa Dia akan mengubah wajah mereka atau memutarnya ke belakang, jika mereka tetap tidak mahu beriman dengan Al-Quran dan mengamalkannya.
Al ‘Aufi meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra tentang ayat, “menghapuskan bentuk muka kamu,” maksudnya membutakan. Manakala ayat “lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakangnya,” bermaksud Allah Swt menjadikan wajah-wajah mereka berada di belakang mereka. Inilah perumpamaan yang dibuat oleh Allah Swt tentang orang-orang yang berpaling daripada kebenaran dan memilih kebatilan, serta berbalik daripada jalan yang terang menuju kepada jalan kesesatan. Mereka kebingungan lalu berjalan berundur ke belakang.
Allah Swt juga memberi amaran kepada mereka bahawa Dia akan melaknat mereka sebagaimana yang dilakukan terhadap orang-orang yang melanggar larangan-Nya pada hari Sabtu. Hal ini merujuk kepada orang-orang yang melanggar larangan menangkap ikan pada hari Sabtu dengan menggunakan tipu muslihat, maka mereka diubah menjadi kera. Kisah mereka secara panjang lebar akan disebutkan dalam surah Al-A’raf.
Ketetapan Allah Swt pasti berlaku. Dia tidak akan mengingkarinya dan tidak pula bertangguh-tangguh kerana tiada sesiapa pun yang dapat melemahkan-Nya.