Surah 4: An-Nisa’ (43)

Larangan Orang Mabuk Mengerjakan Solat dan Hukum Berkaitan Junub dan Tayammum

Surah 4: An-Nisa’ (43)


Ayat 43

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَقْرَبُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنتُمْ سُكَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا۟ مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِى سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا۟ ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰٓ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَآءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ ٱلْغَآئِطِ أَوْ لَـٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمْ تَجِدُوا۟ مَآءً فَتَيَمَّمُوا۟ صَعِيدًا طَيِّبًا فَٱمْسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Diriwayatkan oleh Abu Dawud, Tirmidzi, An-Nasai dan Al-Hakim bahawa Abdurrahman bin ‘Auf mengundang makan beberapa orang sahabat. Kemudian dihidangkan minuman khamar (arak, minuman keras), sehingga terganggulah otak mereka. Ketika tiba waktu solat, salah seorang sahabat menjadi imam, dan pada waktu itu beliau membaca dengan keliru: “Qulya ayyuhal kafirun, la a’budu ma ta’budun, wanahnu na’budu ma ta’budun” yang bermaksud, “Katakanlah: `Wahai orang-orang kafir, aku tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kami menyembah apa yang kamu sembah.’ ” Maka turunlah ayat 43 An-Nisa’ sebagai larangan mendirikan solat apabila sedang mabuk. 

Dalam ayat ini, Allah Swt melarang orang-orang yang beriman mengerjakan solat dalam keadaan mabuk sehingga mereka dapat membezakan dan menyedari apa yang mereka ucapkan dalam solat. Larangan ini adalah sebelum turunnya ayat tentang larangan tegas terhadap pengharamannya dalam seluruh keadaan. 

Khamar diharamkan secara berperingkat: 

  • Pada awalnya khamar tidak diharamkan sepenuhnya (Surah Al-Baqarah 2:219). 
  • Kemudian Allah Swt melarang mereka minum khamar ketika hendak mendirikan solat sebagaimana pada ayat di atas. 
  • Akhirnya Allah Swt mengharamkan secara mutlak dalam semua keadaan dan setiap waktu dalam Surah Al-Ma’idah ayat 90, seperti firman-Nya: 

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.” 

Al-Ma’idah 5:90 

Kesimpulan yang juga boleh diambil daripada ayat ini ialah terdapat larangan melakukan solat ketika sangat mengantuk kerana seseorang itu tidak menyedari apa yang diucapkan dan apa yang dilakukannya. Lebih-lebih lagi terdapat anjuran supaya orang yang hendak solat terlebih dahulu memutuskan segala yang dapat menyibukkan fikirannya seperti terasa hendak buang air atau dalam keadaan lapar. Daripada Anas, dia berkata, Rasulullah saw bersabda: 

“Jika salah seorang kalian mengantuk dalam keadaan solat, maka hendaklah dia kembali dan tidur, hingga mengetahui apa yang diucapkan.” 

(HR. Al-Bukhari dan Ahmad) 

Dalam ayat ini juga terdapat larangan kepada mereka agar tidak mengerjakan solat ketika dalam keadaan berjunub dan mendekati tempat-tempat solat iaitu masjid-masjid kecuali sekadar melintasi dari pintu ke pintu sehingga mereka bersuci. 

Sebahagian ulama menjelaskan bahawa erti menyentuh dalam ayat ini adalah bersentuhan kulit dan sebahagian yang lain bermaksud melakukan persetubuhan antara suami isteri. 

Dalam ayat ini juga terdapat keterangan tentang tayammum. Allah Ta’ala membolehkan tayammum dalam dua keadaan: 

1)   Ketika tidak ada air, sama ada ketika bermusafir ataupun tidak. 

2)   Ketika kesulitan menggunakan air, seperti sakit atau lumpuh dan tidak ada orang mengambilkan air untuknya. 

Sakit yang dibenarkan untuk bertayammum adalah sakit yang mendatangkan bahaya jika menggunakan air seperti akan bertambah parah sakitnya atau melambatkan kesembuhannya (walaupun ada air). 

Dalam hal berjunub atau berhadas pula, dibolehkan bertayammum ketika bermusafir. Ini kerana kebiasaannya tidak ada air dan jika ada air pun, air tersebut lebih diperlukan untuk minum. 

Tanah atau debu yang digunakan untuk bertayammum adalah tanah atau debu di atas permukaan bumi, sama ada boleh nampak ataupun tidak pada mata kasar. 

Tatacara bertayammum ialah mengusap wajah dan kedua-dua tangan sehingga ke pergelangan tangan dengan sekali tepukan ke tanah sebagaimana diterangkan dalam hadis Ammar riwayat Imam Ahmad. 

Imam Ahmad mengatakan daripada ‘Abdurrahman bin Abza, bahawa seorang lelaki datang kepada ‘Umar dan berkata, “Sesungguhnya aku junub dan tidak menemukan air.” Maka ‘Umar berkata, “Jangan engkau solat.” ‘Ammar berkata, “Apakah engkau tidak ingat wahai Amirul Mukminin, ketika aku dan engkau di dalam sekelompok pasukan perang, lalu kita mengalami junub dan tidak menemukan air. Adapun engkau, maka engkau tidak melakukan solat, sedangkan aku, maka aku berguling di atas debu lalu solat. Ketika kita mendatangi Nabi, hal itu kuceritakan kepada beliau, lalu Baginda bersabda: ‘Cukuplah engkau begini,’ beliau memukulkan tangannya ke tanah kemudian meniupnya, lalu mengusap wajah dan kedua-dua tapak tangan dengannya.”

Umat ini diberi kekhususan dengan syari’at tayammum yang tidak diberikan kepada umat-umat yang lain. 

Dalam As-Sahihain, diriwayatkan daripada Jabir bin `Abdullah, dia berkata, Rasulullah saw bersabda: “Aku diberi lima hal yang tidak diberikan kepada seseorang (Nabi) sebelumku, Aku dibantu dengan (ditanamkan) rasa gentar (pada diri musuh) sepanjang perjalanan satu bulan, tanah dijadikan untukku masjid dan alat untuk bersuci. Maka siapa sahaja di antara umatku yang mendapatkan waktu solat, maka solatlah.” 

Allah Swt memberi keringanan (rukhsah) dan ini merupakan rahmat dan kasih sayang-Nya. Dia Maha Pemaaf dan Maha Pengampun terhadap hamba-hamba-Nya.