Surah 4: An-Nisa’ (40)

Allah Tidak Akan Mensia-siakan Amalan Seseorang

Surah 4: An-Nisa’ (40)


Ayat 40

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ ۖ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضَـٰعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.

Allah swt menyatakan bahawa Dia tidak sekali-kali akan menzalimi hamba-hambaNya di akhirat nanti. Semuanya akan dihakimi dengan adil. Ini menunjukkan sempurnanya keadilanNya dan kurniaanNya serta Maha Suci Dia daripada kezaliman sama ada besar ataupun kecil. Firman-firmanNya: 

“Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang walau sedikitpun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” 

Al-Anbiya’ 21:47 

“(Luqman berkata): ‘Wahai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.'” 

Luqman 31:16 

Zarah bermaksud sesuatu benda yang paling kecil. Allah swt tidak mengurangi kebaikan seseorang bahkan melipatgandakan balasan. Manakala keburukan-keburukan seseorang tidak dilipatgandakan melainkan dibalas sesuai dengan keburukannya sahaja. Maka sesiapa yang masih melakukan keburukan setelah dia dianugerahi akal, kemampuan (untuk tidak melakukannya) dan pertimbangan baik buruknya, sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri.