Surah 4: An-Nisa’ (38 – 39)

Larangan Bersikap Riya’

Surah 4: An-Nisa’ (38 – 39)


Ayat 38

وَٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَا بِٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۗ وَمَن يَكُنِ ٱلشَّيْطَـٰنُ لَهُۥ قَرِينًا فَسَآءَ قَرِينًا

Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat. Dan sesiapa yang (mengambil) syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.

Allah Ta’ala menyatakan sikap orang-orang yang riya’ iaitu tujuan mereka memberi hanyalah untuk dibanggakan dan dipuji oleh orang serta sama sekali bukan untuk mencari keredhaan Allah Ta’ala. 

Allah Swt  juga menyatakan bahawa syaitanlah yang menyebabkan mereka melakukan perbuatan buruk dan memalingkan mereka daripada ketaatan dengan mencari keredhaan dunia yang berupa pujian terhadap amalan mereka. Syaitan sentiasa menemani mereka dan menyuruh mereka melakukan kemungkaran dengan menghiasi amalan-amalan yang tercela sehingga kelihatan baik. 

Ayat 39

وَمَاذَا عَلَيْهِمْ لَوْ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقَهُمُ ٱللَّهُ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِهِمْ عَلِيمًا

Dan apakah (kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui akan keadaan mereka.

Ayat ini merupakan ayat bantahan dan celaan terhadap orang-orang yang menginfakkan hartanya dengan tujuan riya’ semata-mata sedangkan mereka tidak beriman kepada Allah Ta’ala dan hari kiamat disebabkan godaan syaitan kepada mereka. 

Sebenarnya tiada sesuatu pun yang akan memberikan mudarat atau bahaya sekiranya mereka beriman kepada Allah Swt dan hari kiamat serta menempuh jalan terpuji iaitu meninggalkan sikap riya’ dan menggantikannya dengan ikhlas kerana Allah Ta’ala. 

Ayat ini juga merupakan seruan Allah Swt kepada mereka agar membetulkan niat dan meneguhkan iman. Sebenarnya mereka telah dijerumuskan oleh syaitan dan ayat ini memberi ancaman kepada mereka sekiranya masih berterusan dalam keadaan sedemikian dan tidak mahu bertaubat. 

Allah Swt menyatakan pada akhir ayat ini bahawa Dia Maha Mengetahui niat-niat mereka sama ada yang baik atau yang buruk, serta Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapatkan taufik di antara mereka, lalu diilhamkannya petunjuk serta diberinya taufik sehingga mudah melakukan amal soleh yang diredhai-Nya. 

Dia juga Maha Mengetahui siapa yang berhak dihinakan dan dijauhkan daripada perlindungan-Nya Yang Agung, iaitu siapa yang dijauhkan daripada petunjuk-Nya, maka dia telah gagal dan merugi, baik di dunia mahupun di akhirat. Semoga Allah Swt melindungi kita daripada semua itu. Allahumma aamiin!