Surah 4: An-Nisa’ (36)

Perintah supaya Beribadah hanya kepada Allah, Berbuat Baik kepada Ibu Bapa dan Masyarakat serta Larangan Bersikap Sombong

Surah 4: An-Nisa’ (36)


Ayat 36

وَٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًٔا ۖ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا وَبِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْجَارِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلْجَنۢبِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;

Allah swt memerintahkan orang-orang Mukmin untuk menyembah dan mengesakanNya kerana Dia lah yang mencipta seluruh makhlukNya dan memberikan rezeki serta nikmat kepada makhlukNya dalam setiap keadaan. 

Maka Dia lah yang berhak diesakan, tidak disekutukan dengan sesuatu pun daripada makhlukNya sebagaimana sabda Rasulullah saw kepada Mu’az bin Jabal ra: 

“Tahukah engkau apa hak Allah yang harus ditunaikan oleh hamba-hambaNya?” Mu’az menjawab: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Iaitu mereka hendaklah beribadah kepadaNya dengan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apapun. ” Kemudian Baginda bertanya lagi: “Tahukah engkau apa hak hamba atas Allah, jika mereka melakukan kewajipannya? Iaitu Allah tidak akan menyeksa mereka.” 

(HR. Al-Bukhari) 

Allah swt juga memerintahkan orang-orang beriman berbuat baik kepada ibu bapa kerana ibu bapa yang menjadi sebab seseorang lahir ke dunia. FirmanNya: 

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua orang ibu-bapanya, ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan tempoh menyusukannya selama dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang ibu bapamu, hanya kepadaKu lah kembalimu.” 

Luqman 31:14 

Seterusnya Allah swt menyuruh berbuat baik kepada kerabat baik lelaki mahupun perempuan. Rasulullah saw bersabda: 

“Sedekah kepada orang miskin terhitung satu sedekah. Dan sedekah kepada kerabat terhitung sedekah dan menyambung tali silaturrahim.” 

(HR. Ahmad) 

Allah swt juga memerintahkan agar berbuat baik dan berlaku lemah lembut kepada anak-anak yatim yang telah kehilangan orang yang memelihara dan menanggung nafkah mereka, jiran tetangga dan Ibnu Sabil iaitu orang yang dalam perjalanan dan kehabisan bekal serta hamba sahaya sama ada lelaki atau perempuan. 

Maksud berbuat baik kepada orang-orang miskin iaitu orang-orang yang sangat memerlukan bantuan bagi mencukupkan keperluan mereka dan menghilangkan kesulitan yang mereka alami. 

Ali bin Abi Thalhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra tentang “tetangga yang dekat.” Beliau mengatakan maksudnya ialah orang yang memiliki hubungan kerabat sedangkan “tetangga yang jauh” ialah orang yang tidak mempunyai hubungan kerabat. Banyak hadis menjelaskan tentang berbuat baik kepada tetangga dan salah satunya ialah daripada Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah saw bersabda: 

“Jibril sentiasa mewasiatkan aku agar berbuat baik kepada tetangga, sehingga aku menyangka mereka akan diwarisi.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Selain itu ayat ini juga mengandungi perintah agar memperhatikan dan berbuat baik kepada hamba sahaya kerana kedudukan mereka lemah dan menjadi tawanan di tangan manusia. Pada saat menjelang wafatnya Rasulullah saw, Baginda bersabda: 

“Jagalah solat, jagalah solat dan (perhatikanlah) hamba sahayamu.” 

(HR. An-Nasa’i) 

“Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri” ertinya Allah swt tidak menyukai orang yang sombong terhadap dirinya, bangga, angkuh dan sombong kepada orang lain. Orang yang sombong berasa dia lebih baik, lebih segala-galanya daripada orang lain.