Surah 4: An-Nisa’ (35)

Mendamaikan Pertelingkahan Suami Isteri

Surah 4: An-Nisa’ (35)


Ayat 35

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَٱبْعَثُوا۟ حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِۦ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصْلَـٰحًا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيْنَهُمَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.

Jika terjadi persengketaan di antara suami isteri, maka hendaklah didamaikan oleh hakim sebagai orang tengah. Hakim boleh melantik hakam atau juru damai bagi mewakili pihak keluarga lelaki dan juga pihak keluarga wanita untuk meneliti masalah mereka. Hakam mestilah seorang muslim yang mukallaf (baligh dan berakal) dan adil serta mengetahui perkara yang sebenarnya terjadi kepada kedua-dua pihak suami isteri. 

Hakam tersebut perlu memperhatikan sebab-sebab perselisihan yang terjadi kepada kedua-dua suami isteri, kemudian setelah dikenal pasti masalah tersebut, hakam itu menasihati mereka agar mengambil peranan masing-masing untuk melaksanakan kewajipan mereka. Oleh sebab adanya niat baik daripada kedua-dua hakam itu untuk mendamaikan kedua-dua pihak, Allah Swt akan memberikan taufik kepada pasangan tersebut. 

Allah Maha Teliti bermaksud  pengetahuan dan ketelitian-Nya adalah mensyariatkan hukum-hukum ketika terjadi pertengkaran suami dan isteri serta menetapkan syariat yang sangat indah kepada hamba-hamba-Nya.