Hak Ahli Waris atas Peninggalan Kedua Orang Tua dan Kerabat
Surah 4: An-Nisa’ (33)
Ayat 33
وَلِكُلٍّ جَعَلْنَا مَوَٰلِىَ مِمَّا تَرَكَ ٱلْوَٰلِدَانِ وَٱلْأَقْرَبُونَ ۚ وَٱلَّذِينَ عَقَدَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ فَـَٔاتُوهُمْ نَصِيبَهُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدًا
Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat. Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
Allah Swt menjelaskan bahawa ahli waris akan mewarisi harta peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat sebagaimana hukum syariat yang telah dijelaskan. Firman-Nya:
“………….Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
Al-Anfal 8:75
Dalam pembahagian harta pusaka sangat memungkinkan terjadinya kezaliman atau sewenang-wenangnya menguruskannya kerana kebanyakan manusia sangat menyukai harta. Oleh itu, Allah Swt menyatakan bahawa Dia Maha Menyaksikan atas segala sesuatu sehingga tiada suatu perbuatan manusia pun yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya. Maka hendaklah mereka bertakwa dan tidak melakukan penyelewengan.
‘Ashabah adalah orang yang mewarisi baki harta setelah pemilik bahagian (Ashabul Furudh) mengambil bahagiannya atau yang mewarisi semua harta jika tidak ada Ashabul Furudh dan tidak mendapat apa-apa jika Ashabul Furudh mewarisi kesemua harta pusaka tersebut.
Maksud “Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka maka berikanlah kepada mereka bahagiannya.” adalah merujuk kepada hal yang berlaku pada masa permulaan Islam iaitu ketika kaum Muhajirin datang ke Madinah dan mendapat warisan kaum Ansar tanpa ikatan kerabat tetapi kerana ikatan persaudaraan sesama Islam. Setelah turun ayat ini, maka ahli waris yang mewarisi tanpa ikatan kerabat seperti ini dimansuhkan. Namun begitu, mereka perlu diberikan pertolongan dan dalam hal ini berwasiat untuk mereka adalah dibolehkan.