Surah 4: An-Nisa’ (31)

Perintah supaya Menjauhi Dosa-dosa Besar

Surah 4: An-Nisa’ (31)


Ayat 31

إِن تَجْتَنِبُوا۟ كَبَآئِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

Allah Ta’ala menganugerahkan kepada orang-orang mukmin janji yang benar iaitu sesiapa yang menjauhi dosa-dosa besar, Dia akan menghapuskan dosa-dosa kecil mereka dan memasukkan mereka ke dalam syurga. 

Tujuh dosa besar dijelaskan dalam hadis sahih, daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda: 

“Jauhilah oleh kamu tujuh dosa yang membinasakan. Seseorang bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah itu?” Baginda bersabda: “Syirik kepada Allah, membunuh jiwa yang diharamkan Allah swt kecuali dengan benar, sihir, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang serta menuduh zina kepada wanita yang suci terpelihara lagi beriman dan tidak terlintas untuk berbuat zina.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)