Larangan Makan Harta secara Batil dan Membunuh
Surah 4: An-Nisa’ (29 – 30)
Ayat 29
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
Allah Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya yang beriman mengambil dan memakan harta sesama mereka dengan cara yang batil iaitu dengan cara mencuri, menipu, riba, perjudian dan sebagainya.
Namun Allah swt membenarkan dan menghalalkan tukar menukar barang secara jual beli berdasarkan kerelaan atau keredhaan antara penjual dan pembeli. Rasulullah saw bersabda:
“Penjual dan pembeli berhak untuk memilih (antara jadi atau membatalkan jual beli) selama kedua-duanya belum berpisah.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Maksud ayat, “Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri” adalah larangan kepada seseorang mukmin melakukan pembunuhan terhadap diri sendiri yang biasanya dilakukan dalam keadaan marah dan tidak dapat mengawal emosinya.
Namun jumhur mufassir mengatakan bahawa ayat tersebut bermaksud dilarang sebahagian orang-orang beriman membunuh sebahagian yang lain. Ini kerana orang-orang yang beriman bagaikan satu jiwa. Rasulullah saw bersabda:
“Orang-orang beriman adalah bagaikan satu tubuh, jika kepalanya terasa sakit, maka semua anggotanya juga akan berasa sakit, dan jika matanya terasa sakit, maka semua anggotanya juga akan turut berasa sakit.”
(HR. Muslim)
Manakala dalam tafsir Ibnu Kathir pula, dinyatakan bahawa ayat “Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri” ini bermaksud dilarang melakukan hal-hal yang diharamkan oleh Allah iaitu melakukan kemaksiatan terhadap-Nya seperti memakan harta secara batil dan lain-lain. Hal ini akan mengakibatkan kebinasaan kepada diri sendiri.
Apa yang Allah Swt perintah dan larang untuk dilakukan adalah bukti kasih sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang.
Ayat 30
وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَٰنًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا
Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).
Ayat ini merupakan peringatan dan ancaman yang sangat berat kepada orang-orang yang melakukan perkara-perkara haram seperti mencuri, merampas hak orang lain dan bertindak di luar batas syariat Allah Swt. Kelak mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.
Allah Maha Sempurna kekuasaan-Nya sehingga orang-orang yang mendapat ancaman azab ini tidak mungkin dapat membela dan membebaskan dirinya dengan apa cara sekalipun.