Surah 4: An-Nisa’ (25 – 28)

Hukum Menikahi Hamba dan Hukuman bagi Hamba yang Melakukan Perbuatan Keji

Surah 4: An-Nisa’ (25 – 28)


Ayat 25

وَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ مِنكُمْ طَوْلًا أَن يَنكِحَ ٱلْمُحْصَنَـٰتِ ٱلْمُؤْمِنَـٰتِ فَمِن مَّا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُم مِّن فَتَيَـٰتِكُمُ ٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ۚ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِإِيمَـٰنِكُم ۚ بَعْضُكُم مِّنۢ بَعْضٍ ۚ فَٱنكِحُوهُنَّ بِإِذْنِ أَهْلِهِنَّ وَءَاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ مُحْصَنَـٰتٍ غَيْرَ مُسَـٰفِحَـٰتٍ وَلَا مُتَّخِذَٰتِ أَخْدَانٍ ۚ فَإِذَآ أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفَـٰحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى ٱلْمُحْصَنَـٰتِ مِنَ ٱلْعَذَابِ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِىَ ٱلْعَنَتَ مِنكُمْ ۚ وَأَن تَصْبِرُوا۟ خَيْرٌ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba – abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam, dan seagama pula). Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya menurut yang patut. Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri, hendaklah) yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka. (Hukum perkahwinan) yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa lelaki yang tidak mampu membayar mahar untuk bernikah dengan wanita-wanita merdeka yang beriman, mereka boleh menikah dengan wanita-wanita hamba sahaya.  

Allah Maha Mengetahui hakikat keimanan seseorang. Oleh itu, boleh menikahi wanita-wanita hamba sahaya itu dengan memberikan sejumlah mahar dan dipersetujui oleh tuannya serta mengikut kesepakatan yang telah diperoleh. Wanita-wanita hamba sahaya tersebut disyaratkan menjaga kehormatan diri mereka daripada perbuatan haram sama ada melakukan perzinaan atau mempunyai lelaki simpanan.  

Ayat, “Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya” menunjukkan bahawa wali bagi wanita-wanita hamba sahaya yang tidak boleh dinikahi kecuali setelah mendapat keizinannya. Begitu juga wali bagi hamba-hamba sahaya lelakinya iaitu hamba-hamba sahaya ini tidak boleh menikah kecuali dengan izin tuannya. Rasulullah saw bersabda: 

“Sesiapa sahaja hamba sahaya yang menikah tanpa izin walinya maka dia adalah penzina.” 

(HR Abu Dawud) 

Namun apabila mereka telah menikah kemudian mereka melakukan perbuatan zina, maka mereka dikenakan setengah hukuman daripada hukuman wanita-wanita yang merdeka (yang tidak bersuami). Setengah mufassir menyatakan bahawa hukumannya adalah separuh daripada yang biasa iaitu bagi hukuman sebatan bukan rejam.  

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyebut hamba sahaya perempuan dengan sebutan الفَتَيَات dengan maksud untuk menghormati dan menghargai mereka serta menganjurkan umat Islam agar memanggil mereka dengan gelaran tersebut. Sabda Rasulullah saw: 

“Janganlah di antara kalian memanggil hamba sahayanya dengan panggilan عبدي ‘hambaku’ atau أمتي ‘budakku’. Jangan pula seorang hamba sahaya memanggil pemiliknya dengan panggilan ربي ‘yang memeliharaku’. Hendaknya orang yang memiliki hamba sahaya memanggil hamba sahayanya dengan panggilan فتاي ‘anak mudaku’ atau فتاتي ‘anak mudiku’. Hamba sahaya hendaklah memanggil orang yang memilikinya dengan panggilan سيدي/سيدتي ‘tuanku’. Sesungguhnya kalian semua adalah makhluk yang dimiliki (oleh Allah) dan yang berhak disebut الرب (Al-Rabb) hanyalah Allah.” 

(HR Al-Bukhari)  

Ketetapan dibolehkan menikahi hamba sahaya wanita ini hanya dengan beberapa syarat iaitu lelaki itu takut terjerumus dalam perzinaan dan dia menghadapi kesulitan yang berat untuk menahan hasratnya daripada melakukan hubungan badan. 

Allah Maha Pengampun terhadap mereka dan mengizinkan mereka menikahi wanita-wanita sahaya ini ketika keadaan tidak memungkinkan menikahi wanita merdeka. Namun bersabar dalam menahan hasrat menikahi hamba sahaya wanita ini adalah lebih baik dan lebih utama. Ini adalah kerana jika dinikahi mereka, anak anak mereka akan menjadi hamba sahaya bagi tuannya.  

Hal ini sama dengan pandangan Umar ra, dia berkata, “Sesiapa yang menikah dengan hamba sahaya wanita, sungguh dia telah menjadikan dirinya separuh hamba sahaya, maksudnya anaknya kelak akan menjadi hamba sahaya. Sehingga lebih baik orang itu bersabar sahaja daripada menikah dengan hamba sahaya agar tidak menjadikan anaknya hamba sahaya.” 

Ayat 26

يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُبَيِّنَ لَكُمْ وَيَهْدِيَكُمْ سُنَنَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ وَيَتُوبَ عَلَيْكُمْ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Allah menghendaki (dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah untuk menerangkan (syariat-Nya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Allah Swt menyatakan bahawa ayat-ayat sebelum ini adalah penerangan tentang hukum-hukum syarak yang wajib dilaksanakan. Ia merupakan pembeza antara perkara yang halal dan yang haram, penjelasan antara yang baik dan yang buruk, syariat-Nya yang bijaksana dan agama-Nya yang lurus. Ia juga adalah jalan para nabi dan orang-orang Soleh. 

Allah Maha Mengetahui hal yang membaiki keadaan hamba-hamba-Nya dan Maha Bijaksana dalam syariat-Nya serta Dia Maha Penerima Taubat kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat. 

Ayat 27

وَٱللَّهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلشَّهَوَٰتِ أَن تَمِيلُوا۟ مَيْلًا عَظِيمًا

Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia berkeinginan untuk menerima taubat hamba-hamba-Nya, membersihkan dan menyucikan jiwa mereka terhadap dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan. 

Sedangkan orang-orang yang mengikuti hawa nafsu dengan berpaling daripada petunjuk Allah Swt pula menginginkan agar orang-orang mukmin berpaling jauh daripada kebenaran. 

Ayat 28

يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ ۚ وَخُلِقَ ٱلْإِنسَـٰنُ ضَعِيفًا

Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang mukmin yang tidak mampu menikahi wanita merdeka kerana kemiskinan, maka mereka dibolehkan menikahi hamba sahaya dengan beberapa syarat. 

Hal ini merupakan keringanan dan kemudahan bagi orang-orang mukmin sebagai rahmat dan kasih sayang-Nya kepada mereka kerana Dia Maha Mengetahui kelemahan manusia dan ketidakmampuan mereka untuk bersabar dalam masalah wanita.