Surah 4: An-Nisa’ (19 – 21)

Larangan Melakukan Kezaliman terhadap Wanita dan Perintah untuk Bergaul Baik dengan Isteri

Surah 4: An-Nisa’ (19 – 21)


Ayat 19

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَرِثُوا۟ ٱلنِّسَآءَ كَرْهًا ۖ وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا۟ بِبَعْضِ مَآ ءَاتَيْتُمُوهُنَّ إِلَّآ أَن يَأْتِينَ بِفَـٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًٔا وَيَجْعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

Ayat ini mengandungi larangan melakukan segala bentuk kezaliman terhadap wanita seperti yang berlaku sebelum kedatangan Islam. 

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra tentang ayat ini, dia berkata, “Dahulu jika seorang lelaki meninggal dunia, maka walinya (ahli waris) lebih berhak daripada isteri yang ditinggalkannya. Jika sebahagian mereka mahu, maka mereka boleh menikahinya, atau jika mereka mahu, maka mereka menikahkannya dengan orang lain, juga jika mereka mahu, mereka tidak menikahkannya. Mereka adalah orang yang paling berhak berbanding keluarga wanita itu sendiri. Maka turunlah ayat ini.” 

Menurut adat sebahagian bangsa Arab jahiliah, apabila si suami meninggal dunia, maka anggota keluarga atau kerabatnya seperti anak tirinya, saudaranya, anak lelaki bapa saudaranya dan sebagainya lebih berhak terhadap wanita janda tersebut daripada yang lain. Oleh sebab itu, mereka berhak menghalangi wanita itu daripada berkahwin dengan orang lain, sama ada wanita tersebut suka atau tidak. Jika kerabat tersebut suka kepadanya, maka dia boleh menikahinya tanpa mahar walaupun wanita tidak menyukainya. Jika kerabat tersebut tidak suka, maka mereka menghalangnya daripada menikah sehingga wanita tidak menikah kecuali kepada orang yang mereka pilih. Kadang-kadang kerabat enggan menikahkannya kepada orang lain sehingga wanita tersebut mahu memberikan harta pusaka yang dimilikinya atau mahu memberikan maharnya kepada kerabat. 

Setelah turun ayat ini, maka berakhirlah tradisi jahiliyah tersebut dan sejak itu wanita yang kematian suami akan menunggu masa iddahnya di rumah suaminya dan ketika iddahnya berakhir, maka dia boleh pergi membawa harta yang diwarisi daripada suaminya mengikut kemahuannya sendiri. 

Dalam ayat ini terdapat juga hukum lain yang bersangkutan iaitu jika seorang suami tidak lagi menyukai isterinya maka diharamkan baginya menyusahkan dan memudaratkan isterinya sehingga dia dapat memiliki kembali sebahagian mahar yang pernah diberikan kepada isterinya. Hal ini berlaku selama isteri itu mentaati suaminya, tidak melakukan perbuatan keji seperti berzina dan bersikap sombong terhadap suami. 

Dalam ayat ini juga, Allah swt memerintahkan agar suami bergaul dengan isteri secara baik dalam berkata-kata dan sebagainya. Suami wajib menghindarkan bahaya, bermuamalah secara baik, termasuk memberi nafkah, pakaian dan sebagainya. 

Pihak suami mesti memiliki sifat sabar terhadap isteri walaupun dia tidak menyukai atau membenci isterinya. Sekiranya isteri tidak pernah melakukan perkara keji maka dia tidak sepatutnya mentalaknya. 

Ketika hidup bersama dengan isterinya itu, berkemungkinan Allah swt akan menganugerahkan kebaikan yang banyak baginya sebagai hasil daripada kesabaran menghadapi isterinya dan takwanya kepada Allah swt. Boleh jadi Allah swt menganugerahkannya anak yang soleh yang dapat memberi manfaat kepada kedua orang tuanya di dunia dan di akhirat, dan rasa tidak suka itu digantikan dengan rasa cinta dan kasih sayang. 

Ayat 20

وَإِنْ أَرَدتُّمُ ٱسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَّكَانَ زَوْجٍ وَءَاتَيْتُمْ إِحْدَىٰهُنَّ قِنطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا۟ مِنْهُ شَيْـًٔا ۚ أَتَأْخُذُونَهُۥ بُهْتَـٰنًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?

Allah swt menyatakan sekiranya suami ingin menceraikan isterinya kerana semata-mata ingin berkahwin dengan wanita lain dan bukan disebabkan oleh perbuatan keji dan bukan pula kerana isterinya derhaka terhadap dirinya, maka haram baginya mengambil sebahagian daripada mahar yang telah diberikan kepada isterinya. Dalam keadaan seperti ini, suami juga tidak boleh menyusahkan isteri dengan mengharapkan wang tebusan daripadanya walaupun sedikit. 

Walaupun mahar yang telah diberikan dahulu itu banyak, tidak halal bagi suami mengambilnya semula mahar daripada isterinya. Suami tidak boleh mendapatkannya semula dengan cara berdusta atau mengada-adakan cerita dan membuat tuduhan kepada isterinya. 

Dalam ayat ini terdapat dalil dibolehkan menetapkan mahar dengan harta yang banyak. Namun terdapat anjuran daripada Nabi saw yang memerintahkan agar meringankan mahar untuk memudahkan perkahwinan bagi yang tidak berkemampuan. Walaubagaimanpun, sekiranya meninggikan mahar akan menimbulkan kesan buruk kepada agama dan tidak ada kebaikan padanya, maka ia boleh bertukar menjadi larangan. 

Ayat 21

وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُۥ وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَـٰقًا غَلِيظًا

Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?

Ini adalah ayat kecaman dan celaan kepada suami yang ingin mengambil kembali mahar isterinya sedangkan isteri itu adalah seorang yang patuh kepada syariat agama dan tidak melakukan apa-apa kesalahan. Padahal dalam masa yang sama suami telah bersenang-senang dan menggaulinya yang memungkinkan memperoleh anak daripadanya. 

Perjanjian ikatan pernikahan melalui akad nikah merupakan sebuah ikatan janji yang kuat dan agung. Oleh itu, Allah swt memerintahkan suami berbuat makruf terhadap isteri-isterinya atau menceraikan mereka dengan cara yang baik. 

Suami mengambil kembali mahar yang telah diberikan kepada isterinya hukumnya adalah haram. Suami juga tidak boleh mencari jalan untuk menghalalkannya. Perbuatan ini jelas berdosa kerana sebelum akad nikah, isteri itu haram bagi suaminya dan isteri tidak redha menghalalkan dirinya kecuali dengan mahar tersebut. Lalu bagaimana mahar yang sudah menjadi miliknya diambil kembali, padahal dirinya dihalalkan kerananya. Di samping itu, Allah swt juga telah mengambil perjanjian yang kukuh dengan adanya akad dan persiapan menanggung kewajipannya. Perjanjian ikatan pernikahan melalui akad nikah merupakan sebuah ikatan janji yang kuat dan agung. FirmanNya: 

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” 

Ar-Rum 30:21