Taubat yang Diterima dan Tidak Diterima
Surah 4: An-Nisa’ (17 – 18)
Ayat 17
إِنَّمَا ٱلتَّوْبَةُ عَلَى ٱللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلسُّوٓءَ بِجَهَـٰلَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يَتُوبُ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang berhak diterima taubat mereka ialah orang-orang yang melakukan maksiat dan kederhakaan kerana kebodohan. Kemudian mereka segera bertaubat tanpa sedikitpun melengah-lengahkannya.
Ayat 18
وَلَيْسَتِ ٱلتَّوْبَةُ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ حَتَّىٰٓ إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ ٱلْمَوْتُ قَالَ إِنِّى تُبْتُ ٱلْـَٔـٰنَ وَلَا ٱلَّذِينَ يَمُوتُونَ وَهُمْ كُفَّارٌ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah dia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,” (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Dalam ayat ini pula dinyatakan taubat yang tidak diterima oleh Allah Ta’ala. Ini kerana dosa yang dilakukan itu merupakan kesalahan yang banyak dan berterusan serta tidak segera bertaubat. Apabila hampir mati baru hendak bertaubat, maka taubat seperti ini tidak diterima.
Allah Swt juga tidak menerima taubat orang yang hidup dalam kekafiran, apabila dia telah melihat seksaan-Nya pada saat maut datang menjemputnya maka barulah dia mengaku beriman. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam kisah Firaun. Allah Swt berfirman:
”Maka iman mereka tidak berguna lagi bagi mereka ketika mereka telah melihat azab kami. Itulah sunnah Allah yang telah berlaku terhadap hamba-hamba-Nya. Dan pada waktu itu rugilah orang-orang kafir.”
Ghafir 40:85