Surah 4: An-Nisa’ (7 – 10)

Hak Pembahagian Harta Pusaka dan Ancaman Memakan Harta Anak Yatim

Surah 4: An-Nisa’ (7 – 10)


Ayat 7

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ ٱلْوَٰلِدَانِ وَٱلْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ ٱلْوَٰلِدَانِ وَٱلْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, “Dahulu orang-orang jahiliah tidak memberi hak waris kepada anak perempuan dan anak lelaki yang masih kecil sebelum mencapai usia baligh. Lalu suatu ketika, ada seorang lelaki Ansar yang bernama Aus bin Thabit meninggal dunia dengan meninggalkan dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki yang masih kecil. Kemudian dua orang anak lelaki kepada bapa saudaranya, Khalid dan ‘Arfathah yang merupakan ahli waris ‘ashabah (mereka adalah keturunan lelaki daripada seseorang dan kerabatnya daripada jalur ayah) datang dan mengambil semua harta pusaka milik Aus bin Thabit. Isteri Aus iaitu Ummu Kuhhah datang menemui Rasulullah saw dan menceritakan hal tersebut. Baginda bersabda, “Pulanglah dulu sehingga aku mendapat wahyu.” Lalu turunlah ayat ini.

Dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa bagi orang-orang lelaki baik dewasa mahupun kanak-kanak, masing-masing ada bahagian yang diperuntukkan dalam hal pewarisan harta pusaka peninggalan kedua orang tua atau kerabat. Begitu juga dengan perempuan dewasa atau kanak-kanak. Pembahagian harta pusaka sama ada sedikit ataupun banyak itu telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala. Hak mendapatkan bahagian warisan ini merupakan hak yang pasti dan tidak seorang pun boleh mengurangi atau menambahnya. 

Ayat 8

وَإِذَا حَضَرَ ٱلْقِسْمَةَ أُو۟لُوا۟ ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينُ فَٱرْزُقُوهُم مِّنْهُ وَقُولُوا۟ لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Allah Swt menyatakan bahawa sekiranya ada kerabat ahli waris yang tidak mempunyai hak terhadap harta warisan atau anak-anak yatim dan orang-orang miskin datang ke majlis pembahagian harta pusaka, maka hendaklah mereka diberikan sesuatu meskipun sedikit daripada harta pusaka yang ada sebelum dilakukan pembahagian harta kepada waris yang berhak menerimanya. 

Allah Swt memerintahkan ahli waris memberikan sebahagian kecil daripada harta tersebut sebagai perbuatan baik, bersedekah dan bermurah hati kepada mereka bagi menutup kemungkinan mereka sakit hati, kecewa dan iri hati. Dia juga memerintahkan agar mengucapkan perkataan yang baik dan permintaan maaf dengan lembut dan sopan yang boleh mententeramkan hati mereka. 

Ayat 9

وَلْيَخْشَ ٱلَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا۟ مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَـٰفًا خَافُوا۟ عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْيَقُولُوا۟ قَوْلًا سَدِيدًا

Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).

Ali bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, “Ayat ini berkaitan dengan seorang lelaki yang meninggal, kemudian seseorang mendengar dia memberikan wasiat yang membahayakan ahli warisnya, maka Allah Swt memerintahkan orang yang mendengarnya untuk bertakwa kepada Allah Swt serta membimbing dan mengarahkannya kepada kebenaran. Maka hendaklah dia berusaha menjaga ahli waris orang tersebut, sebagaimana dia senang melakukannya kepada ahli warisnya sendiri apabila dia takut mereka disia-siakan.” Demikianlah pendapat Mujahid dan para ulama lainnya. 

Dalam As-Sahihain dinyatakan bahawa Rasulullah saw, saat menjenguk Sa’ad bin Abi Waqqas, Baginda ditanya:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki banyak harta dan tidak memiliki ahli waris kecuali seorang anak perempuan. Apakah boleh aku bersedekah dua pertiga hartaku?” Baginda mejawab, “Tidak.” Dia bertanya, “Setengah?” Baginda menjawab, “Tidak.” Dia bertanya lagi, “(Bagaimana) sepertiga?” Baginda menjawab, “Ya, sepertiga boleh dan sepertiga itu cukup banyak.” Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu tinggalkan keturunanmu dalam keadaan cukup adalah lebih baik daripada engkau biarkan mereka miskin meminta-minta kepada orang lain.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Sekiranya seseorang itu menjadi wali bagi anak-anak yatim, hendaklah dia memperlakukannya dengan baik sebagaimana dia suka jika orang memperlakukan anak keturunannya dengan baik setelah kematiannya. 

Allah Swt juga mengingatkan para wali agar sentiasa berasa diawasi oleh-Nya dalam menguruskan hal-hal berkaitan dengan anak-anak yatim. Selain menjaga harta benda mereka, para wali juga bertanggungjawab mendidik mereka dengan baik serta menyampaikan kebenaran. 

Ayat 10

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَٰلَ ٱلْيَتَـٰمَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِى بُطُونِهِمْ نَارًا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

Ayat ini merupakan ancaman terhadap orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim. Allah Swt menyatakan sekiranya mereka melampaui batas terhadap harta anak-anak yatim, sebenarnya mereka akan menelan api neraka pada Hari Kiamat kelak. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang panas membakar.