Bimbingan dalam Mengurus Harta Anak Yatim
Surah 4: An-Nisa’ (5 – 6)
Ayat 5
وَلَا تُؤْتُوا۟ ٱلسُّفَهَآءَ أَمْوَٰلَكُمُ ٱلَّتِى جَعَلَ ٱللَّهُ لَكُمْ قِيَـٰمًا وَٱرْزُقُوهُمْ فِيهَا وَٱكْسُوهُمْ وَقُولُوا۟ لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
Allah Swt melarang para wali menyerahkan harta kepada anak-anak yatim yang berada di bawah penjagaan mereka selagi anak-anak yatim itu belum baligh. Dia juga melarang menyerahkan harta kepada orang atau pihak yang tidak pandai mengelola atau mengendalikan harta anak-anak yatim seperti menghamburkan harta tersebut dengan menggunakannya pada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Wali boleh menyerahkan harta anak-anak yatim kepada pihak tersebut setelah diyakini mereka dapat menguruskan harta sendiri dengan baik.
Harta-harta itu adalah keperluan kepada kehidupan mereka. Oleh itu, Allah Swt memerintahkan para wali agar memberi nafkah daripada harta itu untuk keperluan makanan dan pakaian mereka. Selain itu, para wali juga diperintahkan agar mengucapkan kata-kata yang indah dan berperilaku baik kepada mereka.
Maksud “yang belum sempurna akalnya” ialah anak-anak yatim yang belum baligh atau orang dewasa yang tidak dapat menguruskan harta masing-masing sama ada belum cerdik ataupun kerana hilang akal seperti orang gila.
Ayat 6
وَٱبْتَلُوا۟ ٱلْيَتَـٰمَىٰ حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغُوا۟ ٱلنِّكَاحَ فَإِنْ ءَانَسْتُم مِّنْهُمْ رُشْدًا فَٱدْفَعُوٓا۟ إِلَيْهِمْ أَمْوَٰلَهُمْ ۖ وَلَا تَأْكُلُوهَآ إِسْرَافًا وَبِدَارًا أَن يَكْبَرُوا۟ ۚ وَمَن كَانَ غَنِيًّا فَلْيَسْتَعْفِفْ ۖ وَمَن كَانَ فَقِيرًا فَلْيَأْكُلْ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ فَإِذَا دَفَعْتُمْ إِلَيْهِمْ أَمْوَٰلَهُمْ فَأَشْهِدُوا۟ عَلَيْهِمْ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبًا
Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah dia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).
Allah Swt memerintahkan para wali untuk menguji anak-anak yatim di bawah penjagaan mereka untuk mengetahui kecekapan menguruskan harta mereka dengan baik. Apabila telah mencapai usia baligh dan wali dapat melihat kecekapan mereka membuat sesuatu keputusan atau mampu mengendalikan urusan harta masing-masing, maka bolehlah para wali menyerahkan harta tersebut kepada mereka.
Allah Swt melarang wali kepada anak yatim memakan harta mereka dengan berlebihan menggunakannya untuk perkara-perkara yang tidak sepatutnya atau bersegera menghabiskan harta itu sebelum diserahkan kepada mereka.
Sekiranya wali-wali atau penjaga-penjaga anak-anak yatim ini termasuk dalam golongan orang-orang yang berada atau kaya maka mereka hendaklah memelihara diri daripada mengambil harta itu. Namun sekiranya wali itu termasuk dalam golongan miskin maka bolehlah mereka meminjam harta tersebut dan mengembalikannya semula apabila telah memiliki harta. Wali boleh menguruskan harta anak yatim sekiranya perlu dengan mengambil upah yang sama seperti upah kepada orang lain yang menguruskannya. Sesungguhnya Allah Swt tidak akan mensia-siakan amalan setiap hamba-hamba-Nya.
Apabila anak-anak yatim telah mencapai masa baligh dan wali meyakini kemampuan mereka, maka pada masa itu hendaklah mereka serahkan harta-harta mereka. Kemudian apabila mereka menyerahkan harta kepada anak-anak yatim tersebut, maka hendaklah mereka mengadakan saksi-saksi tentang penyerahan itu. Ini merupakan perintah dari Allah Swt agar tidak terjadi pengingkaran daripada sebahagian mereka setelah penyerahan dan penerimaan.
Kemudian Allah Swt mengatakan cukuplah Dia sebagai Pengawas, saksi dan peneliti para wali dalam memelihara anak-anak yatim dan dalam menyerahkan harta-harta mereka. Dia mengawasi apakah dicukupkan dan disempurnakan atau dikurangi dan ditipu dengan memalsukan hitungan dan memutarbelitkan segala urusan. Allah Maha Mengetahui terhadap semua yang mereka lakukan.