Surah 6: Al-An’am (160)

Keadilan dan Pemurahnya Allah Swt dalam Membalas Amal Seseorang

Surah 6: Al-An’am (160)


Ayat 160

مَن جَآءَ بِٱلْحَسَنَةِ فَلَهُۥ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰٓ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesiapa yang membawa pada hari kiamat perkara baik dan perbuatan mulia berupa ketaatan kepada-Nya akan mendapat balasan yang lebih baik dan ada pula akan dibalas dengan sepuluh kebaikan. Bahkan kebaikan tersebut kadang-kala dilipat gandakan sehingga menjadi tujuh ratus kali ganda seperti dalam firman-firman-Nya: 

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah adalah serupa dengan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” 

Al-Baqarah 2:261 

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya pada jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipatganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.” 

Al-Baqarah 2:245 

Manakala orang yang melakukan amalan buruk atau berbuat dosa, maka balasannya adalah bersesuaian dengan amalannya. Allah Ta’ala Maha Adil dalam memberikan balasan dan setiap balasan bagi amalan yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya sama ada yang baik atau buruk dan tidak akan dikurangi sama sekali atau ditambah seksaan. Dia juga Maha Pengasih seperti dalam sabda Rasulullah saw: 

“Sesungguhnya Rabb kalian adalah Maha Penyayang. Sesiapa yang berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, maka ditulis baginya satu kebaikan. Jika dia telah melakukannya maka ditulis baginya sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda kebaikan. Sesiapa berniat melakukan keburukan tetapi tidak melakukannya maka ditulis baginya satu kebaikan. Jika dia melakukannya maka ditulis baginya satu keburukan atau Allah menghapusnya. Dan tidak ada yang binasa di sisi Allah kecuali orang yang sudah binasa.” 

(HR. Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan An-Nasa’i)