Larangan Berpecah-belah dalam Agama
Surah 6: Al-An’am (159)
Ayat 159
إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُوا۟ دِينَهُمْ وَكَانُوا۟ شِيَعًا لَّسْتَ مِنْهُمْ فِى شَىْءٍ ۚ إِنَّمَآ أَمْرُهُمْ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ
Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).
Mujahid, Qatadah, Adh-Dhahhak dan As-Suddi mengatakan ayat ini turun berkenaan dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani. Manakala Al-‘Aufi meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani berselisih dan berpecah sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw. Ketika Baginda diutus, Allah Ta’ala menurunkan ayat ini.
Namun secara zahirnya, ayat ini bersifat umum, berlaku kepada setiap orang yang memisahkan diri daripada agama Allah Ta’ala dan menentang-Nya. Ini kerana sesungguhnya Dia telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk dimenangkan atas segala agama. Syariat-Nya hanyalah satu yang tidak ada pertentangan dan perpecahan di dalamnya.
Sesiapa yang berselisih tentang agama itu dan berpecah menjadi beberapa golongan sebagaimana penganut beberapa agama yang lain, pengikut hawa nafsu dan kesesatan, maka Allah Swt telah membebaskan Rasulullah saw daripada apa yang mereka lakukan iaitu Baginda tidak bertanggungjawab terhadap urusan mereka.
Oleh itu, Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw agar tidak melayani mereka dan membiarkan mereka serta jangan memerangi mereka. Ini kerana kewajipan Baginda hanyalah menyampaikan risalah-Nya. Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia lah yang menguasai urusan mereka dan akan membalas mereka kerana telah memecah belahkan agama. Rasulullah saw bersabda:
“Ingatlah sesungguhnya orang-orang ahli kitab sebelum kamu berpecah belah menjadi tujuh puluh dua kelompok, dan sesungguhnya umat ini akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga kelompok. Tujuh puluh dua di neraka dan satu di syurga. Yang satu itu adalah Jama’ah.”
(HR. Abu Dawud)