Tidak Bermanfaat Lagi Iman Orang Kafir jika Datang kepadanya 3 Perkara
Surah 6: Al-An’am (158)
Ayat 158
هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن تَأْتِيَهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَوْ يَأْتِىَ رَبُّكَ أَوْ يَأْتِىَ بَعْضُ ءَايَـٰتِ رَبِّكَ ۗ يَوْمَ يَأْتِى بَعْضُ ءَايَـٰتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَـٰنُهَا لَمْ تَكُنْ ءَامَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِىٓ إِيمَـٰنِهَا خَيْرًا ۗ قُلِ ٱنتَظِرُوٓا۟ إِنَّا مُنتَظِرُونَ
Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: “Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami)”.
Allah Ta’ala mencela orang-orang kafir dan orang-orang yang menyelisihi para rasul, mendustakan ayat-ayat-Nya dan menghalangi jalan-Nya. Dia menyatakan bahawa mereka tidak akan beriman kepada Rasulullah saw melainkan jika telah datang kepada mereka salah satu daripada tiga perkara berikut:
1) Datangnya malaikat untuk mencabut nyawa mereka atau menimpakan seksaan kepada mereka
Keimanan mereka ketika berlaku hal seperti ini tidak akan memberi sebarang manfaat kepada mereka sebagaimana keimanan Firaun sebelum ditenggelamkan ke dalam laut. Firman-Nya:
“Dan Kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya, kerana hendak menganiaya dan menindas (mereka), hingga apabila Firaun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia, ‘Aku percaya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai Bani Israil, dan aku termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).'”
Yunus 10:90
2) Kedatangan Allah Ta’ala iaitu ketika Dia memberikan keputusan kepada manusia di Mahsyar
3) Datangnya sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah Swt iaitu munculnya tanda-tanda akan berlaku hari kiamat
Sebelum berlakunya hari kiamat ketika munculnya beberapa tanda kedatangan hari tersebut, keimanan seseorang tidak lagi bermanfaat kepadanya. Rasulullah saw bersabda:
“Hari kiamat tidak akan terjadi hingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (sebelah barat). Ketika manusia melihatnya maka berimanlah mereka pada saat itu. Itulah saat ketika keimanan seseorang tidak bermanfaat bagi dirinya sendiri, yang dia belum beriman sebelum itu.”
(HR. Al-Bukhari)
Oleh itu, Rasulullah saw diperintahkan oleh Allah Ta’ala agar menyuruh kaum yang kafir menunggu apa yang mereka nantikan dan sesungguhnya Baginda dan orang-orang yang beriman juga menunggu janji Rabb mereka yang akan memberi kemenangan kepada mereka dan azab kepada musuh-musuh mereka. Firman-firman-Nya:
“Mereka tidak menunggu-nunggu kecuali (kejadian-kejadian) yang sama dengan kejadian-kejadian (yang menimpa) orang-orang yang terdahulu sebelum mereka. Katakanlah, ‘Maka tunggulah, sesungguhnya akupun termasuk orang-orang yang menunggu bersama kamu.'”
Yunus 10:102
“Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan hari kiamat (iaitu) kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila kiamat sudah datang?”
Muhammad 47:18
“Maka tatkala mereka melihat azab Kami, mereka berkata, ‘Kami beriman hanya kepada Allah sahaja, dan kami kafir kepada sembahan-sembahan yang telah kami persekutukan dengan Allah. Maka iman mereka tiada berguna bagi mereka tatkala mereka telah melihat seksaan Kami. Itulah sunnah Allah yang telah berlaku terhadap hamba-hamba-Nya. Dan pada waktu itu binasalah orang-orang kafir.'”
Ghafir 40:84-85