Surah 6: Al-An’am (154 – 157)

Kitab-kitab yang Allah Turunkan Tiada Alasan untuk Menyelisihnya

Surah 6: Al-An’am (154 – 157)


Ayat 154

ثُمَّ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ تَمَامًا عَلَى ٱلَّذِىٓ أَحْسَنَ وَتَفْصِيلًا لِّكُلِّ شَىْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لَّعَلَّهُم بِلِقَآءِ رَبِّهِمْ يُؤْمِنُونَ

Kemudian (ketahuilah pula bahawa) Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat untuk menyempurnakan (kemuliaan dan nikmat Kami) kepada orang yang telah berbuat baik (menjalankan ajaran Kitab itu iaitu Nabi Musa), dan untuk menerangkan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat, supaya mereka beriman kepada pertemuan dengan Tuhan mereka (pada hari akhirat kelak).

Setelah Allah swt menyebutkan bahawa Al-Quran adalah sebagai jalanNya yang lurus, dalam ayat ini Allah swt memberi pujian kepada Taurat dan Rasul yang diturunkan kepadanya kitab tersebut iaitu Nabi Musa as. Sesungguhnya Allah swt telah memberikan nikmat berupa kitab Taurat kepada Nabi Musa as yang melakukan kebaikan. Allah swt menyebutkan Al-Quran dan Taurat secara bergandingan kerana Al-Quran membenarkan kitab sebelumnya sebagai petunjuk dan rahmat. FirmanNya: 

“Dan sebelum (Al-Quran) itu telah ada kitab Musa sebagai petunjuk dan rahmat. Dan ini (Al-Quran) adalah kitab yang membenarkannya dalam bahasa Arab untuk memberi peringatan kepada orang-orang yang zalim dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” 

Al-Ahqaf 46:12 

Maksud ayat, “supaya mereka beriman kepada pertemuan dengan Tuhan mereka” mengandungi petunjuk tentang adanya hari kebangkitan dan ada pembalasan terhadap amal seseorang. Oleh itu, Allah swt mewajibkan mereka beriman kepada hari pertemuan denganNya dan mempersiapkan diri untuk menghadapi hari tersebut. 

Ayat 155

وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ مُبَارَكٌ فَٱتَّبِعُوهُ وَٱتَّقُوا۟ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Al-Quran adalah kitab yang agung, banyak kebaikan dan manfaat sama ada untuk urusan dunia dan akhirat, hidayah dan juga kemenangan. Di dalamnya mengandungi ajakan agar mengikutinya. Dia mendorong dan memerintahkan manusia mempelajari dan mengamalkan serta mengajak manusia lain mengikutinya. Dia menyifatkan Al-Quran itu dengan “diberkati” bagi sesiapa sahaja yang mengikuti dan mengamalkannya. 

Kemudian Allah swt mengingatkan hamba-hambaNya agar bertakwa kepadaNya dengan mengamalkan isi Al-Quran dalam kehidupan seharian agar mendapat rahmat di dunia dan akhirat. 

Ayat 156

أَن تَقُولُوٓا۟ إِنَّمَآ أُنزِلَ ٱلْكِتَـٰبُ عَلَىٰ طَآئِفَتَيْنِ مِن قَبْلِنَا وَإِن كُنَّا عَن دِرَاسَتِهِمْ لَغَـٰفِلِينَ

Supaya kamu tidak mengatakan: “Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka”.

Ibnu Jarir mengatakan bahawa, ayat ini bermaksud Allah swt turunkan Al-Quran agar orang-orang musyrik tidak mengatakan, Dia hanya menurunkan kitab kepada dua golongan sahaja sebelum mereka. 

‘Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra “Dua golongan tersebut adalah Yahudi dan Nasrani.” Pendapat yang sama juga dikatakan oleh Mujahid, As-Suddi, Qatadah, dan selain mereka. 

Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab agar orang-orang musyrik Mekah tidak memberi alasan di akhirat kelak bahawa mereka tidak diberikan kitab kerana kitab yang diturunkan kepada golongan Yahudi dan Nasrani adalah dalam bahasa yang mereka tidak fahami. 

Ayat 157

أَوْ تَقُولُوا۟ لَوْ أَنَّآ أُنزِلَ عَلَيْنَا ٱلْكِتَـٰبُ لَكُنَّآ أَهْدَىٰ مِنْهُمْ ۚ فَقَدْ جَآءَكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ ۚ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن كَذَّبَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَصَدَفَ عَنْهَا ۗ سَنَجْزِى ٱلَّذِينَ يَصْدِفُونَ عَنْ ءَايَـٰتِنَا سُوٓءَ ٱلْعَذَابِ بِمَا كَانُوا۟ يَصْدِفُونَ

Atau supaya kamu (tidak) mengatakan: “Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka”. (Kamu tidak akan dapat berdalih lagi) kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan (yang cukup) dari Tuhan kamu, dan petunjuk hidayah serta rahmatNya (yang melimpah-limpah). Oleh itu, siapakah yang lebih zalim lagi daripada orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling dari ayat-ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya).

Juga agar mereka tidak lagi dapat memberi alasan dengan mengatakan bahawa mereka akan lebih mendapat petunjuk jika dibandingkan dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani. 

Oleh itu, Allah Ta’ala menyatakan bahawa telah datang kepada mereka Al-Quran yang agung melalui lisan Rasulullah saw, seorang nabi berbangsa Arab. Di dalamnya ada hujjah yang jelas, petunjuk menuju kebenaran dan merupakan rahmat kepada orang-orang yang mengikutinya. 

Kemudian Allah Ta’ala mengatakan sesungguhnya tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Al-Quran setelah mereka mengetahui kebenarannya. Oleh itu pada akhir ayat ini, Allah swt menegaskan bahawa Dia akan memberikan balasan seksaan yang buruk kepada mereka yang berpaling daripada ayat-ayatNya. Seksaan terhadap mereka akan bertambah jika mereka menyebabkan orang-orang lain turut berpaling sebagaimana firmanNya: 

“Orang-orang yang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah Kami tambahkan kepada mereka seksaan di atas seksaan disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan.” 

An-Nahl 16:88