Surah 6: Al-An’am (151 – 153)

10 Wasiat untuk Berakhlak dengan Akhlak Islam

Surah 6: Al-An’am (151 – 153)


Ayat 151

قُلْ تَعَالَوْا۟ أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ ۖ أَلَّا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًٔا ۖ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۖ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَوْلَـٰدَكُم مِّنْ إِمْلَـٰقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلْفَوَٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ ۖ وَلَا تَقْتُلُوا۟ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَقِّ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.

Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw menyatakan apa yang diharamkanNya secara hak yang merupakan wahyu dan perintah dari sisiNya dan bukanlah sangkaan atau dugaan mereka semata-mata iaitu wasiat yang sepuluh. Dalam ayat ini terdapat lima wasiat dan lima wasiat lagi akan dihuraikan dalam ayat seterusnya. Lima wasiat dalam ayat ini ialah: 

1)   Larangan mensyirikkan Allah Ta’ala

Jangan menyekutukanNya dengan apa pun dalam segala aspek kehidupan sama ada dalam keyakinan di hati, perkataan ataupun perbuatan. FirmanNya: 

“Dia lah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu pelbagai jenis buah-buahan sebagai rezeki untukmu, oleh itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui.” 

Al-Baqarah 2:22 

2)   Perintah berbuat baik kepada orang tua

Sebagaimana Allah Ta’ala berfirman: 

“Dan Rabbmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” 

Al-Isra’ 17:23 

Daripada Abdullah bin Mas’ud, dia bertanya kepada Rasulullah saw,

Amal apa yang paling utama?” Baginda menjawab: Solat pada waktunya.” Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?” Baginda bersabda, “Berbakti kepada orang tua.” Aku bertanya, “Kemudian apa?” Baginda bersabda, “Jihad di jalan Allah.” 

(HR. Al-Bukhari) 

3)   Larangan membunuh anak-anak kerana takut kepada kemiskinan

Firman Allah Ta’ala: 

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kami lah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.” 

Al-Isra’ 17:31 

4)   Larangan melakukan perbuatan-perbuatan yang keji

Perbuatan keji sama ada yang terlibat dengan orang lain atau yang dilakukan oleh anggota tubuh badan sendiri, baik yang zahir (nampak) mahupun yang tersembunyi di dalam hati atau tidak terlihat orang lain.  

Daripada Sa’ad bin Ubadah, Dia mengatakan, “Kalau aku melihat seorang lelaki bersama isteriku maka aku akan memenggalnya dengan pedang yang tidak terbalik.” Lalu hal itu sampai kepada Rasulullah saw, kemudian Baginda bersabda: 

“Apakah kalian hairan dengan perasaan cemburu Sa’ad? Demi Allah, aku lebih cemburu daripada Sa’ad, dan Allah lebih cemburu daripada aku. Oleh itu, Dia mengharamkan perbuatan keji yang nampak dan tersembunyi.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

5)   Larangan membunuh nyawa tanpa hak

Sabda Rasulullah saw: 

“Barangsiapa yang membunuh kafir mu’ahad (kafir yang mengadakan perjanjian dengan negara Islam) maka dia tidak akan mencium bau syurga. Sesungguhnya baunya ada dari perjalanan sepanjang empat puluh tahun.” 

(HR. Al-Bukhari) 

“Darah muslim tidak halal dibunuh kecuali kerana salah satu daripada tiga, lelaki atau perempuan yang sudah menikah lalu berzina, membunuh orang lain dan orang yang meninggalkan agamanya memisahkan diri daripada golongan Islam.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Ayat 152

وَلَا تَقْرَبُوا۟ مَالَ ٱلْيَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُۥ ۖ وَأَوْفُوا۟ ٱلْكَيْلَ وَٱلْمِيزَانَ بِٱلْقِسْطِ ۖ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۖ وَإِذَا قُلْتُمْ فَٱعْدِلُوا۟ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ ۖ وَبِعَهْدِ ٱللَّهِ أَوْفُوا۟ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

“Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil”. – Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya – “dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)”.

Allah menyebutkan lagi empat wasiat yang mesti dipatuhi iaitu: 

6)   Larangan memakan harta anak yatim

Allah swt melarang memakan harta anak yatim dengan cara yang zalim. FirmanNya: 

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).” 

An-Nisa’ 4:10 

Penjaga anak yatim bertanggungjawab menjaga harta anak yatim yang ditinggalkan oleh orang tuanya. Tugasnya adalah menjaga harta tersebut sebaik-baiknya dan boleh mengembangkannya sehingga harta anak yatim bertambah tatkala berada di tangannya. Kemudian penjaga perlu serahkan setelah usia anak itu sampai pada usia matang. Penjaga boleh mengambil upah sekadar yang berpatutan. 

7)   Perintah menyempurnakan sukatan dan timbangan dengan adil

Firman Allah Ta’ala: 

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka meminta dipenuhkan, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi(nya).” 

Al-Mutaffifin 83:1-3 

Maksud ayat, “Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya” ialah sesiapa yang telah bersungguh-sungguh dalam usaha menunaikan dan mengambil hak, lalu jika dia melakukan kesilapan setelah mencurahkan segala kemampuannya, maka dia tidaklah berdosa. 

8)   Perintah agar sentiasa berlaku adil

Allah swt menekankan agar orang-orang beriman sentiasa berkata jujur apabila berbicara ataupun ketika memberikan keterangan sebagai saksi. Firman-firmanNya: 

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” 

An-Nisa’ 4:135 

“Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 

Al-Ma’idah 5:8 

9)   Perintah agar menunaikan janji dengan Allah swt

Janji adalah satu ikatan yang perlu dipelihara. Cara menunaikannya ialah dengan mentaatiNya dalam segala yang diperintahkanNya dan apa yang dilarangNya serta mengamalkan kitabNya dan sunnah RasulNya. Firman-firmanNya: 

“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah(mu) itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpahmu itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.” 

An-Nahl 16:91 

“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta, dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya apabila berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” 

Al-Baqarah 2:177 

Ayat 153

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٰطِى مُسْتَقِيمًا فَٱتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalanNya, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

Ayat ini menyatakan wasiat Allah yang kesepuluh iaitu: 

10)   Perintah agar mengikuti jalan yang lurus dan larangan mengikuti jalan-jalan yang lain

Jalan Allah swt yang lurus ialah jalan agama Islam, jalan kebenaran yang menghubungkan manusia kepadaNya dan syurgaNya. Manakala jalan-jalan yang menyimpang adalah jalan yang mengarah kepada neraka.   

Daripada Abdullah bin Mas’ud, dia berkata, “Rasulullah saw membuat garis dengan tangannya sendiri, kemudian bersabda, “Ini adalah jalan Allah yang lurus.” Lalu Baginda membuat garis di sebelah kanan dan kirinya kemudian bersabda, “Jalan-jalan ini, tidak ada satu pun daripada jalan-jalan tersebut melainkan di atasnya ada syaitan yang mengajak ke jalan itu,” lalu Baginda membaca ayat

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ

(ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalanNya.) 

(HR. Ahmad, An-Nasa‘i dan Al-Hakim) 

Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid dan ulama tafsir yang lain mengatakan bahawa Allah swt memerintahkan orang-orang beriman agar tetap bersatu dalam jama’ah dan melarang mereka berselisih dan berpecah-belah. Kehancuran umat-umat terdahulu adalah disebabkan mereka berbantah-bantahan dan berselisih faham tentang agamaNya. 

Dalam ayat ini, Allah swt menyebutkan “jalanNya” dalam bentuk tunggal (sabil) kerana kebenaran itu hanya satu, dan Dia menyebutkan “jalan-jalan lain” dalam bentuk jamak (subul) kerana jalan yang sesat adalah jalan selainnya yang banyak dan bercabang-cabang. Oleh itu, Allah swt memerintahkan orang-orang beriman agar tetap bersatu dalam jama’ah mengikuti petunjuk Al-Quran iaitu jalan yang lurus dan melarang mereka mengikuti jalan syaitan, berselisih dan bercerai-berai.