Surah 6: Al-An’am (147 – 150)

Bantahan terhadap Orang Kafir yang Mendustakan Allah Swt

Surah 6: Al-An’am (147 – 150)


Ayat 147

فَإِن كَذَّبُوكَ فَقُل رَّبُّكُمْ ذُو رَحْمَةٍ وَٰسِعَةٍ وَلَا يُرَدُّ بَأْسُهُۥ عَنِ ٱلْقَوْمِ ٱلْمُجْرِمِينَ

Kemudian jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: “Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah-ruah, dan azab seksa-Nya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa”.

Dalam ayat ini terdapat targhib (dorongan) dan tarhib (ancaman) kepada orang-orang musyrik, Yahudi dan yang seumpama dengan mereka yang mendustakan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw. 

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw memberitahu kepada mereka yang menentangnya bahawa rahmat-Nya sangat luas dan ini merupakan dorongan kepada mereka agar berusaha mendapatkannya. Dia tidak segera menyeksa mereka kerana rahmatNya yang luas ke atas hamba-hamba-Nya, bahkan Dia memberi mereka penangguhan masa untuk bertaubat. Penangguhan tersebut tidaklah bermakna mereka tidak akan diazab kerana sesungguhnya azab-Nya tidak sekali-kali dapat dicegah daripada menimpa orang-orang yang berdosa. Ini adalah ancaman bagi mereka agar tidak menentang Rasulullah saw. Firman-Nya: 

“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu, bahawa sesungguhnya Aku-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, dan bahawa sesungguhnya azab-Ku adalah azab yang sangat pedih.” 

Al-Hijr 15:49-50 

Ayat 148

سَيَقُولُ ٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ لَوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَآ أَشْرَكْنَا وَلَآ ءَابَآؤُنَا وَلَا حَرَّمْنَا مِن شَىْءٍ ۚ كَذَٰلِكَ كَذَّبَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ حَتَّىٰ ذَاقُوا۟ بَأْسَنَا ۗ قُلْ هَلْ عِندَكُم مِّنْ عِلْمٍۢ فَتُخْرِجُوهُ لَنَآ ۖ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنْ أَنتُمْ إِلَّا تَخْرُصُونَ

Orang-orang musyrik akan mengatakan, “Kalau Allah menghendaki tentulah kami dan datuk nenek kami tidak mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain), dan tidak pula kami haramkan sesuatu apa pun”. Demikianlah juga orang-orang yang dahulu sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-rasul) sehingga mereka merasai azab seksa Kami. Katakanlah, “Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tiadalah kamu menurut melainkan sangkaan semata-mata, dan kamu pula tidak lain hanyalah berdusta”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang musyrik memberi alasan agar kelak mereka tidak dipersalahkan dengan mengatakan sekiranya Dia menghendaki, tentu mereka tidak akan menyekutukan-Nya, begitu pula nenek moyang mereka dan mereka tidak akan mengharamkan segala yang dihalalkan-Nya untuk mereka. 

Oleh itu, Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw mengatakan kepada mereka bahawa mereka tidak mempunyai pengetahuan terhadap apa yang mereka kemukakan dan mereka hanyalah mengikut sangkaan dan pendustaan mereka sahaja. Demikian juga orang-orang sebelum mereka yang telah mendustakan para rasul dan mengharamkan apa yang dihalalkan-Nya sehingga Dia mendatangkan azab kepada mereka. 

Ayat 149

قُلْ فَلِلَّهِ ٱلْحُجَّةُ ٱلْبَـٰلِغَةُ ۖ فَلَوْ شَآءَ لَهَدَىٰكُمْ أَجْمَعِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad: “Kalau kamu sudah tidak ada sesuatu bukti) maka Allah mempunyai bukti yang tegas nyata. Oleh itu, jika Dia menghendaki tentulah Dia akan memberi hidayah petunjuk kepada kamu semuanya”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa alasan yang kuat dan jelas lagi kukuh hanyalah ada pada sisi-Nya. Dia telah memberikan bukti-bukti dan hujjah-hujjah yang jelas dan boleh diterima oleh akal manusia yang sihat. 

Allah Ta’ala memiliki hikmah yang sempurna dalam memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, sekiranya Dia menghendaki, nescaya mereka semua mendapat petunjuk tetapi mereka tetap berpaling terhadap kebenaran dan bukti-bukti yang telah diberikan. Firman-firman-Nya: 

“…………Kalau Allah menghendaki, tentu sahaja Allah menjadikan mereka semua dalam petunjuk…………” 

Al-An’am 6:35 

“Dan jikalau Rabbmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya………..” 

Yunus 10:99 

Sesungguhnya Dia Maha Penyayang dan Maha Adil, Dia hanya membalas perbuatan yang terjadi atas dasar pilihan mereka sendiri dan tidak menghukum atas perbuatan yang terjadi bukan kerana pilihan dan kehendak mereka. 

Ayat 150

قُلْ هَلُمَّ شُهَدَآءَكُمُ ٱلَّذِينَ يَشْهَدُونَ أَنَّ ٱللَّهَ حَرَّمَ هَـٰذَا ۖ فَإِن شَهِدُوا۟ فَلَا تَشْهَدْ مَعَهُمْ ۚ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ وَهُم بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

Katakanlah: “Bawalah saksi-saksi kamu memberi keterangan bahawa Allah mengharamkan (benda-benda yang kamu haramkan) ini”. Kemudian jika mereka (tergamak) menjadi saksi (secara dusta), maka janganlah engkau turut sama membenarkan mereka mereka; dan janganlah engkau turut hawa nafsu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, dan orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, sedang mereka pula menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mencabar orang-orang musyrik mendatangkan saksi-saksi mereka yang dapat membuktikan bahawa Dia telah mengharamkan beberapa binatang ternak seperti Bahirah, Saibah Ham dan yang lainnya. 

Seandainya mereka memberikan kesaksian yang dusta, maka Rasulullah saw dilarang untuk ikut memberikan kesaksian bersama dengan mereka dan tidak dibenarkan sama sekali membenarkan persaksian mereka. Allah Ta’ala melarang Baginda mengikuti keinginan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat-Nya dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat dan juga orang-orang yang menyekutukan-Nya.