Antara Bentuk Syirik yang Dilakukan oleh Orang Musyrikin
Surah 6: Al-An’am (136 – 140)
Ayat 136
وَجَعَلُوا۟ لِلَّهِ مِمَّا ذَرَأَ مِنَ ٱلْحَرْثِ وَٱلْأَنْعَـٰمِ نَصِيبًا فَقَالُوا۟ هَـٰذَا لِلَّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَـٰذَا لِشُرَكَآئِنَا ۖ فَمَا كَانَ لِشُرَكَآئِهِمْ فَلَا يَصِلُ إِلَى ٱللَّهِ ۖ وَمَا كَانَ لِلَّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَىٰ شُرَكَآئِهِمْ ۗ سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ
Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: Ini untuk Allah – menurut anggapan mereka – dan ini untuk berhala-berhala kami.” Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.
Ini merupakan celaan dan penghinaan daripada Allah Swt kepada orang-orang musyrik yang mengadakan perkara-perkara baru dalam agama, kekafiran dan kemusyrikan. Mereka menjadikan-Nya sebahagian daripada makhluk-Nya, padahal Dia adalah Pencipta bagi setiap sesuatu. Maha Suci dan Maha Tinggi Allah daripada anggapan tersebut.
Ibnu ‘Abbas ra dalam mentafsirkan ayat ini berkata bahawa musuh-musuh Allah itu, jika mereka menanam tanaman atau mempunyai buah-buahan, maka mereka mengambil sebahagian daripadanya untuk dipersembahkan kepada Allah dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala. Segala tanaman, buah-buahan atau apa pun yang menjadi bahagian berhala, mereka menjaganya dan menghitungnya. Jika ada sesuatu yang jatuh daripada apa yang diperuntukkan untuk Allah, maka mereka mengembalikannya kepada bahagian yang diperuntukkan kepada berhala-berhala.
Jika air yang diperuntukkan kepada berhala terlanjur menyirami bahagian yang diperuntukkan kepada Allah Swt, maka bahagian tersebut mereka persembahkan untuk berhala. Jika ada sesuatu daripada tanaman dan buah-buahan yang mereka peruntukkan kepada Allah Swt jatuh, lalu bercampur dengan bahagian yang diperuntukkan bagi berhala, maka mereka mengatakan, “Berhala ini miskin,” dan mereka tidak mengembalikannya kepada bahagian yang mereka peruntukkan bagi Allah Swt. Jika air untuk Allah Swt terlanjur menyirami bahagian berhala, maka mereka akan menggunakan bahagian yang mereka peruntukkan bagi Allah Swt itu untuk berhala. Mereka mengharamkan harta kekayaan yang mereka miliki, berupa Bahirah, Saibah, Wasilah dan Ham lalu mereka memperuntukkan semuanya itu kepada berhala-berhala mereka. Mereka menganggap tindakan mengharamkan harta kekayaan itu sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Maka Allah Swt berfirman, “Dan mereka memperuntukkan bagi Allah satu bahagian daripada tanaman dan ternakan yang telah diciptakan Allah.”
Sungguh buruk peraturan dan pembahagian yang mereka lakukan. Mereka lebih mengutamakan makhluk yang lemah daripada Pencipta Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Ini adalah pembahagian yang tidak adil, tidak membahagi sesuai dengan hak-hak-Nya dan menjadikan bahagian Allah Swt paling sedikit.
Ayat 137
وَكَذَٰلِكَ زَيَّنَ لِكَثِيرٍ مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ قَتْلَ أَوْلَـٰدِهِمْ شُرَكَآؤُهُمْ لِيُرْدُوهُمْ وَلِيَلْبِسُوا۟ عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ ۖ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَا فَعَلُوهُ ۖ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ
Dan demikianlah juga (jahatnya) ketua-ketua yang orang-orang musyrik itu jadikan sekutu bagi Allah, menghasut kebanyakan dari mereka dengan kata-kata indah yang memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan mereka, dan untuk mengelirukan mereka mengenai agama mereka. Dan kalau Allah kehendaki, nescaya mereka tidak melakukannya. Oleh itu biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa sebagaimana syaitan telah membuat kaum musyrikin memandang baik untuk memperuntukkan bagi Allah Swt sebahagian daripada apa yang diciptakan-Nya berupa tanaman dan haiwan ternakan dan sebahagian kepada berhala-berhala mereka, syaitan-syaitan itu juga menjadikan mereka itu memandang baik membunuh anak-anak mereka kerana takut kemiskinan dan mengubur hidup-hidup anak-anak perempuan mereka kerana takut menanggung aib.
Sekiranya Allah Swt menghendaki mereka tidak melakukannya, pastilah mereka tidak akan melakukannya. Namun semua ini terjadi atas kehendak-Nya dan apa yang dipilih-Nya pasti terjadi. Dia memiliki hikmah yang mendalam tentang hal ini dan Dia tidak akan disoal terhadap apa yang dilakukan-Nya sedangkan merekalah yang akan dipertanggungjawabkan.
Oleh itu, Rasulullah saw diperintahkan agar membiarkan mereka dengan urusan mereka berkaitan kedustaan yang mereka ada-adakan. Kelak Allah Swt akan membuat keputusan terhadap perbuatan mereka.
Ayat 138
وَقَالُوا۟ هَـٰذِهِۦٓ أَنْعَـٰمٌ وَحَرْثٌ حِجْرٌ لَّا يَطْعَمُهَآ إِلَّا مَن نَّشَآءُ بِزَعْمِهِمْ وَأَنْعَـٰمٌ حُرِّمَتْ ظُهُورُهَا وَأَنْعَـٰمٌ لَّا يَذْكُرُونَ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَيْهَا ٱفْتِرَآءً عَلَيْهِ ۚ سَيَجْزِيهِم بِمَا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ
Dan mereka berkata lagi: “Ini adalah binatang-binatang ternak dan tanaman-tanaman yang dilarang, yang tidak boleh seorang pun memakannya kecuali sesiapa yang kami kehendaki”, – menurut anggapan mereka; dan (sejenis lagi) binatang-binatang ternak yang dilarang menunggangnya; dan (sejenis lagi) bintang-bintang ternak yang tidak mereka sebutkan nama Allah ketika menyembelihnya; (semuanya itu mereka lakukan dengan) berdusta terhadap Allah. Allah akan membalas mereka disebabkan apa yang mereka telah ada-adakan itu.
Ayat ini menjelaskan tentang kebodohan orang-orang musyrik yang telah tersesat disebabkan perbuatan mereka yang syirik. Mereka telah membuat peraturan-peraturan dengan mengharamkan beberapa perkara tanpa hujah sama sekali. Semua larangan mereka itu adalah berdasarkan hawa nafsu dan pendapat mereka semata-mata. Mereka berdusta dan menyandarkan hal itu kepada agama Allah Swt dan syariat-Nya, padahal Dia tidak pernah mengizinkan dan merestui perbuatan mereka.
Menjadi kebiasaan bagi mereka membahagikan binatang-binatang ternak dan hasil tanaman mereka mengikut tujuan-tujuan yang mereka tetapkan sendiri. Antaranya mereka haramkan binatang-binatang yang mereka namakan Bahirah, Saibah, Wasilah dan Ham, untuk ditunggangi, untuk disembah kepada berhala dan binatang-binatang yang dilarang memakannya kecuali hanya boleh dimakan oleh orang-orang tertentu sahaja seperti kepada para pelayan berhala dan sebagainya. Padahal binatang ternak itu tidaklah haram sebaliknya halal dimakan, diambil susunya, digunakan sebagai alat pengangkutan barang dan juga halal untuk ditunggang. Firman Allah Ta’ala:
“Allah sekali-kali tidak pernah mensyariatkan adanya Bahirah, Saibah, Wasilah dan Ham. Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.”
Al-Ma’idah 5:103
Allah Swt mencela perbuatan mereka yang mendustakan-Nya dan Dia mengancam akan memberikan balasan azab kepada mereka.
Ayat 139
وَقَالُوا۟ مَا فِى بُطُونِ هَـٰذِهِ ٱلْأَنْعَـٰمِ خَالِصَةٌ لِّذُكُورِنَا وَمُحَرَّمٌ عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِنَا ۖ وَإِن يَكُن مَّيْتَةً فَهُمْ فِيهِ شُرَكَآءُ ۚ سَيَجْزِيهِمْ وَصْفَهُمْ ۚ إِنَّهُ حَكِيمٌ عَلِيمٌ
Dan mereka berkata lagi: “Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami”. Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki perempuan) bersekutu padanya (bersama-sama memakannya). Allah akan membalas mereka tentang apa yang mereka tetapkan (mengenai halal dan haram) itu. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
Menurut Ibnu ‘Abbas ra, maksud ayat, “Dan mereka berkata lagi: “Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami” ialah susu yang mereka haramkan bagi kaum wanita meminumnya dan hanya boleh diminum oleh kaum lelaki sahaja. Jika seekor kambing melahirkan anak jantan, maka mereka menyembelihnya dan dikhususkan untuk dimakan oleh kaum lelaki sahaja, tetapi jika kambing itu melahirkan anak betina, maka mereka membiarkannya hidup dan tidak menyembelihnya. Jika anak dilahirkan dalam keadaan mati, masing-masing daripada kaum lelaki dan kaum wanita boleh memakannya. Maka Allah Swt melarang semua perbuatan tersebut. Ini kerana mereka mengadakan pembohongan terhadap Allah Swt. Oleh itu, Dia akan memberi balasan di atas perkataan dusta mereka.
Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Bijaksana dalam perbuatan, firman, hukum dan ketetapan-Nya dan Dia Maha Mengetahui semua perbuatan hamba-hamba-Nya berupa kebaikan atau kejahatan dan kelak Allah Swt akan memberikan balasan yang setimpal atas perbuatan mereka itu.
Ayat 140
قَدْ خَسِرَ ٱلَّذِينَ قَتَلُوٓا۟ أَوْلَـٰدَهُمْ سَفَهًۢا بِغَيْرِ عِلْمٍ وَحَرَّمُوا۟ مَا رَزَقَهُمُ ٱللَّهُ ٱفْتِرَآءً عَلَى ٱللَّهِ ۚ قَدْ ضَلُّوا۟ وَمَا كَانُوا۟ مُهْتَدِينَ
Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan (sedang Allah yang memberi rezeki kepada sekalian makhluknya), dan juga (rugilah orang-orang yang) mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka, dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka, dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.
Allah Ta’ala menghina perbuatan mereka yang menguburkan anak-anak perempuan dan mengharamkan apa yang dihalalkan-Nya. Ini adalah disebabkan kebodohan mereka, menentukan sesuatu tanpa ilmu dan hanya mengikut hawa nafsu semata-mata. Sungguh amat rugi dan celaka bagi mereka yang melakukan perbuatan tersebut dan semata-mata mengadakan pembohongan terhadap-Nya.
Mereka rugi di dunia kerana kehilangan anak-anak yang mereka bunuh, manakala di akhirat pula mereka dikembalikan ke tempat yang paling buruk akibat mendustakan Allah Swt. Firman-Nya:
“Katakanlah, ‘Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidak beruntung. (Bagi mereka) kesenangan (sementara) di dunia, kemudian kepada Kami-lah mereka kembali, kemudian Kami rasakan kepada mereka seksa yang berat, disebabkan kekafiran mereka.”
Yunus 10:69-70