Balasan Amal Sesuai dengan Amalannya
Surah 6: Al-An’am (132 – 135)
Ayat 132
وَلِكُلٍّ دَرَجَـٰتٌ مِّمَّا عَمِلُوا۟ ۚ وَمَا رَبُّكَ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ
Dan bagi tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan; dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan.
Allah Ta’ala menjelaskan bahawa bagi setiap orang yang berbuat ketaatan atau berbuat maksiat kepada-Nya akan mendapat kedudukan yang sesuai dengan amalan masing-masing. Dia akan menempatkannya pada tingkatan-tingkatan yang sesuai dan memberikan balasan terhadapnya mengikut kadar amalannnya.
Jika seseorang yang taat kepada Allah Ta’ala dan melakukan kebaikan, semakin banyak ketaatan dan kebaikan yang dilakukan semakin tinggi darjatnya di sisi-Nya. Sebaliknya, orang yang derhaka dan bermaksiat kepada-Nya, ditimpakan pula seksaan yang bertingkat-tingkat, semakin besar dosanya semakin dahsyat balasan seksaan-Nya. Firman-firman-Nya:
“……………..Allah berfirman, “Masing-masing mendapat (seksaan) yang berlipat ganda, akan tetapi kamu tidak mengetahui.'”
Al-A’raf 7:38
“Orang-orang yang kafir dan menghalang (manusia) dari jalan Allah, Kami tambahkan kepada mereka seksaan atas seksaan disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan.”
An-Nahl 16:88
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia sekali-kali tidak akan lalai terhadap segala perbuatan makhluk-Nya. Dia mengetahui semuanya dan akan menghisab serta seterusnya akan memberikan balasan kepada mereka atas perbuatan itu ketika mereka menghadap dan kembali kepada-Nya.
Ayat 133
وَرَبُّكَ ٱلْغَنِىُّ ذُو ٱلرَّحْمَةِ ۚ إِن يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَسْتَخْلِفْ مِنۢ بَعْدِكُم مَّا يَشَآءُ كَمَآ أَنشَأَكُم مِّن ذُرِّيَّةِ قَوْمٍ ءَاخَرِينَ
Dan Tuhanmu Maha Kaya, lagi Melimpah-limpah rahmat-Nya. Jika Dia kehendaki, nescaya Dia binasakan kamu dan menggantikan sesudah (binasanya) kamu dengan sesiapa yang dikehendaki-Nya, sebagaimana Ia telah menjadikan kamu dari keturunan kaum yang lain.
Allah Ta’ala menyebutkan bahawa Dia Maha Kaya lagi melimpah ruah rahmat-Nya. Dia tidak memerlukan makhluk dan ibadah mereka. Namun demikian Dia memerintahkan hamba-hamba-Nya melakukan amal soleh dan melarang mereka melakukan kejahatan kerana sifat kasih sayang-Nya kepada mereka serta untuk faedah mereka sendiri.
Ketaatan mereka tidaklah memberi manfaat sedikitpun kepada Allah Ta’ala dan begitu juga kemaksiatan mereka tidaklah akan merugikan-Nya. Dia membiarkan mereka meneruskan kehidupan kerana rahmat-Nya kepada mereka.
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan kepada Rasulullah saw sekiranya Dia menghendaki, pastilah Dia akan membinasakan mereka yang ingkar kepada-Nya dan menciptakan kaum lain yang mengerjakan amal ketaatan bagi menggantikan mereka.
Sekiranya Allah Ta’ala mampu memusnahkan kaum-kaum terdahulu yang menentang-Nya kemudian menggantikannya dengan kaum yang lain, sudah pastilah Dia juga amat mampu melenyapkan mereka sebagaimana dia menjadikan mereka daripada keturunan yang lain.
Ayat 134
إِنَّ مَا تُوعَدُونَ لَـَٔاتٍ ۖ وَمَآ أَنتُم بِمُعْجِزِينَ
Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepada kamu (hari kiamat dan balasannya) tetap akan datang, dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan itu).
Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menjelaskan kepada kaumnya, bahawa apa sahaja yang dijanjikan-Nya kepada hamba-hamba-Nya iaitu hari kiamat dan pembalasan atas amal perbuatan manusia pasti akan terjadi dan mereka tidak mampu menolaknya. Ini kerana Dia Maha Berkuasa untuk menghidupkan manusia kembali setelah menjadi tanah dan tulang belulang di dalam kubur-kubur mereka.
Ayat 135
قُلْ يَـٰقَوْمِ ٱعْمَلُوا۟ عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ إِنِّى عَامِلٌ ۖ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ مَن تَكُونُ لَهُۥ عَـٰقِبَةُ ٱلدَّارِ ۗ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai kaumku (yang masih kafir), buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang Islam), sesungguhnya aku juga tetap beramal (berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam); kemudian kamu akan ketahui siapakah yang akan beroleh kebaikan dan kejayaan di dunia ini. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.
Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengingatkan kaumnya yang ingkar tentang ancaman keras dan janji-Nya kepada mereka iaitu mereka boleh meneruskan dengan jalan mereka sekiranya mereka menganggap bahawa mereka berada di jalan yang benar, sedangkan Baginda akan tetap berada di atas jalannya seperti yang diperintahkan-Nya. Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang akan menerima seksaan pada hari kiamat. Firman Allah Swt:
“Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman, ‘Berbuatlah menurut kemampuanmu, sesungguhnya Kami pun berbuat (pula). Dan tunggulah (akibat perbuatanmu), sesungguhnya Kami pun menunggu (pula).”
Hud 11:121-122