Surah 6: Al-An’am (125)

Keadaan Orang yang Mendapat Hidayah dan Orang yang Sesat

Surah 6: Al-An’am (125)


Ayat 125

فَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يَهْدِيَهُۥ يَشْرَحْ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَـٰمِ ۖ وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُۥ يَجْعَلْ صَدْرَهُۥ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِى ٱلسَّمَآءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ ٱللَّهُ ٱلرِّجْسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa hidayah itu ada pada sisiNya dan begitu juga dengan kesesatan. Dia akan memberikan petunjuk dengan rahmatNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia menyesatkan atas ilmu dan kebijaksanaanNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. 

Pada setiap petunjuk dan kesesatan itu adalah menurut peraturan Allah swt (sunnatullah), iaitu sesiapa yang berkeinginan dan berusaha mencari untuk mendapatkan petunjuk, maka Dia Maha Mengetahuinya. Kemudian Dia akan mempermudahkannya menerima petunjuk. Dia akan melapangkan dadanya untuk menerima cahaya keimanan sehingga dia beriman dan memperbaiki keimanannya serta menemui kebahagiaan sebagaimana firman-firmanNya: 

“Dan ketahuilah olehmu bahawa di kalanganmu ada Rasulullah. Kalau dia menuruti kemahuanmu dalam beberapa urusan benar-benarlah kamu mendapat kesusahan, tetapi Allah menjadikan kamu “cinta” kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kederhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus.” 

Al-Hujurat 49:7 

“Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu dia mendapat cahaya daripada Rabbnya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingati Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.” 

Az-Zumar 39:22 

Manakala bagi sesiapa yang mencari dan mencintai kesesatan kemudian membenarkannya, maka Allah swt Maha Mengetahuinya. Kemudian Dia mengadakan sebab-sebab jauhnya dia daripada hidayah dan menutup pintu-pintunya, menjadikan dadanya sesak dan sempit sehingga tidak mampu menerima cahaya keimanan. Dia membiarkan syaitan dan orang-orang yang sesat sepertinya menguasainya lalu disesatkannya dan dihalanginya daripada beriman kepadaNya dan pada hari pertemuan denganNya. FirmanNya: 

“Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar di antaramu, maka apakah kamu tidak memikirkan?” 

Yasin 36:62 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa neraka Jahannam adalah tempat kembali dan rumah bagi mereka dan teman-teman mereka. Mereka kekal di dalamnya. FirmanNya: 

“Adapun orang-orang yang celaka, maka (tempatnya) di dalam neraka, di dalamnya mereka mengeluarkan dan menarik nafas (dengan merintih).” 

Hud 11:106