Surah 6: Al-An’am (118 – 121)

Dihalalkan Binatang yand Disembelih dengan Menyebut Nama Allah

Surah 6: Al-An’am (118 – 121)


Ayat 118

فَكُلُوا۟ مِمَّا ذُكِرَ ٱسْمُ ٱللَّهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِـَٔايَـٰتِهِۦ مُؤْمِنِينَ

Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.

Allah Ta’ala memerintahkan hamba-hambaNya yang mukmin sebagai peneguhan iman mereka agar memakan hanya haiwan yang halal iaitu yang disembelih dengan menyebut namaNya dan tidak melakukan seperti apa yang dilakukan oleh kaum jahiliah. Kaum ini mengharamkan apa yang telah dihalalkanNya. Dia juga menyebutkan antara ciri-ciri orang mukmin adalah tidak mengikut adat kaum Jahiliah yang tercela dengan mengubah syariatNya. 

Ayat 119

وَمَا لَكُمْ أَلَّا تَأْكُلُوا۟ مِمَّا ذُكِرَ ٱسْمُ ٱللَّهِ عَلَيْهِ وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا ٱضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا لَّيُضِلُّونَ بِأَهْوَآئِهِم بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُعْتَدِينَ

Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.

Pertanyaan Allah Ta’ala dalam ayat ini ialah sebagai penegasan terhadap mereka yang masih ragu-ragu untuk memakan daging binatang (yang halal dimakan) yang disembelih dengan menyebut namaNya, padahal Dia telah menjelaskan kepada mereka apa yang diharamkanNya seperti bangkai, darah yang mengalir, daging babi, dan apa yang disembelih bukan atas namaNya sebagaimana firman-firmanNya: 

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi (daging binatang) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala……………..” 

Al-Ma’idah 5:3 

“Katakanlah, ‘Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu kotor atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah………..'” 

Al-An’am 6:145 

Kemudian Allah Ta’ala mengecualikan keharaman tersebut ketika berada dalam keadaan darurat iaitu terpaksa memakannya antaranya kerana dibimbangi akan mati kelaparan. 

Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan bahawa kebanyakan orang kafir menyesatkan manusia yang lain dengan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram berdasarkan hawa nafsu dan tanpa ilmu sama sekali. Sesungguhnya menghalalkan dan mengharamkan adalah hak Allah Ta’ala dan bukan hak manusia. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memberi amaran bahawa Dia mengetahui segala tindakan kebohongan dan kepalsuan mereka yang melampaui batas. Mereka pasti akan dibalas dengan azab sesuai dengan pelanggaran mereka terhadap hakNya dalam menghalalkan dan mengharamkan sesuatu. 

Ayat 120

وَذَرُوا۟ ظَـٰهِرَ ٱلْإِثْمِ وَبَاطِنَهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكْسِبُونَ ٱلْإِثْمَ سَيُجْزَوْنَ بِمَا كَانُوا۟ يَقْتَرِفُونَ

Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.

Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang mukmin agar meninggalkan semua dosa dan maksiat yang dilakukan sama ada secara sembunyi atau terang-terangan, sama ada sedikit ataupun banyak. FirmanNya: 

“Katakanlah, ‘Rabbku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.'” 

Al-A’raf 7:33 

Kemudian Allah Ta’ala memberi ancaman bahawa Dia pasti akan membalas sesiapa sahaja yang berbuat dosa dengan ditimpakan seksaan yang berat akibat daripada pelanggaran-pelanggaran yang dilakukannya dengan sengaja atau terang-terangan. Bagi orang-orang yang sempat bertaubat sebelum kematiannya dengan sebenar-benar taubat dan menyesali dosa-dosanya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 

Ayat 121

وَلَا تَأْكُلُوا۟ مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ ٱسْمُ ٱللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُۥ لَفِسْقٌ ۗ وَإِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰٓ أَوْلِيَآئِهِمْ لِيُجَـٰدِلُوكُمْ ۖ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ

Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa); dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.

Dalam ayat sebelum ini, Allah Ta’ala telah menjelaskan tentang daging binatang yang halal dimakan, kemudian dalam ayat ini pula Dia menjelaskan tentang daging yang tidak boleh dimakan iaitu daging binatang yang ketika disembelih tidak disebut namaNya. 

Memakan daging binatang yang disembelih dengan tidak menyebut nama Allah swt adalah benar-benar suatu kefasikan. Perbuatan tersebut terkeluar daripada ajaran Islam dan ketaatan kepada perintahNya. 

Kemudian Allah swt menjelaskan bahawa punca timbulnya kefasikan tersebut adalah daripada bisikan syaitan. Allah Ta’ala mengatakan bahawa sesungguhnya syaitan-syaitan daripada golongan jin dan manusia membisikkan orang-orang musyrik agar membantah Rasulullah saw dan para sahabatnya tentang hukum memakan binatang yang diharamkan. 

Sekiranya mereka mentaati orang-orang musyrik tentu mereka juga akan termasuk dalam golongan musyrik ini kerana mereka telah berpaling daripada perintah dan syariatNya.