Surah 6: Al-An’am (116 – 117)

Kebanyakan Manusia Berada dalam Kesesatan

Surah 6: Al-An’am (116 – 117)


Ayat 116

وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِى ٱلْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa ramai di kalangan manusia berada dalam kesesatan iaitu mereka melakukan atau mengamalkan sesuatu tidak berdasarkan kepada kebenaran, sebagaimana firmanNya: 

“Dan sesungguhnya telah sesat sebelum mereka (Quraisy) sebahagian besar daripada orang-orang yang dahulu.” 

As-Saffat 37:71 

Oleh itu, Allah Ta’ala mengingatkan Rasulullah saw agar tidak mengikuti kebanyakan manusia. Ini kerana kebanyakan mereka hanya mengikuti sangkaan semata-mata dalam setiap perbuatan mereka. Mereka hanya mengikuti hawa nafsu dan ajaran nenek moyang mereka serta selalu berdusta terhadap Allah Ta’ala. Padahal tidak ada alasan bagi mereka untuk mendustakanNya, seperti  menghalalkan memakan apa yang telah diharamkanNya dan mengharamkan apa yang telah dihalalkanNya, menyatakan bahawa Allah swt mempunyai anak dan sebagainya. 

Ayat 117

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ مَن يَضِلُّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalannya, dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia lah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat daripada jalanNya dan siapa yang berhak mendapat petunjuk lalu Dia memudahkan mereka menuju jalan-jalan tersebut. Masing-masing dimudahkanNya mengikut takdir yang telah digariskanNya.