Surah 6: Al-An’am (114 – 115)

Bimbingan kepada Rasulullah saw dalam Membantah Kaum Musyrikin

Surah 6: Al-An’am (114 – 115)


Ayat 114

أَفَغَيْرَ ٱللَّهِ أَبْتَغِى حَكَمًا وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ إِلَيْكُمُ ٱلْكِتَـٰبَ مُفَصَّلًا ۚ وَٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ يَعْلَمُونَ أَنَّهُۥ مُنَزَّلٌ مِّن رَّبِّكَ بِٱلْحَقِّ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمُمْتَرِينَ

(Katakanlah wahai Muhammad): “Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?” Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu.

Allah Ta’ala menjelaskan kepada Rasulullah saw bahawa Dia lah yang telah menurunkan Al-Quran kepada Baginda, menjelaskan hukum secara terperinci berkaitan dengan akidah, syariah dan peradaban. Dia lah yang memberikan penyelesaian terhadap segala permasalahan manusia dengan adil dan benar. 

Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menyatakan dengan tegas tentang sikapnya terhadap hukum-hukumNya iaitu Baginda tidak akan sekali-kali mencari hakim selainNya untuk menetapkan hukum terhadap sesuatu perkara. Ini kerana Rabbnya telah menurunkan kepadanya Al-Quran secara terperinci dan tidak ada hukum yang lebih adil daripada hukumNya. 

Sesungguhnya kaum Bani Israil yang diberikan kitab Taurat dan Injil oleh Allah Ta’ala mengetahui dengan penuh keyakinan bahawa Al-Quran itu benar-benar telah diturunkan kepada Rasulullah saw. Ini kerana dalam kitab mereka itu terdapat keterangan tentang kerasulan Baginda. Namun disebabkan ada perasaan dengki terhadap Baginda yang bukan daripada keturunan Bani Israil, mereka menyembunyikan kebenaran tersebut. 

 Oleh itu, Allah Ta’ala mengingatkan Rasulullah saw supaya tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang meragui Al-Quran yang diturunkan kepadanya. FirmanNya: 

“Maka jika kamu (Muhammad) berada dalam keraguan tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu. Sesungguhnya telah datang kebenaran kepadamu daripada Rabbmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.” 

Yunus 10:94 

Ayat 115

وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا ۚ لَّا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِهِۦ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.

Oleh itu dalam ayat ini, Allah Ta’ala menegaskan bahawa telah sempurna kalimahNya iaitu Al-Quran yang benar, di dalamnya terdapat berita-berita sesuatu perkara, pernyataan dan keadilan hukum-hukum serta janji-janjiNya. Tidak ada seorang pun berkuasa mengubah kalimah-kalimahNya yang sempurna. 

Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa Dia lah Yang Maha Mendengar semua ucapan hamba-hambaNya dan mengetahui segala urusan secara zahir atau batin.