Musuh Nabi daripada Kalangan Jin dan Manusia
Surah 6: Al-An’am (112 – 113)
Ayat 112
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّا شَيَـٰطِينَ ٱلْإِنسِ وَٱلْجِنِّ يُوحِى بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ ٱلْقَوْلِ غُرُورًا ۚ وَلَوْ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ ۖ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, sesetengahnya membisikkan kepada sesetengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia menjadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh-musuh yang terdiri daripada syaitan-syaitan sama ada daripada jenis manusia mahupun daripada jenis jin. Oleh itu, Rasulullah saw diminta agar bersabar dan tidak bersedih. Firman-firman Allah Swt:
“Dan sesungguhnya telah didustakan (pula) rasul-rasul sebelum kamu, akan tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan (yang dilakukan) terhadap mereka, sampai datang pertolongan Allah kepada mereka. Tidak ada seorangpun yang dapat mengubah kalimah-kalimah (janji-janji) Allah. Dan sesungguhnya telah datang kepadamu sebahagian daripada berita rasul-rasul itu.”
Al-An’am 6:34
“Dan seperti itulah, telah Kami adakan bagi tiap-tiap nabi, musuh daripada orang-orang yang berdosa. Dan cukuplah Rabbmu menjadi Pemberi Petunjuk dan Penolong.”
Al-Furqan 25:31
Maksud ayat, “sesetengahnya membisikkan kepada sesetengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya” adalah mereka satu sama lain menyampaikan kata-kata yang telah dihias indah yang mampu memperdaya pendengarnya daripada kalangan yang tidak mengetahui tentang sesuatu urusan.
Sekiranya Allah Swt menghendaki supaya syaitan-syaitan itu tidak dapat menipu manusia, tentulah mereka tidak dapat berbuat sesuatu apapun. Namun, Allah Ta’ala memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih apa yang akan mereka kerjakan menurut petunjuk akalnya yang sihat dan memilih jalan yang akan ditempuhnya sama ada jalan yang benar atau jalan yang sesat.
Oleh itu, Rasulullah saw disuruh meninggalkan dan tidak menghiraukan gangguan mereka serta bertawakkal kepada-Nya. Ini kerana Dia-lah Pelindung dan Penolong dalam menghadapi permusuhan mereka dan di akhirat kelak mereka akan dipertanggungjawabkan terhadap segala tingkah laku mereka selama berada di dunia.
Ayat 113
وَلِتَصْغَىٰٓ إِلَيْهِ أَفْـِٔدَةُ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ وَلِيَرْضَوْهُ وَلِيَقْتَرِفُوا۟ مَا هُم مُّقْتَرِفُونَ
Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya dipersetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa syaitan-syaitan itu membisikkan ucapan-ucapan yang penuh dengan tipu daya dan menjadikan sesuatu itu indah pada pemikiran manusia. Ini dilakukan agar manusia yang tidak beriman akan cenderung kepada kebatilan. Oleh itu, mereka berasa senang untuk melakukan kekufuran, kesyirikan dan perbuatan maksiat yang lain.