Larangan Mencaci Tuhan Kaum Musyrikin
Surah 6: Al-An’am (108)
Ayat 108
وَلَا تَسُبُّوا۟ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّوا۟ ٱللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
Allah Ta’ala melarang Rasul-Nya dan orang-orang mukmin mencaci tuhan orang-orang musyrik meskipun terdapat manfaat padanya. Ini kerana mereka akan menghina Allah Ta’ala atas dasar permusuhan. Mereka akan melakukannya dengan melampaui batas untuk menimbulkan kemarahan orang-orang mukmin. Mereka melakukannya kerana mereka tidak mengetahui kebesaran dan keagungan-Nya.
Ini menunjukkan bahawa sesuatu ketaatan atau kemaslahatan jika menyebabkan kemaksiatan atau kerugian, hendaklah ditinggalkan seperti firman-Nya terhadap Nabi Musa as dan Nabi Harun as agar tetap bersikap lembut dalam berdakwah kepada Firaun walaupun dia seorang yang zalim dan kejam:
“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut.”
Taha 20:44