Surah 6: Al-An’am (91 – 92)

Bantahan kepada Orang yang Mengingkari Kenabian

Surah 6: Al-An’am (91 – 92)


Ayat 91

وَمَا قَدَرُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِۦٓ إِذْ قَالُوا۟ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَىٰ بَشَرٍ مِّن شَىْءٍ ۗ قُلْ مَنْ أَنزَلَ ٱلْكِتَـٰبَ ٱلَّذِى جَآءَ بِهِۦ مُوسَىٰ نُورًا وَهُدًى لِّلنَّاسِ ۖ تَجْعَلُونَهُۥ قَرَاطِيسَ تُبْدُونَهَا وَتُخْفُونَ كَثِيرًا ۖ وَعُلِّمْتُم مَّا لَمْ تَعْلَمُوٓا۟ أَنتُمْ وَلَآ ءَابَآؤُكُمْ ۖ قُلِ ٱللَّهُ ۖ ثُمَّ ذَرْهُمْ فِى خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ

Dan tiadalah mereka (kaum Yahudi) menghormati Allah sesuai dengan penghormatan yang sebenarnya ketika mereka berkata: “Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia”. Bertanyalah (kepada kaum Yahudi yang ingkar itu): “Siapakah yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia, yang kamu jadikan dia lembaran-lembaran kertas, sambil kamu perlihatkan (kepada orang ramai sebahagian kecil daripadanya) dan kamu sembunyikan kebanyakannya; sedang kamu pula diajarkan (dengan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya), yang tidak diketahui oleh kamu (sebelum itu) dan tidak juga oleh datuk nenek kamu?” Katakanlah (kepada mereka): “Allah jualah (yang menurunkannya)”, kemudian, biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang musyrik tidak mengagungkan-Nya dengan pengagungan yang selayaknya. Mereka mendustakan para rasul yang diutus kepada mereka dan mengatakan bahawa Dia tidak menurunkan kitab dari langit. 

Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Muhammad saw bertanya kepada orang-orang musyrik Quraisy tentang siapa yang menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa as sebagai cahaya yang memadamkan kegelapan dan memberikan hidayah kepada mereka serta mengeluarkan mereka daripada kesesatan menuju cahaya kebenaran yang dapat mengubah mereka menjadi baik dan mengakui kelebihan Taurat sebagaimana firman-Nya: 

“Atau agar kamu (tidak) mengatakan, “Sesungguhnya jikalau kitab ini diturunkan kepada kami, tentulah kami lebih mendapat petunjuk daripada mereka.” Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata daripada Rabbmu, petunjuk dan rahmat. Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya? Kelak Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang berpaling daripada ayat-ayat Kami dengan siksa yang buruk, disebabkan mereka selalu berpaling.” 

Al-An’am 6:157 

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang Yahudi yang menyembunyikan sifat Rasulullah saw, hukum rejam kepada penzina dan beberapa perkara lain lagi yang terdapat di dalam kitab Taurat. Mereka sebenarnya telah memalsukan kitab tersebut dan mengurangkannya dengan membuang sebahagian besar isinya serta menjadikannya lembaran-lembaran yang terpisah. Lalu mereka mengatakan semuanya itu berasal daripada Allah Ta’ala padahal semuanya bohong belaka. Apabila ditanya tentang sesuatu masalah, mereka akan menjawab sesuai dengan hawa nafsu mereka dan menyembunyikan kebanyakan daripada isi Taurat yang asal. 

Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menurunkan Al-Quran untuk memberitahu mereka tentang orang-orang yang terdahulu dan yang akan datang yang belum pernah mereka dan nenek moyang mereka ketahui. Al-Quran merupakan suatu anugerah daripada Allah Ta’ala kepada Rasulullah saw bagi menjelaskan dasar-dasar akidah disertakan dengan dalil. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan kepada Rasul-Nya agar membiarkan mereka dalam kebodohan dan kesesatan sekiranya mereka masih tidak mahu menerima dan percaya terhadap kebenaran Al-Quran sehingga kematian menjemput mereka. Ketika itu, mereka akan mengetahui apakah akibat yang baik itu bagi mereka atau bagi hamba-hamba-Nya yang bertakwa. 

Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengatakan bahawa kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa as dan Al-Quran diturunkan kepada Baginda saw dan Dia-lah yang menurunkannya. 

Ayat 92

وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ مُبَارَكٌ مُّصَدِّقُ ٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ وَلِتُنذِرَ أُمَّ ٱلْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا ۚ وَٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ يُؤْمِنُونَ بِهِۦ ۖ وَهُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk “Ummul-Qura” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.

Allah Ta’ala menegaskan bahawa Al-Quran adalah kitab yang diturunkan-Nya kepada Rasulullah saw agar Baginda dapat memberikan peringatan kepada seluruh umat manusia dengannya. Ini kerana ia dapat memberi petunjuk kepada kebenaran dan jalan yang lurus sebagaimana kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa as. Sabda Rasulullah saw: 

“Semua nabi itu diutus hanya kepada kaumnya sahaja, sedangkan aku diutus untuk seluruh manusia.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Allah Ta’ala juga menjadikan Al-Quran itu penuh keberkatan dan kebaikan, mengukuhkan dan membenarkan kitab-kitab sebelumnya, memberi khabar gembira dengan balasan syurga dan keampunan bagi orang-orang yang bertakwa. Manakala berita ancaman neraka dan seksaan bagi orang-orang yang mengingkarinya. 

“…………..Dan Al-Quran ini diwahyukan kepadaku supaya dengannya aku memberi peringatan kepadamu dan kepada orang-orang yang sampai Al-Quran (kepadanya)………..” 

Al-An’am 6:19 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang beriman kepada-Nya dan hari akhirat, pasti akan beriman kepada Al-Quran yang diberkati-Nya. Orang-orang yang beriman juga akan menunaikan segala yang difardhukan kepada mereka seperti menjaga solat lima waktu mengikut syarat dan rukunnya serta adab dan penyempurnaannya. Semoga Allah Swt menjadikan kita termasuk golongan mereka, Allahumma aamiin.