Surah 6: Al-An’am (84 – 90)

Orang-orang yang Telah Diberikan Hikmah, Kitab dan Kenabian

Surah 6: Al-An’am (84 – 90)


Ayat 84

وَوَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ ۚ كُلًّا هَدَيْنَا ۚ وَنُوحًا هَدَيْنَا مِن قَبْلُ ۖ وَمِن ذُرِّيَّتِهِۦ دَاوُۥدَ وَسُلَيْمَـٰنَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ

Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menganugerahkan Nabi Ibrahim as dengan keturunannya yang soleh iaitu Nabi Ishak as sebagai seorang rasul yang meneruskan perjuangannya, menegakkan agama tauhid dan menghancurkan kemusyrikan. Allah Swt juga mengangkat Nabi Yaakub as, cucu Baginda daripada keturunan Nabi Ishak as sebagai penerus perjuangan nabi-nabi dan rasul-rasul. Mereka itu semuanya tunduk kepada wahyu Allah Swt, diberikan hikmah dan ilmu-Nya bagi meneruskan perjuangan agar tertegaknya agama tauhid. 

Nabi Ishak as disebutkan secara tersendiri dalam ayat ini adalah disebabkan Baginda merupakan anugerah daripada Allah Ta’ala kepada Nabi Ibrahim as yang mengandungi tanda-tanda kekuasaan-Nya setelah lanjut usianya dan isterinya (Sarah) tidak pernah mempunyai anak dan sudah berasa tipis harapan untuk mendapat anak, seperti diterangkan dalam firman Allah Swt: 

“Isterinya berkata, ‘Sungguh menghairankan, apakah aku akan melahirkan anak padahal aku adalah seorang perempuan tua, dan ini suamiku pun dalam keadaan yang sudah tua pula? Sesungguhnya ini benar-benar suatu yang sangat aneh. Para malaikat itu berkata, ‘Apakah kamu berasa hairan tentang ketetapan Allah? (Itu adalah) rahmat Allah dan keberkatan-Nya, dicurahkan atas kamu, wahai ahlulbait! Sesungguhnya Allah Maha Terpuji lagi Maha Pemurah.'” 

Hud 11:72-73 

Ini merupakan anugerah Allah Ta’ala kerana kuat imannya, ikhlas dan tekunnya Baginda melakukan kebaikan serta ketabahannya menghadapi beberapa ujian-Nya seperti diuji dengan perintah menyembelih anaknya Nabi Ismail as yang ketika itu Baginda hanya mempunyai seorang anak. Begitulah Dia membalas orang-orang yang taat dan melakukan kebaikan. 

Hidayah yang diterima oleh Nabi Ibrahim as dan keturunannya yang soleh itu adalah nikmat Allah Swt yang juga pernah diberikan kepada Nabi Nuh as sebelumnya. Sebagaimana Nabi Ibrahim as memperoleh nikmat berupa hidayah, seperti yang diterima oleh Nabi Nuh as, seperti itulah juga Allah Swt menjanjikan bahawa keturunannya yang soleh pun akan memperoleh hidayah. 

Antara keturunan Nabi Ibrahim as yang soleh yang disebutkan dalam ayat ini ialah Nabi Daud as putera Nabi Sulaiman as, Nabi Ayyub as, Nabi Yusuf as, Nabi Musa as dan Nabi Harun as. Ada di antara para nabi ini diberikan kedudukan yang tinggi memegang tampuk pemerintahan kepada kaum masing-masing di samping diberikan darjat kenabian. 

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menjelaskan bahawa Dia akan memberikan balasan yang setimpal kepada orang-orang yang berbuat baik, iaitu mereka yang selalu merujuk kepada pedoman-Nya dan berpegang kepada kebenaran. 

Ayat 85

وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَىٰ وَعِيسَىٰ وَإِلْيَاسَ ۖ كُلٌّ مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh.

Allah Ta’ala juga telah memberi petunjuk kenabian dan hikmah kepada keturunan Nabi Ibrahim as, Nabi Zakaria as, Nabi Yahya as, Nabi Isa as dan Nabi Ilyasa’ as. Semuanya termasuk orang-orang yang soleh dalam ucapan mahupun tindakan. 

Ayat 86

وَإِسْمَـٰعِيلَ وَٱلْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًا ۚ وَكُلًّا فَضَّلْنَا عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Ilyasa’ dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).

Sesudah itu Allah Swt menyebutkan keturunan Nabi Ibrahim as yang diberikan-Nya hidayah dan kenabian, iaitu Nabi Ismail as, Nabi Ilyasa’ as, Nabi Yunus as dan Nabi Lut as, masing-masing Dia lebihkan darjat atas umat mereka. 

Para rasul yang Allah Swt ceritakan dalam kitab-Nya adalah para rasul yang paling utama di antara sekian para rasul. Darjat mereka sangat tinggi melebihi para wali, para siddiqin, para syuhada dan orang-orang yang soleh. 

Ayat 87

وَمِنْ ءَابَآئِهِمْ وَذُرِّيَّـٰتِهِمْ وَإِخْوَٰنِهِمْ ۖ وَٱجْتَبَيْنَـٰهُمْ وَهَدَيْنَـٰهُمْ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan (Kami juga lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka, dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara-saudara mereka; dan Kami telah pilih mereka, serta Kami tunjukkan mereka ke jalan yang lurus.

Ayat ini merupakan penegasan kepada ayat-ayat yang lepas iaitu tentang keutamaan-keutamaan yang diberikan oleh Allah Swt kepada nenek moyang Nabi Ibrahim as, iaitu Nabi Nuh as dan keturunannya iaitu Nabi Ishak as, Nabi Yaakub as, Nabi Daud as, Nabi Sulaiman as, Nabi Ayyub as, Nabi Yunus as, Nabi Musa as dan Nabi Harun as. 

Ayat 88

ذَٰلِكَ هُدَى ٱللَّهِ يَهْدِى بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ ۚ وَلَوْ أَشْرَكُوا۟ لَحَبِطَ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Yang demikian itu ialah petunjuk Allah, yang dengannya Dia memimpin sesiapa yang dihendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya; dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik).

Allah Swt menegaskan bahawa petunjuk yang mereka terima itu adalah berkat petunjuk yang diberikan-Nya kepada nabi-nabi dan rasul-rasul sebagai taufik daripada-Nya yang memimpin mereka ke jalan yang hak dan yang diredhai-Nya. 

Dengan hidayah itulah mereka membela tauhid dan mengamalkan ajaran-ajaran-Nya secara ikhlas serta membanteras penyembahan berhala-berhala dan pemujaan bintang-bintang. Hidayah yang diterima itu adalah hidayah yang tidak dapat diusahakan oleh manusia, sebaliknya hidayah ini hanya diterima oleh orang-orang yang dikehendaki oleh Allah Swt. 

Pada akhir ayat ini, Allah Swt memberikan peringatan kepada orang-orang yang beriman dan berjalan di bawah naungan hidayah-Nya bahawa apabila mereka itu menyeleweng daripada agama tauhid dan menyembah sembahan lain, pasti Allah Swt akan menghapuskan segala amal perbuatan baik yang mereka lakukan. Firman Allah Swt: 

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu. Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi.” 

Az Zumar 39:65 

Ayat 89

أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحُكْمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ۚ فَإِن يَكْفُرْ بِهَا هَـٰٓؤُلَآءِ فَقَدْ وَكَّلْنَا بِهَا قَوْمًا لَّيْسُوا۟ بِهَا بِكَـٰفِرِينَ

Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepadanya Kitab Suci, dan hikmah (ilmu pengetahuan), serta pangkat kenabian. Oleh itu, jika orang-orang (kafir) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain) yang tidak akan mengingkarinya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa para nabi yang telah diberikan0Nya hidayah dan kenabian, mereka itulah orang-orang yang telah diberikan kitab suci seperti suhuf Nabi Ibrahim as, Taurat Nabi Musa as, Zabur Nabi Daud as dan Injil Nabi Isa as dan diberikan pemahaman terhadap kitab-kitab suci tersebut. 

Antara para nabi ada yang diberikan hikmah dan kenabian untuk menghakimi manusia ialah mereka yang diutus sezaman dengan Nabi Musa as atau sesudahnya, sebelum kedatangan Nabi Isa as seperti Nabi Harun as, Nabi Zakaria as dan Nabi Yahya as. Di antara mereka ada yang diberikan hikmah tatkala masih kecil seperti Nabi Yahya as. Firman Allah Swt: 

“Wahai Yahya, ambillah Al-Kitab (Taurat) itu dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya hikmah semasa dia masih kanak-kanak.” 

Maryam 19:12 

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menegaskan bahawa apabila orang-orang musyrik (penduduk Mekah) dan orang-orang yang mempunyai sifat yang sama iaitu mengingkari kitab, hukum dan kenabian yang diberikan kepada para nabi itu maka Dia akan menyerahkan darjat kemuliaan yang dijanjikan itu kepada umat lain yang tidak mengingkari apa yang disampaikan oleh nabi mereka. 

Ayat 90

أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُ ۖ فَبِهُدَىٰهُمُ ٱقْتَدِهْ ۗ قُل لَّآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا ۖ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْعَـٰلَمِينَ

Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.

Allah Ta’ala menjelaskan kepada Nabi Muhammad saw dan pengikut-pengikutnya, bahawa Nabi Ibrahim as dan keturunan-keturunannya mendapat keutamaan adalah kerana mendapat petunjuk Allah Swt ke jalan yang lurus. Dia juga memerintahkan kepadanya mengikuti jejak mereka, memegang agama tauhid, berakhlak mulia dan melakukan perbuatan yang diredhai Allah Swt serta menghiasi dirinya dengan sifat-sifat yang utama iaitu sabar dalam menjalankan tugas dan tabah menghadapi tipu muslihat serta tentangan kaumnya. Firman-firman-Nya: 

“Dan semua kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu adalah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu………………” 

Hud 11:120 

“Dan sesungguhnya telah didustakan (pula) Rasul-rasul sebelum kamu akan tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan terhadap mereka, hingga datang pertolongan Kami kepada mereka…………….” 

Al-An’am 6:34 

Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Muhammad saw agar tidak mengharapkan sedikitpun upah daripada umatnya dalam menyampaikan wahyu dan menegakkan kebenaran, sebagaimana juga nabi-nabi terdahulu. 

Nabi Muhammad saw dan nabi-nabi sebelumnya hanyalah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Swt dalam menyampaikan wahyu dan menegakkan kebenaran. Firman-Nya: 

“………….Katakanlah, ‘Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan……………….'” 

Asy-Syura 42:23 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memberikan penegasan bahawa Al-Quran itu adalah untuk seluruh umat manusia. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah saw tidaklah diutus untuk orang Mekah atau Madinah sahaja tetapi Baginda diutus kepada seluruh umat manusia di seluruh alam untuk membimbing mereka ke jalan yang benar dan bebas daripada kesesatan.