Kisah Nabi Ayyub as dan Penyakitnya
Surah 21: Al-Anbiya’ (83 – 84)

Ayat 83
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ
Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika dia menyeru Rabbnya, “(Wahai Rabbku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.”
Nama Nabi Ayyub as disebutkan dalam Al-Quran sebanyak empat kali iaitu dalam Surah An-Nisa’, Surah Al-An’am, Surah Al-Anbiya’ dan Surah Sad.
Allah Ta’ala mengurniakan Nabi Ayyub as kenabian, melapangkan dunia untuknya dengan binatang yang digunakan sebagai kenderaan, binatang ternak, tanaman yang banyak, anak yang ramai dan tempat tinggal yang menyenangkan.
Kemudian Allah Ta’ala menguji Nabi Ayyub as apabila semua yang dimilikinya itu lenyap dan ditimpa pula penyakit yang teruk. Penyakit yang dideritai oleh baginda itu menyebabkan tidak ada seorang pun yang mendekatinya selain isteri yang menguruskannya. Namun penyakit tersebut bukanlah penyakit yang menjijikkan kerana para nabi adalah orang-orang yang terselamat daripada sebarang penyakit yang menjijikkan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda:
“Manusia yang paling berat ujiannya ialah para nabi, kemudian orang-orang soleh, kemudian yang seperti mereka, lalu yang seperti mereka.”
(HR At-Tabrani)
Dalam hadis lain, Rasulullah saw bersabda:
“Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia memiliki keteguhan dalam agamanya, maka semakin bertambahlah ujiannya.”
(HR. Ahmad)
Nabi Ayyub as mengadu penderitaannya kepada Allah Ta’ala dan berdoa dengan menyifatkan bahawa Dia lah yang paling Mengasihani. Doa baginda, أَنّي مَسَّنِيَ الضُّرُّوَأَنتَ أَرحَمُ الرّٰحِمينَ bermaksud “(Wahai Rabbku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.”
Ayat 84
فَٱسْتَجَبْنَا لَهُۥ فَكَشَفْنَا مَا بِهِۦ مِن ضُرٍّۢ ۖ وَءَاتَيْنَـٰهُ أَهْلَهُۥ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَذِكْرَىٰ لِلْعَـٰبِدِينَ
Maka Kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah.
Allah Ta’ala mengatakan bahawa Dia mengabulkan doa Nabi Ayyub as dan melenyapkan ujian atasnya. Kemudian Dia mengembalikan apa yang telah hilang daripadanya berupa isteri, anak dan harta benda dengan jumlah yang berlipat ganda.
Ada yang berpendapat, Allah Ta’ala menghidupkan anak-anak Nabi Ayyub as keseluruhannya dan pendapat lain pula mengatakan Allah Ta’ala memberi ganti kepada baginda ketika di dunia dan menyatukan mereka kembali bersamanya kelak di akhirat.
Allah Ta’ala melakukan semua perkara ini adalah atas rahmat-Nya dan menjadikan kisah baginda sebagai teladan kepada orang-orang yang mendapat ujian. Ini supaya mereka tidak mengandaikan bahawa Dia menimpakan ujian disebabkan kelalaian mereka terhadap perintah-Nya.
Selain itu, kisah ini boleh dijadikan panduan kepada manusia supaya bersabar menghadapi pelbagai ketetapan Allah Ta’ala dan ujian yang diberikan-Nya serta terdapat hikmah yang sangat tepat di sebalik ujian yang diberikan-Nya.