Larangan Mengabaikan Orang yang Mencari Keredhaan Allah Swt daripada Kalangan Orang Miskin
Surah 6: Al-An’am (52 – 55)
Ayat 52
وَلَا تَطْرُدِ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ ۖ مَا عَلَيْكَ مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَىْءٍ وَمَا مِنْ حِسَابِكَ عَلَيْهِم مِّن شَىْءٍ فَتَطْرُدَهُمْ فَتَكُونَ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredhaan-Nya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud, dia menceritakan bahawa ada segolongan pembesar Quraisy berjalan di hadapan Rasulullah saw. Pada saat itu di sisi Baginda terdapat Khabbab, Suhaib, Bilal, dan Ammar. Lalu mereka (para pembesar Quraisy) berkata, “Wahai Muhammad, apakah kamu rela menjadi teman orang-orang itu (iaitu yang ada di sisi Nabi saw?” Maka turunlah ayat ini.
Dan berilah amaran dengan Al-Quran itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat)“ (Al-An’am: 51) hingga firman-Nya, “Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?” (Al-An’am:53)
Dalam ayat ini, Allah Ta’ala mengingatkan Rasulullah saw agar tidak sekali-kali mengabaikan orang-orang yang menyembah dan menyeru Allah Swt pagi dan petang semata-mata untuk mencari keredhaan-Nya dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya, walaupun mereka itu adalah orang-orang miskin atau orang-orang yang rendah darjat mereka dalam masyarakat.
Kebanyakan orang-orang yang mula-mula beriman dan mengikuti seruan para rasul adalah orang-orang yang menggunakan akal walaupun mereka adalah orang-orang yang miskin yang dipandang hina oleh masyarakat, sedangkan pembesar-pembesar masyarakat dan orang-orang kaya memusuhi dan mengingkari seruan rasul. Mereka yang miskin itu beribadah dan bersedekah semata-mata kerana Allah swt serta tidak menginginkan pujian daripada manusia, sebagaimana firman-firman-Nya:
“Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu, hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah. Kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.”
Al-Insan 76:8-9
“Padahal tidak ada seorangpun memberikan sesuatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Rabbnya yang Maha Tinggi dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan.”
Al-Lail 92:19-21
Meskipun di antara mereka itu ada yang dipandang rendah kedudukan mereka dalam masyarakat tetapi di sisi Allah Swt dia adalah orang yang paling mulia.
Ayat 53
وَكَذَٰلِكَ فَتَنَّا بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لِّيَقُولُوٓا۟ أَهَـٰٓؤُلَآءِ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَيْهِم مِّنۢ بَيْنِنَآ ۗ أَلَيْسَ ٱللَّهُ بِأَعْلَمَ بِٱلشَّـٰكِرِينَ
Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): “Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? ” (Allah berfirman): “Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?”
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia akan menguji sebahagian daripada hamba-hamba-Nya dengan sebahagian yang lain dengan adanya perbezaan kedudukan, pangkat ataupun fizikal dalam kehidupan mereka. Maka Dia menjadikan mereka ada yang kaya dan ada yang miskin, ada yang kuat dan ada yang lemah. Oleh itu, sebahagian daripada mereka memerlukan sebahagian yang lain sehingga sebahagian mereka menjadi ujian pula kepada sebahagian yang lain.
Dalam ayat 52, orang-orang Islam yang lemah dan miskin menjadi ujian kepada orang-orang musyrikin yang kaya. Ini kerana orang-orang yang miskin telah beriman, menyebabkan kaum musyrikin yang kaya tidak mahu duduk bersama dengan Rasulullah saw. Mereka merasakan kedudukan mereka lebih tinggi sehingga mereka tidak layak untuk duduk bersama-sama dengan orang-orang yang lemah dan miskin. Mereka menganggap merekalah yang sepatutnya lebih layak dimuliakan dan mendapat kelebihan.
Manakala Allah Swt pula mentakdirkan sahabat-sahabat Rasulullah saw yang memeluk Islam terdiri daripada orang-orang yang miskin dan lemah kedudukan dalam masyarakat Arab. Pada pendapat orang-orang kafir sekiranya mereka beriman, ini bermaksud mereka membenarkan apa yang telah diimani para sahabat yang dipandang hina dan lemah itu.
Daripada ayat ini dapat difahami bahawa kebiasaannya orang-orang yang mengikuti para nabi dan beriman dengan mereka adalah terdiri daripada golongan yang miskin dan lemah. Ini bukan hanya terjadi pada zaman Nabi Muhammad saw sahaja tetapi terjadi juga kepada para nabi yang terdahulu. Biasanya yang kaya akan sibuk dengan harta mereka dan sombong dengan kedudukan mereka, sebagaimana perkataan kaum Nabi Nuh as kepada Baginda dalam firman-Nya:
“Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir daripada kaumnya, ‘Kami tidak melihat kamu, melainkan (sebagai) seorang manusia (biasa) seperti kami, dan kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti kamu, melainkan orang-orang yang hina dina di antara kami yang lekas percaya sahaja, dan kami tidak melihat kamu memiliki sesuatu kelebihan apapun atas kami, bahkan kami yakin bahawa kamu adalah orang-orang yang dusta.'”
Hud 11:27
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia lebih mengetahui siapakah yang lebih patut diberikan hidayah dan taufik. Mereka yang telah beriman itu mungkin miskin, lemah dan tidak tahu membaca serta menulis tetapi mereka inilah yang sebenarnya layak menerimanya. Ini kerana mereka bersyukur iaitu tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan menerima sepenuhnya ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw, maka merekalah yang lebih berhak menerima tauhid dan iman. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk rupa dan kulit kamu, tetapi Dia melihat hati dan amal kamu.”
(HR. Muslim)
Ayat 54
وَإِذَا جَآءَكَ ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِـَٔايَـٰتِنَا فَقُلْ سَلَـٰمٌ عَلَيْكُمْ ۖ كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَىٰ نَفْسِهِ ٱلرَّحْمَةَ ۖ أَنَّهُۥ مَنْ عَمِلَ مِنكُمْ سُوٓءًۢا بِجَهَـٰلَةٍ ثُمَّ تَابَ مِنۢ بَعْدِهِۦ وَأَصْلَحَ فَأَنَّهُۥ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diri-Nya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): Bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian dia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
Allah Ta’ala memerintahkan kepada Rasulullah saw dan orang-orang yang beriman agar memuliakan orang-orang beriman yang mereka temui dengan mengucapkan “Salam”, atau semasa berpisah antara satu dengan yang lain. Ucapan “Salam” yang diperintahkan ini adalah untuk menunjukkan bahawa orang-orang yang telah masuk Islam atau bertaubat daripada dosa-dosa mereka, mereka telah selamat dan sejahtara. Ini kerana dosa-dosa mereka telahpun diampunkan oleh Allah Swt, jiwa dan darah mereka telah dipelihara oleh kaum muslimin dan mereka telah mengikuti petunjuk yang membawa kepada kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Oleh itu, ini merupakah berita gembira bagi hamba-hamba Allah Ta’ala yang mengikuti ajaran baginda kerana Dia telah mewajibkan atas diri-Nya rahmat iaitu kasih sayang sebagai anugerah dan nikmat-Nya. Oleh itu, sesiapa yang melakukan kejahatan kerana kejahilan, kemudian bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan melakukan amalan-amalan soleh, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Penyayang.
Ayat 55
وَكَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ ٱلْمُجْرِمِينَ
Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.
Demikianlah Allah Ta’ala menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia dengan sejelas-jelasnya agar manusia dapat mengetahui kebenaran dan dapat memilih antara jalan orang-orang baik dan jalan orang-orang yang berdosa.