Rasulullah saw Tidak Mengetahui Perkara Ghaib
Surah 6: Al-An’am (50 – 51)
Ayat 50
قُل لَّآ أَقُولُ لَكُمْ عِندِى خَزَآئِنُ ٱللَّهِ وَلَآ أَعْلَمُ ٱلْغَيْبَ وَلَآ أَقُولُ لَكُمْ إِنِّى مَلَكٌ ۖ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ ۚ قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلْأَعْمَىٰ وَٱلْبَصِيرُ ۚ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menjelaskan kepada kaumnya bahawa Baginda tidak memiliki perbendaharaan-Nya. Sebaliknya semuanya adalah milik-Nya. Dia tidak memerlukan sesiapapun dalam mengurus dan mengatur alam ini seperti dalam firman-firman-Nya:
“……………..Padahal kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami.”
Al-Munafiqun 63:7
“Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di dalamnya dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Al-Ma’idah 5:120
“…………Dan Allah tidak berasa berat memelihara kedua-duanya dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Al-Baqarah 2:255
Seterusnya Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw menegaskan kepada orang-orang kafir bahawa Baginda tidak pernah mengatakan Baginda mengetahui perkara yang ghaib yang tidak diketahui manusia. Ini kerana Baginda tidak diberikan persediaan dan kesanggupan untuk mengetahuinya.
Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan pula Nabi Muhammad saw mengatakan bahawa Baginda bukanlah malaikat seperti yang dikehendaki oleh orang-orang kafir itu. Baginda hanyalah manusia biasa yang dimuliakan oleh Allah Swt dengan diberikan wahyu.
Pada akhir ayat, Allah Swt memerintahkan Baginda mengatakan bahawa Baginda hanya mengikuti apa yang diwahyukan kepadanya. Baginda tidak meninggalkan sesuatu pun yang disampaikan oleh Allah Swt kepadanya. Kemudian Baginda diperintahkan supaya mengatakan adakah sama antara orang yang mengikuti kebenaran dengan orang yang tersesat yang tidak dapat memikirkan dan mengambil pelajaran. Firman-Nya:
“Adakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan kepadamu daripada Rabbmu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanya orang-orang yang berakal sahajalah yang dapat mengambil pelajaran.”
Ar-Ra’d 13:19
Ayat 51
وَأَنذِرْ بِهِ ٱلَّذِينَ يَخَافُونَ أَن يُحْشَرُوٓا۟ إِلَىٰ رَبِّهِمْ ۙ لَيْسَ لَهُم مِّن دُونِهِۦ وَلِىٌّ وَلَا شَفِيعٌ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Dan berilah amaran dengan Al-Quran itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi mereka pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah, supaya mereka bertakwa.
Selain tugas Rasulullah saw menyampaikan risalah Allah Ta’ala, Dia juga memerintahkan Baginda memberi peringatan dan ancaman-Nya kepada orang-orang yang mengingkari seruannya. Peringatan dan ancaman ini hanya bermanfaat kepada orang-orang yang beriman yang takut kepada azab-Nya. Firman-firman Allah Ta’ala:
“……………….Sesungguhnya yang dapat kamu beri peringatan hanyalah orang-orang yang takut kepada azab Rabb mereka (sekalipun) mereka tidak melihatnya dan mereka mendirikan solat dan sesiapa yang menyucikan dirinya, sesungguhnya dia menyucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri dan kepada Allah-lah kembali(mu).”
Fatir 35:18
“Sesungguhnya kamu hanya memberi peringatan kepada orang-orang yang mahu mengikuti peringatan dan yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah walaupun dia tidak melihat-Nya. Maka berilah mereka khabar gembira dengan keampunan dan pahala yang mulia.”
Yasin 36:11
Orang-orang yang benar-benar beriman sentiasa berusaha mencari keredhaan-Nya dengan bertakwa tanpa bergantung harap kepada orang lain seperti kepada wali-wali ataupun orang-orang soleh. Mereka yakin bahawa iman, amal dan kebersihan jiwa dapat membebaskan mereka daripada segala seksaan Allah Swt.