Surah 6: Al-An’am (45 – 49)

Ancaman Allah Swt kepada Orang Musyrik

Surah 6: Al-An’am (45 – 49)


Ayat 45

فَقُطِعَ دَابِرُ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ۚ وَٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menurunkan azab kepada orang-orang yang ingkar dan mendustakan para rasul-Nya setelah ditunjukkan kepada mereka dalil-dalil dan bukti-bukti yang jelas. Oleh itu, Dia akan binasakan kaum yang menzalimi diri mereka sendiri sehingga tiada seorang pun yang terselamat. 

Segala pujian hanyalah milik Allah Ta’ala, Rabb semesta alam. Dia menganugerahkan nikmat kepada hamba-hamba-Nya yang taat dan menimpakan azab kepada orang-orang kafir yang sombong dan angkuh. 

Ayat 46

قُلْ أَرَءَيْتُمْ إِنْ أَخَذَ ٱللَّهُ سَمْعَكُمْ وَأَبْصَـٰرَكُمْ وَخَتَمَ عَلَىٰ قُلُوبِكُم مَّنْ إِلَـٰهٌ غَيْرُ ٱللَّهِ يَأْتِيكُم بِهِ ۗ ٱنظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ ٱلْـَٔايَـٰتِ ثُمَّ هُمْ يَصْدِفُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu, dan Dia pula memeteraikan atas hati kamu? Siapakah Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?” Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling – ingkar.

Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw bertanya kepada orang-orang kafir iaitu adakah ada tuhan-tuhan mereka atau sembahan-sembahan lain selain-Nya yang berkuasa mengembalikan pendengaran, penglihatan mereka sekiranya Dia mencabut semua itu daripada mereka. Begitu juga dengan hati, sekiranya Allah Swt menutup hati mereka, dapatkah tuhan-tuhan mereka membukanya kembali. 

Sesungguhnya tidak ada Tuhan lain selain Allah Ta’ala yang menciptakan telinga, mata, hati dan semua anggota badan manusia, bahkan Dia-lah Pencipta seluruh alam ini. Sesungguhnya tidak ada kesesatan yang lebih jauh daripada kesesatan ini. 

Ayat 47

قُلْ أَرَءَيْتَكُمْ إِنْ أَتَىٰكُمْ عَذَابُ ٱللَّهِ بَغْتَةً أَوْ جَهْرَةً هَلْ يُهْلَكُ إِلَّا ٱلْقَوْمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Katakanlah: “Bagaimana fikiran kamu, jika datang kepada kamu azab Allah dengan tiba-tiba, atau dengan terang-terang (setelah diperlihatkan tanda-tanda yang menunjukkan kedatangannya), siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang zalim?”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa azab-Nya itu hanyalah menimpa orang-orang yang menganiaya diri mereka sendiri dengan menyekutukan-Nya dan sentiasa teguh kepada kekafiran dan kederhakaan. 

Ayat 48

وَمَا نُرْسِلُ ٱلْمُرْسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ ۖ فَمَنْ ءَامَنَ وَأَصْلَحَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.

Allah Ta’ala menjelaskan tujuan-Nya mengutus para rasul itu tidak lain hanyalah untuk menyampaikan berita gembira kepada orang-orang yang beriman bahawa ada balasan pahala dan syurga. Mereka juga ditugaskan untuk memberi peringatan kepada orang-orang yang kufur kepada-Nya dengan ancaman seksaan neraka. 

Sesiapa yang membenarkan dan mengikuti para rasul yang diutus kepadanya, mengerjakan amal soleh, maka tidak ada kebimbangan terhadap diri mereka akan ditimpa azab di dunia mahupun di akhirat. Mereka juga tidak akan bersedih hati dan berputus asa ketika menemui-Nya kerana yakin bahawa semua yang datang itu adalah daripada Allah Swt dan Dia akan selalu menjaga, memelihara dan menolong mereka. Firman-Nya: 

“Mereka tidak akan disusahkan oleh kedahsyatan yang besar (pada hari kiamat) dan mereka disambut oleh para malaikat (malaikat berkata), ‘Inilah harimu yang telah dijanjikan kepadamu.'” 

Al-Anbiya’ 21:103 

Ayat 49

وَٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا يَمَسُّهُمُ ٱلْعَذَابُ بِمَا كَانُوا۟ يَفْسُقُونَ

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab seksa dengan sebab mereka berlaku fasik.

Sesiapa yang mendustakan ayat-ayat Allah Swt yang telah disampaikan oleh para rasul, mereka akan mendapat azab dan kepedihan neraka Jahannam. Inilah balasan yang setimpal dengan keingkaran mereka. Alangkah hinanya mereka kerana memilih kefasikan jika dibandingkan dengan kebaikan yang akan mereka peroleh di dunia dan di akhirat sekiranya mereka beriman.