Surah 6: Al-An’am (40 – 41)

Sikap Orang Kafir yang Kembali kepada Allah Swt ketika Mendapat Kesusahan

Surah 6: Al-An’am (40 – 41)


Ayat 40

قُلْ أَرَءَيْتَكُمْ إِنْ أَتَىٰكُمْ عَذَابُ ٱللَّهِ أَوْ أَتَتْكُمُ ٱلسَّاعَةُ أَغَيْرَ ٱللَّهِ تَدْعُونَ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Khabarkanlah kepadaku, jika datang kepada kamu azab Allah, atau datang kepada kamu hari kiamat, adakah kamu akan menyeru yang lain dari Allah (untuk menolong kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar?”

Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw menanyakan kepada orang-orang musyrik seperti dalam ayat ini iaitu sekiranya datang kepada mereka azab Allah Swt yang pernah menimpa umat-umat yang dahulu, seperti serangan angin kencang, banjir besar, petir yang menyambar dari langit dan sebagainya, adakah mereka akan meminta pertolongan dan perlindungan kepada berhala-berhala dan sembahan-sembahan yang mereka katakan bahawa berhala-berhala tersebut dapat menolong dan melindungi mereka. 

Ayat 41

بَلْ إِيَّاهُ تَدْعُونَ فَيَكْشِفُ مَا تَدْعُونَ إِلَيْهِ إِن شَآءَ وَتَنسَوْنَ مَا تُشْرِكُونَ

Bahkan Dia-lah (Allah) yang kamu seru lalu Dia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepada-Nya jika Dia kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).

Pertanyaan itu dijawab oleh Allah Swt dengan mengatakan bahawa orang-orang kafir ini apabila ditimpa kesusahan atau bahaya, mereka akan menyeru dan memohon pertolongan daripada-Nya bukan daripada sembahan-sembahan mereka. Ketika itu mereka melupakan segala tuhan atau ilah-ilah mereka. Ini kerana pada masa itu mereka telah kembali kepada fitrah mereka iaitu permintaan dan harapan hanyalah kepada Allah Ta’ala sebagaimana firman-Nya: 

“Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, nescaya hilanglah siapa yang kamu seru kecuali Dia, Maka tatkala Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling. Dan manusia itu adalah selalu tidak berterima kasih.” 

Al-Isra’ 17:67