Surah 6: Al-An’am (21 – 32)

Keadaan Orang Musyrik pada Hari Kiamat

Surah 6: Al-An’am (21 – 32)


Ayat 21

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِـَٔايَـٰتِهِۦٓ ۗ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keterangan-Nya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.

Allah Swt menegaskan bahawa tidak ada orang yang lebih zalim daripada orang yang berbuat dusta terhadap Allah Swt seperti mengatakan Allah Ta’ala mempunyai anak, mempunyai sekutu atau menjadikan sesuatu selain Allah Swt sebagai tumpuan segala doa dan pujian, menjadikan selain-Nya sebagai pelindung, perantara dan sebagainya serta menambah-nambah ajaran agama yang tidak ada asasnya. 

Demikian juga mereka sangat berbuat zalim dengan mendustakan ayat-ayat Al-Quran, memutarbelitkan isi kitab Taurat dan Injil serta menolak mukjizat Rasulullah saw yang dikatakan mereka sebagai sihir. Mereka juga mendustakan ayat-ayat kauniyah iaitu tanda-tanda yang terdapat pada alam ini yang menunjukkan keesaan Allah Swt. Sesungguhnya orang-orang yang berbuat zalim iaitu berbuat dusta terhadap Allah Swt ataupun mendustakan ayat-ayat-Nya atau mendustakan kedua-duanya sekali gus, tidak akan memperoleh keberuntungan pada hari kiamat tetapi mereka akan mendapat azab daripada-Nya. Di dunia ini mereka tidak akan beruntung kerana mereka dikalahkan oleh kaum muslimin seperti dalam perang Badar dan gugurnya pemimpin-pemimpin mereka. 

Ayat 22

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوٓا۟ أَيْنَ شُرَكَآؤُكُمُ ٱلَّذِينَ كُنتُمْ تَزْعُمُونَ

Dan (ingatlah), hari (kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua, kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: “Manakah orang-orang dan benda-benda yang dahulu kamu sifatkan (menjadi sekutu Allah):?”

Allah Swt memperingatkan tentang hari berbangkit. Pada hari itu seluruh umat manusia dikumpulkan dan mereka terbahagi kepada dua golongan. Satu golongan adalah orang-orang yang rugi dan segolongan lagi adalah orang-orang yang beruntung. 

Kemudian Allah Ta’ala bertanya kepada orang-orang yang merugikan diri sendiri iaitu orang-orang musyrikin di manakah berhala-berhala sembahan mereka yang dahulu mereka katakan sekutu bagi-Nya? Sewaktu di dunia mereka meminta pertolongan dan memanjatkan doa kepada sembahan selain Allah Swt, yang mereka jadikan sebagai pelindung atau sebagai perantara untuk mendekatkan diri kepada-Nya atau untuk memberi syafaat kepada mereka pada hari kiamat. Mengapa sembahan-sembahan itu tidak kelihatan bersama mereka pada hari kiamat? Ini sebagaimana firman-Nya: 

“Dan Kami tiada melihat berserta kamu pemberi syafaat yang kamu anggap bahawa mereka itu sekutu-sekutu Tuhan di antara kamu. Sungguh telah terputuslah pertalian antara kamu dan telah lenyap daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap (sebagai sekutu Allah).” 

Al-An’am 6:94 

Ayat 23

ثُمَّ لَمْ تَكُن فِتْنَتُهُمْ إِلَّآ أَن قَالُوا۟ وَٱللَّهِ رَبِّنَا مَا كُنَّا مُشْرِكِينَ

Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: “Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Kemudian Allah Swt menerangkan dalam ayat ini bahawa setelah mereka tidak dapat memberikan jawapan untuk mempertanggungjawabkan kemusyrikan mereka sewaktu berada di dunia, yakni anggapan mereka ada Tuhan lain di samping Allah Swt, maka mereka menjawab semata-mata untuk membersihkan diri daripada perbuatan mereka itu. Mereka bersumpah bahawa mereka tidak mempersekutukan Allah Swt. 

Demikianlah akhir daripada segala kekafiran dan kemusyrikan mereka. Sewaktu di dunia mereka telah menganut agama nenek moyang mereka. Mereka rela mati terbunuh dalam peperangan demi sembahan-sembahan dan pujaan-pujaan mereka itu. Namun pada akhirnya, mereka membersihkan diri daripada kemusyrikan dan kekafiran itu dengan bersumpah bahawa mereka mengingkari sembahan-sembahan mereka sendiri. Mereka menyangka bahawa pernyataan mereka demikian itu ada manfaatnya bagi mereka, pada hal sebaliknya menambah dosa baru bagi mereka. 

Tingkah laku dan perbuatan mereka akan menjadi saksi atas kemusyrikan mereka. Kaki dan tangan mereka akan menceritakan semua dosa mereka. Oleh sebab itu, pada akhirnya mereka akan mengakui kekafiran mereka itu. Firman Allah Ta’ala: 

“Wahai Rabb kami, mereka inilah sekutu-sekutu kami yang dahulu kami sembah selain Engkau.” 

An Nahl 16:86 

Ayat 24

ٱنظُرْ كَيْفَ كَذَبُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ ۚ وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ

Lihatlah bagaimana mereka berdusta terhadap diri mereka sendiri, dan bagaimana hilang lenyapnya dari mereka apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu Allah) itu.

Setelah menceritakan tentang orang-orang musyrikin pada hari kiamat berusaha membersihkan diri mereka daripada kemusyrikan, maka dalam ayat ini Allah Swt menyuruh Rasulullah saw dan umatnya memperhatikan sikap orang musyrikin yang sangat menghairankan itu. Bagaimana mereka boleh membohongi diri mereka di hadapan Allah Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan tidak memerlukan kesaksian-kesaksian. Suatu yang aneh yang perlu diperhatikan ialah segala benda yang mereka anggap sekutu-sekutu Allah Swt ternyata tidak memberi faedah sedikitpun kepada mereka. Syafaat, pertolongan, restu, perlindungan dan sebagainya yang mereka harapkan daripada sekutu-sekutu itu lenyap daripada mereka. Firman Allah Ta’ala: 

“……………(pada waktu itu) utusan Kami bertanya, “Di mana (berhala-berhala) yang biasa kamu sembah selain Allah?” Orang-orang musyrik itu menjawab, “Berhala-berhala itu semuanya telah lenyap daripada kami,” dan mereka mengakui terhadap diri mereka bahawa mereka adalah orang-orang yang kafir.” 

Al-A’raf 7:37 

Ayat 25

وَمِنْهُم مَّن يَسْتَمِعُ إِلَيْكَ ۖ وَجَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَقْرًا ۚ وَإِن يَرَوْا۟ كُلَّ ءَايَةٍ لَّا يُؤْمِنُوا۟ بِهَا ۚ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءُوكَ يُجَـٰدِلُونَكَ يَقُولُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّآ أَسَـٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ

Dan di antara mereka ada yang mendengarkanmu (membaca Al-Quran), padahal Kami telah jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, yang menghalang mereka daripada memahaminya, dan Kami jadikan pada telinga mereka penyumbat (yang menjadikan mereka pekak); dan walaupun mereka melihat tiap-tiap keterangan (dan mukjizat yang membuktikan kebenaran Rasul), mereka tidak juga akan beriman kepada keterangan itu; sehingga apabila mereka datang kepadamu, sambil membantahmu, berkatalah orang-orang yang kafir itu: “Ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu”.

Allah Swt menyatakan bahawa ada di antara kaum musyrikin yang datang ke majlis Rasulullah saw untuk mendengar bacaan Al-Quran, namun bacaan yang mereka dengar itu tidak bermanfaat bagi mereka sedikitpun. Bacaan itu tidak sampai ke hati mereka kerana Allah Swt telah meletakkan tutupan pada hati mereka sehingga mereka tidak memahami apa yang mereka dengar. Begitu juga dengan pendengaran mereka tersumbat sehingga mereka tidak dapat menerima kebenaran. Ini sebagaimana firman-Nya: 

“Dan perumpamaan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir adalah seperti pengembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan sahaja. Mereka tuli, bisu dan buta, maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti.” 

Al-Baqarah 2:171 

Walaupun mereka menyaksikan banyak bukti tentang kerasulan Baginda saw, mereka tetap tidak mahu beriman dengannya. Mereka juga mengingkari ayat-ayat Al-Quran dengan mengatakan bahawa Al-Quran yang mereka dengar itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu. 

Ayat 26

وَهُمْ يَنْهَوْنَ عَنْهُ وَيَنْـَٔوْنَ عَنْهُ ۖ وَإِن يُهْلِكُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

Dan mereka pula melarang orang ramai dari mendengar Al-Quran dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.

Allah Ta’ala menjelaskan lagi bahawa mereka tidak berhenti daripada mendustakan ayat-ayat Al-Quran dan memandangnya sebagai sihir. Bahkan mereka mencegah dan menghasut orang lain daripada mendengarnya agar orang-orang lain tidak tertarik kepada Al-Quran yang indah bahasanya dan maknanya yang padat melebihi bahasa penyair-penyair mereka, sehingga pemimpin-pemimpin musyrikin bimbang terhadap pengaruh gaya bahasa Al-Quran itu kepada pendengarnya. Mereka menyedari bahawa apabila ada di antara mereka mengambil kesempatan untuk memperhatikan ayat Al-Quran itu bererti mereka berkesempatan pula untuk menerima dan meyakini isi kandungannya. Oleh sebab itulah mereka menghalangi orang lain mendengarnya. 

Di samping mencegah orang lain, mereka sendiri menjauhkan diri daripada Al-Quran untuk menunjukkan bahawa mereka sangat menentangnya dan untuk menguatkan larangan mereka. 

Meskipun orang-orang musyrikin itu telah berusaha dengan pelbagai cara untuk memadamkan cahaya Islam, namun usaha mereka itu tidak akan memberikan faedah sedikitpun. Bahkan Allah Swt menyatakan pada akhir ayat ini bahawa tindakan mereka itu bukanlah menghancurkan Islam tetapi menghancurkan mereka sendiri tanpa mereka sedari. Peringatan akan kehancuran mereka ini beberapa tahun kemudian terbukti dengan kekalahan mereka dalam pelbagai peperangan dan kemenangan berada pada pihak Rasulullah saw. 

Ayat 27

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذْ وُقِفُوا۟ عَلَى ٱلنَّارِ فَقَالُوا۟ يَـٰلَيْتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.

Allah Ta’ala menceritakan keadaan orang-orang kafir apabila mereka dihadapkan di neraka pada hari kiamat nanti. Mereka menyaksikan semua belenggu dan rantai yang ada di dalamnya serta melihat semua hal yang mengerikan dan menakutkan itu dengan mata kepala mereka sendiri. Maka pada saat itulah mereka meminta agar dikembalikan ke dunia dan mereka berjanji tidak akan mendustakan ayat-ayat Allah Ta’ala serta akan menjadi orang-orang yang beriman. Mereka amat berharap untuk dikembalikan lagi ke alam dunia agar dapat mengerjakan amal soleh dan tidak akan mendustakan ayat-ayat Allah Ta’ala. 

Sebenarnya pada saat itu barulah mereka nampak dengan jelas apa yang dahulu mereka sembunyikan di dalam diri mereka, berupa kekufuran, pendustaan dan pengingkaran terhadap perkara-perkara yang hak, sekalipun ketika di dunia ataupun di akhirat mereka mengingkarinya seperti yang baru disebutkan dalam ayat 23 dan 24 sebelum ini. 

Boleh juga difahami bahawa saat itu barulah jelas semua yang dahulu mereka ketahui dalam hati mereka sendiri, iaitu kebenaran daripada apa yang disampaikan kepada mereka oleh para rasul di dunia, meskipun dahulu mereka menampakkan kepada para pengikut mereka bahawa mereka menentang hal itu. Hal ini sama dengan firman Allah Swt ketika menceritakan perihal Nabi Musa as yang berkata kepada Firaun: 

“Sesungguhnya kamu telah mengetahui bahawa tiada yang menurunkan mukjizat-mukjizat itu kecuali Rabb Yang memelihara langit dan bumi sebagai bukti-bukti yang nyata.” 

Al-Isra 17:102-hingga akhir ayat. 

Begitu juga dengan firman Allah Swt yang menceritakan keadaan Firaun dan kaumnya: 

“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka), padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya.” 

An-Naml 19:14 

Ayat 28

بَلْ بَدَا لَهُم مَّا كَانُوا۟ يُخْفُونَ مِن قَبْلُ ۖ وَلَوْ رُدُّوا۟ لَعَادُوا۟ لِمَا نُهُوا۟ عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَـٰذِبُونَ

(Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.

Dalam ayat yang lepas, Allah Ta’ala menceritakan tentang permintaan orang-orang kafir agar dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal soleh. Dalam ayat ini pula, Allah Ta’ala menyangkal penyesalan atau angan-angan mereka itu. 

Sebenarnya mereka tidak meminta untuk kembali ke dunia kerana keinginan kepada keimanan tetapi kerana mereka takut terhadap azab yang mereka lihat sebagai balasan terhadap kekafiran mereka. Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia, mereka pasti kembali melakukan perkara yang dilarang iaitu kekufuran, keingkaran, keangkuhan dan kemunafikan serta perbuatan maksiat. Mereka memiliki sifat angkuh dan derhaka serta memiliki sifat pendusta. 

Ayat 29

وَقَالُوٓا۟ إِنْ هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنْيَا وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ

Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati”.

Orang-orang kafir mengakui kehidupan di dunia tetapi mereka tidak mengimani kehidupan di akhirat. Mereka mengatakan bahawa hidup ini hanya terbatas pada kehidupan duniawi semata-mata. Mereka mengingkari adanya hari kebangkitan atau hari pembalasan. 

Demikian juga mereka meyakini tidak ada pahala ataupun azab di akhirat. Oleh sebab itulah mereka melakukan apa sahaja dalam dunia ini hanya berdasarkan keinginan-keinginan dan kepentingan-kepentingan mereka. Firman Allah Swt: 

“Dan mereka berkata, “Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa.” Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja.” 

Al-Jathiyah 45:24 

Ayat 30

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذْ وُقِفُوا۟ عَلَىٰ رَبِّهِمْ ۚ قَالَ أَلَيْسَ هَـٰذَا بِٱلْحَقِّ ۚ قَالُوا۟ بَلَىٰ وَرَبِّنَا ۚ قَالَ فَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: “Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: “Benar, demi Tuhan kami!” Allah berfirman lagi: “Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar”.

Allah Swt menyatakan kepada Rasulullah saw sekiranya Baginda melihat keadaan orang-orang kafir ketika dibawa oleh malaikat ke hadapan-Nya, Baginda akan melihat perkara yang menakutkan. 

Ketika Allah Ta’ala menanyakan kepada mereka bukankah hari kiamat itu benar,  mereka bersumpah demi Allah Ta’ala bahawa kiamat itu benar. Ini sebagai penegasan atas kebenaran jawapan mereka. Namun mereka dikenakan azab atas kekafiran mereka dan bukanlah kerana kezaliman-Nya tetapi mereka sendiri yang memilih untuk tidak taat kepada-Nya dan Rasul-Nya. 

Ayat 31

قَدْ خَسِرَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِلِقَآءِ ٱللَّهِ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَتْهُمُ ٱلسَّاعَةُ بَغْتَةً قَالُوا۟ يَـٰحَسْرَتَنَا عَلَىٰ مَا فَرَّطْنَا فِيهَا وَهُمْ يَحْمِلُونَ أَوْزَارَهُمْ عَلَىٰ ظُهُورِهِمْ ۚ أَلَا سَآءَ مَا يَزِرُونَ

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; “Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!” Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

Allah Ta’ala menyatakan kerugian yang dirasai oleh orang-orang yang mendustakan-Nya dan kekecewaan mereka pada hari kiamat yang datang dengan tiba-tiba. Mereka juga menyesal atas amalan yang mereka lalaikan. Semua ini berlaku kerana pengingkaran mereka terhadap hari kebangkitan dan hari pembalasan, malah mereka berlumba-lumba dalam mendapatkan kesenangan dunia dan tertipu dengan kedudukan dan pangkat. 

Orang-orang yang rugi ini akan datang pada hari kiamat untuk dihisab dengan membawa dosa dan kesalahan mereka. Amatlah buruk dosa-dosa yang dipikul kerana kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan. Firman Allah Swt: 

“Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim.” 

Al-A’raf 7:177 

Ayat 32

وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ ٱلْـَٔاخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Allah Swt menyatakan bahawa Dia menjadikan dunia ini sebagai permainan yang tidak bermanfaat dan senda gurau sehingga ada di antara manusia yang melupakan persediaan untuk bekalan akhirat. Hanya orang-orang yang bertakwa yang menyedari bahawa kehidupan akhirat itu lebih baik dan kekal.