Surah 6: Al-An’am (12 – 18)

Bantahan terhadap Kesyirikan Orang Musyrik

Bantahan terhadap Kesyirikan Orang Musyrik

Surah 6: Al-An’am (12 – 18)


Ayat 12

قُل لِّمَن مَّا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ قُل لِّلَّهِ ۚ كَتَبَ عَلَىٰ نَفْسِهِ ٱلرَّحْمَةَ ۚ لَيَجْمَعَنَّكُمْ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ لَا رَيْبَ فِيهِ ۚ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat. Demi sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya”. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dangan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.

Ayat ini merupakan pertanyaan yang mengandungi celaan dan penghinaan kepada orang-orang kafir. Ini kerana mereka telah mengetahui dan mengakui bahawa Allah Swt adalah pencipta sebagaimana firman-Nya: 

“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka, “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab, “Allah.” Katakanlah. “Segala puji bagi Allah,” tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” 

Luqman 31:25 

Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia adalah Penguasa langit dan bumi berserta isinya dan Dia telah menetapkan kasih sayang atas diri-Nya dan mewajibkan diri-Nya untuk merahmati makhluk-Nya. Antara kasih sayang-Nya ialah Dia tidak menyegerakan seksaan pada hamba-hamba-Nya dan Dia akan menghimpunkan makhluk-Nya pada hari kiamat untuk diberikan balasan atas segala amalan mereka. Sabda Rasulullah saw: 

“Sesungguhnya ketika Allah menciptakan makhluk, Dia menuliskan pada kitab yang ada di sisi-Nya di atas ‘Arasy, ‘Sesungguhnya rahmatKu mengalahkan murkaKu.’” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Orang-orang yang menyekutukan sesuatu dengan Allah Ta’ala, hakikatnya mereka membinasakan diri mereka sendiri. Ini kerana mereka tidak mengesakan Allah Swt, tidak mempercayai janji-Nya dan tidak mengakui kenabian Nabi Muhammad saw. 

Ayat 13

وَلَهُۥ مَا سَكَنَ فِى ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Dan bagi Allah jualah apa yang ada pada waktu malam dan siang; dan Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah menyatakan bahawa semua makhluk hidup yang ada di langit dan di bumi berserta segala isinya adalah hamba-hamba-Nya dan makhluk-Nya. Semuanya berada di bawah kekuasaan dan pengurusan-Nya. Tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar selain Dia. 

Kemudian Allah Ta’ala menegaskan pula bahawa Dia Maha Mendengar semua ucapan hamba-hamba-Nya, lagi Maha Mengetahui segala gerak-geri mereka dan semua yang terpendam di dalam hati yang mereka rahsiakan. 

Ayat 14

قُلْ أَغَيْرَ ٱللَّهِ أَتَّخِذُ وَلِيًّا فَاطِرِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَهُوَ يُطْعِمُ وَلَا يُطْعَمُ ۗ قُلْ إِنِّىٓ أُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَسْلَمَ ۖ وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah aku mengambil (memilih) pelindung yang lain dari Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan Dia pula yang memberi makan dan bukan Dia yang diberi makan?” Katakanlah: “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri kepada Allah (Islam), dan (aku diperintahkan dengan firman-Nya): `Jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan orang-orang musyrik itu.'”

Kemudian Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw yang diutus-Nya membawa ajaran tauhid yang agung dan syariat yang lurus menyeru manusia ke jalan Allah Ta’ala yang lurus. Baginda juga diperintahkan agar mengatakan Baginda tidak akan menjadikan selain-Nya sebagai pelindung. 

Sesungguhnya tiada pelindung atau penolong yang sebenarnya kecuali Allah Swt yang menciptakan langit dan bumi serta Dia-lah yang mengadakan kedua-duanya tanpa ada contoh sebelumnya. Dia mengemukakan sifat-Nya sebagai Pencipta untuk menegaskan penolakan pemikiran yang menempatkan selain Allah Swt sebagai penolong. Ini kerana hanya Allah Swt sahajalah yang patut diminta pertolongan dan tidak patut selain-Nya dijadikan perantara yang dapat mempengaruhi kehendak-Nya. Hanya kepada Pencipta langit dan bumi inilah doa dan harapan patut ditujukan. Kehendak-Nya tidak dapat dipengaruhi oleh sesiapapun juga. 

Dia-lah Tuhan Yang memberi rezeki, makan dan minum serta segala kemanfaatan kepada manusia. Sebaliknya Dia tidak memerlukan makan, minum dan rezeki, bahkan Dia suci daripada segala keperluan untuk makan, minum dan sebagainya serta Dia tidak memerlukan sesiapa pun. Firman-Nya: 

“Aku tidak menghendaki rezeki daripada mereka sedikitpun dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan.” 

Az Zariyat 51:57 

Kemudian Rasulullah saw diperintahkan pula mengatakan kepada orang-orang kafir bahawa Baginda diperintahkan oleh Allah Swt agar menjadi orang yang pertama berserah diri kepada-Nya, menjunjung tinggi perintah-Nya, tidak akan memohon kepada selain Dia dan terus akan menegakkan agama di tengah-tengah umatnya. Baginda juga dilarang menjadi orang musyrik iaitu orang yang menganggap selain Allah Swt sebagai penolong atau perantara untuk mendekatkan diri kepada-Nya. 

Ayat 15

قُلْ إِنِّىٓ أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّى عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Katakanlah: “Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari kiamat)”.

Allah Swt memerintahkan pula kepada Rasulullah saw agar menyatakan kepada kaum musyrikin bahawa Baginda takut azab hari kiamat akan menimpanya, sekiranya Baginda melakukan kemaksiatan iaitu melanggar perintah-Nya atau menyimpang daripada asas agama yang telah ditetapkan-Nya. 

Pada hari yang dahsyat ini tidak ada seorang pun yang dapat menolong orang lain atas sebab kasih sayang atau persaudaraan. Ayat ini menunjukkan sifat Rasulullah saw bahawa meskipun jauh daripada kemungkinan Baginda melakukan maksiat, hatinya tetap takut kepada Allah Swt dalam segala keadaan. 

Ayat 16

مَّن يُصْرَفْ عَنْهُ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمَهُۥ ۚ وَذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْمُبِينُ

Sesiapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesugguhnya Allah telah memberi rahmat kepadanya; dan itulah kejayaan yang jelas nyata.

Perbuatan syirik kerana beribadah kepada selain Allah Swt akan menyebabkan pelakunya mendapat kemurkaan-Nya dan diseksa di neraka selama-lamanya. Sebaliknya orang yang dijauhkan daripada azab pada hari itu, maka dialah orang yang diberi rahmat dan sebagai orang yang beruntung. Firman-Nya: 

“……….. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan. Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh dia telah beruntung…….” 

Ali ‘Imran 3:185 

Ayat 17

وَإِن يَمْسَسْكَ ٱللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُۥٓ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah Swt memberitahu bahawa diri-Nya sahaja yang mampu menghilangkan kemudaratan dan mendatangkan manfaat dan ini adalah termasuk salah satu dalil tauhid-Nya. Dia-lah yang mengurus makhluk-Nya menurut apa yang Dia kehendaki, tiada yang boleh mempersoalkan tentang keputusan-Nya dan tiada yang dapat menolak atau mengubah ketetapan-Nya. Oleh sebab itulah, Dia sahaja yang berhak untuk disembah dan diibadahi. Firman-Nya: 

“Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorangpun yang dapat menahannya dan apa sahaja yang ditahan oleh Allah maka tidak ada seorangpun yang sanggup melepaskannya sesudah itu. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” 

Fatir 35:2 

Dalam sebuah hadis sahih disebutkan bahawa Rasulullah saw sering berdoa: 

“Ya Allah, tidak ada yang dapat mencegah apa yang Engkau berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang engkau cegah dan tiadalah memberikan manfaat terhadap Engkau kedudukan orang yang mempunyai kedudukan.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Ayat 18

وَهُوَ ٱلْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِۦ ۚ وَهُوَ ٱلْحَكِيمُ ٱلْخَبِيرُ

Dan Dia-lah yang Berkuasa atas sekalian hamba-Nya (dangan tadbir dan takdir); dan Dia-lah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam Pengetahuan-Nya.

Dia-lah Tuhan yang kepada-Nya semua makhluk tunduk menyerah. Kesempurnaan kekuasaan dan keperkasaan-Nya ke atas hamba-hamba-Nya itu disertai dengan kesempurnaan hikmah-Nya. Dia mengatur keperluan hamba-hamba-Nya dengan keluasan ilmu-Nya kerana Dia mengetahui segala perkara yang kecil dan tersembunyi. Dia-lah Yang Maha Mengetahui apa yang bermanfaat dan yang mudarat bagi hamba-hamba-Nya. Oleh itu, Dia tidak memberi kecuali kepada orang yang berhak dan tidak mencegah kecuali terhadap orang yang berhak untuk dicegah. 

Dia-lah Yang Maha Kuasa lagi Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Oleh itu, tidaklah patut bagi hamba-hamba-Nya menyembah kepada selain-Nya.