Celaan kepada Kaum yang Menolak Risalah yang Dibawa oleh Rasul daripada Kalangan Manusia
Surah 6: Al-An’am (8 – 9)
Ayat 8
وَقَالُوا۟ لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْهِ مَلَكٌ ۖ وَلَوْ أَنزَلْنَا مَلَكًا لَّقُضِىَ ٱلْأَمْرُ ثُمَّ لَا يُنظَرُونَ
Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya?” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa mereka meminta agar Dia menurunkan malaikat dari langit yang memberi peringatan dan menjadi pembela serta penyokong kepada Rasulullah saw. Perkataan mereka ini seolah-olah risalah Allah Swt tidak bersesuaian jika disampaikan oleh manusia.
Namun sebenarnya ini hanyalah alasan mereka sahaja untuk mengingkari rasul Allah. Sekiranya malaikat diturunkan dalam bentuk asalnya maka mereka tidak mampu melihatnya kecuali hanya dengan izin-Nya sahaja kerana malaikat diciptakan daripada cahaya. Begitu juga seandainya malaikat diturunkan dalam bentuk manusia, mereka tetap akan meraguinya dan akan mengatakan bahawa itu adalah sihir sebagaimana mereka mengatakannya kepada Rasulullah saw.
Maksud ayat, “padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).” ialah sekiranya Allah Swt menurunkan malaikat kepada mereka dalam keadaan mereka tetap berada dalam kekufuran, nescaya malaikat itu akan menimpakan azab daripada Allah Swt kepada mereka sebagaimana firman-Nya:
“Kami tidak menurunkan malaikat melainkan dengan benar (untuk membawa azab) dan tiadalah mereka ketika itu diberi tangguh.”
Al-Hijr 15:8
Ayat 9
وَلَوْ جَعَلْنَـٰهُ مَلَكًا لَّجَعَلْنَـٰهُ رَجُلًا وَلَلَبَسْنَا عَلَيْهِم مَّا يَلْبِسُونَ
Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
Allah Ta’ala menjelaskan sekiranya Dia mengutus seorang malaikat sebagai rasul dalam bentuk manusia nescaya yang diutus-Nya itu adalah dalam rupa seorang lelaki. Tujuannya agar mereka dapat berbicara dan belajar dengannya. Walaupun demikian, mereka tetap akan ragu-ragu dan mereka akan mengatakan itu bukan malaikat tetapi hanya manusia seperti mereka juga. Mereka tetap menolak sebagaimana mereka menolak risalah yang dibawa oleh rasul daripada kalangan manusia.
Adh-Dhahhak meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra tentang ayat ini, dia mengatakan, “Seandainya satu malaikat datang kepada mereka, maka ia tidaklah datang melainkan dalam rupa lelaki, kerana manusia tidak dapat melihat malaikat yang diciptakan daripada cahaya.”
Antara rahmat Allah Swt kepada hamba-hamba-Nya ialah Dia mengutuskan para rasul kepada setiap golongan makhluk-Nya daripada kalangan mereka sendiri, menyeru mereka kepada-Nya, juga agar mereka dapat mengambil manfaat antara satu sama lain, berdialog dan bertanya bagi menyelesaikan segala permasalahan mereka. Firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab dan Al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Ali ‘Imran 3:164