Sikap Orang Kafir terhadap Al-Quran
Surah 6: Al-An’am (4 – 7)
Ayat 4
وَمَا تَأْتِيهِم مِّنْ ءَايَةٍ مِّنْ ءَايَـٰتِ رَبِّهِمْ إِلَّا كَانُوا۟ عَنْهَا مُعْرِضِينَ
Dan tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari keterangan-keterangan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).
Allah Ta’ala memberitahu tentang orang-orang musyrik yang sangat kuat penolakan dan permusuhan mereka terhadap agama Islam. Meskipun telah ditunjukkan kepada mereka mukjizat-mukjizat dan hujjah-hujjah yang membuktikan keesaan Allah Swt dan kebenaran Rasul-Nya, mereka tetap sahaja berpaling daripadanya. Semua ini tidak bermanfaat bagi mereka sehinggalah datang kepada mereka hukuman yang sama menimpa generasi sebelum mereka.
Ayat 5
فَقَدْ كَذَّبُوا۟ بِٱلْحَقِّ لَمَّا جَآءَهُمْ ۖ فَسَوْفَ يَأْتِيهِمْ أَنۢبَـٰٓؤُا۟ مَا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ
Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran (Al-Quran) ketika ia sampai kepada mereka. Oleh itu, akan datanglah kepada mereka berita (yang membuktikan kebenaran) apa yang mereka selalu ejek-ejek itu (iaitu mereka akan ditimpa bala bencana).
Allah Swt menegaskan bahawa kelak akan sampai kepada mereka kebenaran berita-berita yang selalu mereka perolok-olokkan. Ketika itu, mereka akan mendapat kehinaan di dunia dan kebinasaan di akhirat. Inilah akibat daripada pendustaan mereka kepada agama-Nya. Sebaliknya mereka akan menyaksikan kemenangan Rasul bagi kaum muslimin.
Ini merupakan ancaman dan peringatan keras daripada Allah Ta’ala terhadap orang-orang yang mendustakan kebenaran. Dia menyatakan bahawa pasti akan datang kepada mereka kenyataan daripada berita-berita yang sebelum ini mereka perolok-olokkan. Ketika itu, mereka pasti akan dapat melihat dan merasakan akibatnya.
Ar-Razi (mufassir) berkata, “Allah Ta’ala menyebutkan keadaan orang-orang kafir secara berturutan berdasarkan tiga tingkatan dan setiap tingkatan lebih buruk daripada tingkatan sebelumnya.” Tingkatan-tingkatan tersebut adalah:
- Sikap berpaling daripada merenungkan bukti-bukti dan dalil-dalil yang nyata.
- Sikap mendustakan dalil-dalil tersebut. Sikap tingkatan kedua ini melebihi tingkatan pertama kerana orang-orang yang bersikap acuh tak acuh belum tentu mendustakan, kemungkinan dia itu alpa dan lalai.
- Penghinaan terhadap dalil-dalil itu. Orang yang mendustakan belum tentu dia sampai kepada sikap memperolok-olokkan. Sikap memperolok-olokkan ini sudah mencapai puncak keingkaran. Orang-orang kafir itu telah melalui ketiga-tiga tingkatan tersebut.
Ayat 6
أَلَمْ يَرَوْا۟ كَمْ أَهْلَكْنَا مِن قَبْلِهِم مِّن قَرْنٍ مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّن لَّكُمْ وَأَرْسَلْنَا ٱلسَّمَآءَ عَلَيْهِم مِّدْرَارًا وَجَعَلْنَا ٱلْأَنْهَـٰرَ تَجْرِى مِن تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَـٰهُم بِذُنُوبِهِمْ وَأَنشَأْنَا مِنۢ بَعْدِهِمْ قَرْنًا ءَاخَرِينَ
Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?
Allah Ta’ala menyatakan bahawa ancaman seksaan adalah ketetapan-Nya bagi orang-orang yang mendustakan para rasul seperti yang pernah terjadi kepada kaum ‘Aad, Thamud, kaum Firaun dan kaum Nabi Lut as.
Tujuan ayat ini adalah sebagai peringatan kepada orang-orang yang kufur bahawa mereka akan ditimpa azab dan seksaan dunia, sebagaimana yang menimpa kaum-kaum seperti mereka daripada umat-umat terdahulu yang jauh lebih kuat dan lebih banyak dari segi jumlah mereka, harta, anak-anak dan lebih mampu memakmurkan bumi daripada mereka.
Dalam ayat ini juga dinyatakan bahawa Allah Swt telah menimpakan azab kepada kaum-kaum terdahulu dengan cara sedikit demi sedikit. Diturunkan hujan yang banyak, menumbuhkan pelbagai tanam-tanaman sebagai tipuan dan penangguhan azab terhadap dosa-dosa yang mereka lakukan.
Oleh itu, Allah Swt memerintahkan orang-orang kafir untuk mengambil pelajaran daripada generasi sebelum mereka yang telah binasa.
Ayat 7
وَلَوْ نَزَّلْنَا عَلَيْكَ كِتَـٰبًا فِى قِرْطَاسٍ فَلَمَسُوهُ بِأَيْدِيهِمْ لَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ
Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka, nescaya orang-orang yang kafir itu berkata: “Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata”.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa penentangan mereka terhadap kebenaran adalah sikap berpaling mereka daripada ayat-ayat-Nya, tertutupnya penglihatan dan pemikiran mereka serta hati mereka. Oleh itu, seandainya Dia menurunkan sebuah kitab yang ditulis di atas kertas atau sejenisnya dan mereka mampu menyentuhnya dengan tangan mereka sendiri, pasti mereka akan mengatakan semua itu adalah sihir yang nyata, tipuan dan penyesatan kerana sifat sombong dan bodoh yang ada pada diri mereka.