Surah 6: Al-An’am (1 – 3)

Kekuasaan Allah Swt pada Ciptaan-Nya

Surah 6: Al-An’am (1 – 3)


Ayat 1

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَجَعَلَ ٱلظُّلُمَـٰتِ وَٱلنُّورَ ۖ ثُمَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

Allah Swt memuji diri-Nya. Dia juga mengajar para hamba-Nya bagaimana cara memuji-Nya iaitu dengan mengucapkan kalimah yang suci “alhamdulillah”. Segala puji adalah untuk Allah Swt kerana Dia-lah yang paling berhak untuk menerima pujian. 

Allah Swt memiliki segala sifat-sifat yang terpuji dan segala sifat-sifat kesempurnaan. Allah Swt menjelaskan tentang diri-Nya sebagai Zat Yang Maha Terpuji itu dengan menerangkan bahawa Dia-lah Pencipta langit dan bumi, gelap dan terang yang menjadi bukti sempurnanya kekuasaan, kebijaksanaan, luasnya ilmu dan rahmat-Nya. 

Penciptaan langit dan bumi disebutkan secara khusus dalam ayat ini adalah untuk menunjukkan keistimewaannya sebagai ciptaan Allah Swt yang besar dan sentiasa disaksikan oleh umat manusia dan pada kedua-duanya terdapat pelajaran yang sangat bermanfaat kepada mereka. Bumi dan langit dijadikan sebagai tempat tinggal makhluk ciptaan-Nya. Kegelapan dan cahaya dijadikan-Nya bermanfaat pada waktu malam dan siang. Ini merupakan tanda-tanda daripada kesempurnaan-Nya. 

Allah Swt menyebutkan kegelapan-kegelapan (ٱلظُّلُمَٰتِ) dalam bentuk jamak kerana terdapat banyak bentuk kesesatan dan jalan-jalan yang membawa kepadanya. Manakala Dia menyebutkan cahaya (ٱلنُّورَ) secara mufrad (tunggal) kerana jalan menuju kepada Allah Swt hanya satu, iaitu jalan Rasulullah saw yang membawa kebenaran daripada-Nya, sebagaimana firman-Nya: 

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa.” 

Al-An’am 6:153 

Namun orang-orang kafir tetap mengingkari nikmat-nikmat daripada Allah Ta’ala, mereka menyekutukan-Nya dengan yang lainnya. Mereka menjadikan tandingan bagi Allah Swt dalam beribadah. Sedangkan apa yang mereka sekutukan itu tidak pula menciptakan mereka dan tidak pula memiliki kemampuan untuk memberikan manfaat ataupun mudarat kepada diri mereka. 

Ayat 2

هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن طِينٍ ثُمَّ قَضَىٰٓ أَجَلًا ۖ وَأَجَلٌ مُّسَمًّى عِندَهُۥ ۖ ثُمَّ أَنتُمْ تَمْتَرُونَ

Dia-lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisi-Nya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan).

Allah Ta’ala mengingatkan orang-orang musyrikin yang menyamakan Allah Swt dengan selain-Nya dalam peribadatan. Dia mengingatkan mereka dengan mengemukakan dalil-dalil dan bukti-bukti keesaan serta kekuasaan-Nya yang berkaitan dengan tauhid dan hari kebangkitan. 

Dia-lah yang menciptakan manusia pertama iaitu Nabi Adam as daripada tanah kemudian daripadanya berkembangbiaklah keturunannya lalu tersebar ke seluruh pelosok dunia. 

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menentukan ajal manusia mulai daripada kelahiran hinggalah kematian dan ajal seseorang tidak dipercepatkan atau dilambatkan walaupun sesaat. Begitu juga tiada siapa pun yang mengetahui ajalnya walaupun para rasul dan para malaikat yang dekat kedudukan mereka dengan-Nya. Firman-Nya: 

“………….Maka apabila telah tiba waktunya (yang ditentukan) bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukannya.” 

An-Nahl 16:61 

“Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat ada pada sisi Rabbku, tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia………” 

Al-A’raf 7:187 

Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia yang telah menentukan bilakah alam ini akan dihancurkan. Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui bila akan terjadi hari kiamat melainkan Dia dan pengetahuan ini hanya ada pada sisi-Nya. 

Orang-orang yang ragu-ragu tentang hari kebangkitan, sebenarnya mereka tidak dapat terima kenyataan bahawa apabila mereka mati dan telah menjadi debu, mereka akan dihidupkan kembali. Itulah sebabnya Allah Swt telah menyatakan bahawa Dia telah menjadikan manusia daripada tanah dalam ayat sebelum ini. Oleh itu, sekiranya Dia telah menjadikan manusia yang asalnya daripada tanah, mengapa pula Dia tidak boleh menghidupkan mereka kembali apabila sudah menjadi tanah? 

Ayat 3

وَهُوَ ٱللَّهُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَفِى ٱلْأَرْضِ ۖ يَعْلَمُ سِرَّكُمْ وَجَهْرَكُمْ وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُونَ

Dan Dia-lah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaan-Nya) di langit dan di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan, dan Dia juga mengetahui apa yang kamu usahakan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia-lah yang berhak disembah di langit dan di bumi, tiada tuhan selain-Nya. Dia-lah yang mengaturkan segala-galanya dan dengan sebab itu Dia-lah yang berhak untuk disembah. Dia juga mengetahui segala rahsia hamba-hamba-Nya sama ada yang mereka nampakkan atau sembunyikan dan tidak ada sesuatu pun yang samar bagi-Nya.