Surah 19: Maryam (16 – 37)

Kisah Maryam Melahirkan Anak (Nabi Isa as) tanpa Ayah

Surah 19: Maryam (16 – 37)


Pohon kurma

Maryam melahirkan Nabi Isa as di bawah sebatang pohon kurma. Beliau diperintahkan oleh Allah Swt supaya menggoyangkan pangkal pohon tersebut agar gugurlah buah kurma yang masak untuk dijadikan sebagai makanannya.

Ayat 16

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ مَرْيَمَ إِذِ ٱنتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا شَرْقِيًّا

Dan ceritakanlah (kisah) Maryam di dalam Al-Quran, iaitu ketika dia menjauhkan diri daripada keluarganya ke suatu tempat di sebelah timur.

Dalam ayat sebelumnya, Allah Swt menyebutkan kisah Nabi Zakaria as, walaupun dalam keadaan sangat tua dan isteri baginda mandul, namun Allah Maha Berkuasa menganugerahinya seorang anak lelaki yang suci dan diberkati.  

Dalam ayat ini pula, Allah Swt menyebutkan kekuasaan-Nya melalui kisah Maryam yang diberikan seorang anak lelaki, iaitu Nabi Isa as tanpa ayah. Kedua-dua kisah tersebut menunjukkan kekuasaan dan keagungan kerajaan-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.  

Maryam binti ‘Imran adalah daripada keturunan Nabi Daud as. Beliau daripada keluarga yang suci dan baik di kalangan kaum Bani Israil.  

Dalam Surah Ali ‘Imran yang lalu, Allah Ta’ala telah menyebutkan bagaimana ibu Maryam melahirkannya dan kejadian aneh ketika Nabi Zakaria as melawatnya di mihrab. Firman-firman-Nya:  

“(Ingatlah), ketika isteri ‘Imran berkata, ‘Wahai Rabbku, sesungguhnya aku menazarkan kepadaMu anak yang dalam kandunganku menjadi hamba yang soleh dan berkhidmat (di Baitul Maqdis). Oleh itu, terimalah (nazar) itu daripadaku. Sesungguhnya Engkau lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.’ Maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, diapun berkata, “Wahai Rabbku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan, dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu, dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk.” 

Ali ‘Imran 3:35-36  

“Maka Rabbnya menerimanya (sebagai nazar) dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan Allah menjadikan Zakaria pemeliharanya. Setiap kali Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, dia dapati makanan di sisinya. Zakaria berkata, ‘Wahai Maryam dari mana kamu memperoleh (makanan) ini?’ Maryam menjawab, ‘Makanan itu dari sisi Allah’. Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab.” 

Ali ‘Imran 3: 37  

Dalam ayat di atas, Allah Ta’ala memiliki hikmah dan dalil yang kuat untuk menjadikan hamba dan rasul-Nya, Nabi Isa as salah seorang daripada lima rasul yang agung, ulul ‘azmi iaitu diberi tekad dan ketabahan yang tinggi.  

Allah Ta’ala juga mentakdirkan Maryam menjauhkan diri daripada keluarganya dengan menghindari mereka menuju ke suatu tempat yang berada di arah timur masjid Baitul Maqdis untuk beribadat. 

Ayat 17

فَٱتَّخَذَتْ مِن دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَآ إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا

Maka dia memasang tabir (yang melindunginya) daripada mereka, lalu Kami mengutus roh Kami (Jibril) kepadanya, maka dia menjelma di hadapannya (dalam bentuk) manusia yang sempurna.

Maryam membuat penutup atau pembatas untuk menutupi dirinya agar tidak ada sesiapa yang melihatnya ketika dia sedang beribadat. 

Mujahid, Adh-Dhahhak, Qatadah, Ibnu Juraij, Wahb bin Munabbih, dan As-Suddi berkata roh itu adalah Jibril as, sebagaimana firman Allah Swt: 

“Dia dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan.” 

Asy-Syu’ara’ 26:193-194 

Lalu Allah Ta’ala mengutuskan Jibril as dalam bentuk dan rupa seorang manusia yang sempurna. 

Ayat 18

قَالَتْ إِنِّىٓ أَعُوذُ بِٱلرَّحْمَـٰنِ مِنكَ إِن كُنتَ تَقِيًّا

Maryam berkata, “Sesungguhnya aku berlindung daripadamu kepada Rabb Yang Maha Pemurah, jika kamu seorang yang bertakwa.”

Ayat 19

قَالَ إِنَّمَآ أَنَا۠ رَسُولُ رَبِّكِ لِأَهَبَ لَكِ غُلَـٰمًا زَكِيًّا

Dia (Jibril) berkata, “Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang utusan Rabbmu, untuk memberimu seorang anak lelaki yang suci.”

Maryam berasa takut kepada malaikat yang menyerupai manusia itu dan menyangka ia hendak berbuat sesuatu yang buruk terhadapnya. Lalu Maryam memohon perlindungan kepada Allah Ta’ala dan sambil mengingatkan malaikat tersebut terhadap Allah ‘Azza wa Jalla sekiranya dia seorang yang bertakwa. 

Apabila Jibril as melihat Maryam dalam ketakutan, ia menerangkan bahawa ia adalah utusan Allah Swt. Tujuan kedatangannya adalah dengan perintah-Nya untuk menganugerahkan Maryam seorang anak yang bersih dan suci daripada dosa dan akan membesar dalam kesucian dan kehormatan. 

Ayat 20

قَالَتْ أَنَّىٰ يَكُونُ لِى غُلَـٰمٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِى بَشَرٌ وَلَمْ أَكُ بَغِيًّا

Maryam berkata, “Bagaimana akan ada bagiku seorang anak lelaki, sedangkan tidak pernah seorang manusia pun menyentuhku dan aku bukan (pula) seorang penzina!”

Mendengar pernyataan daripada Jibril as, Maryam berasa hairan dan bertanya bagaimana dia akan memperoleh seorang anak lelaki sedangkan dia tidak mempunyai suami atau tidak pernah melakukan perbuatan keji dengan berzina. 

Pertanyaan Maryam bukanlah menafikan kekuasaan Allah Swt tetapi berdasarkan kebiasaan yang dia ketahui iaitu seorang anak tidak akan dilahirkan tanpa peranan seorang lelaki. 

Ayat 21

قَالَ كَذَٰلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَىَّ هَيِّنٌ ۖ وَلِنَجْعَلَهُۥٓ ءَايَةً لِّلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِّنَّا ۚ وَكَانَ أَمْرًا مَّقْضِيًّا

Jibril berkata, “Demikianlah. Rabbmu berfirman, ‘Hal itu adalah mudah bagi-Ku, dan agar Kami dapat menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat daripada Kami, dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan.’”

Kemudian Jibril as menjelaskan bahawa Allah Ta’ala telah menyatakan bahawa Maryam akan melahirkan seorang anak lelaki walaupun beliau tidak pernah bersuami juga bukan melalui perbuatan keji. Dia Maha Berkuasa terhadap apa yang dikehendaki-Nya. Allah Ta’ala menjadikannya petunjuk dan tanda bagi manusia tentang kekuasaan-Nya. Dia boleh mengadakan dan menciptakan manusia dalam pelbagai keadaan. 

Allah Ta’ala telah menciptakan nenek moyang mereka, iaitu Nabi Adam as tanpa ayah dan ibu, menciptakan Hawa daripada lelaki tanpa wanita, dan menciptakan seluruh keturunannya daripada lelaki dan wanita, kecuali Nabi Isa as yang diciptakan daripada wanita tanpa lelaki. Oleh itu, lengkaplah empat bahagian yang menunjukkan kesempurnaan kekuasaan-Nya dan keagungan-Nya. Tidak ada Ilah yang berhak diibadahi selain Allah Swt dan tidak ada Rabb selain-Nya. Firman-Nya: 

“Maryam berkata, ‘Wahai Rabbku, betapa mungkin aku mempunyai anak, padahal aku belum pernah disentuh oleh seorang lelaki pun.’ Allah berfirman (dengan perantaraan Jibril), ‘Demikianlah Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Apabila Allah berkehendak menetapkan sesuatu, maka Allah hanya cukup berkata kepadanya, ‘Jadilah’, lalu jadilah ia.’” 

Ali ‘Imran 3:47 

Allah Ta’ala menjadikan Nabi Isa as sebagai rahmat daripada-Nya untuk para hamba-Nya. Dia mengangkat baginda menjadi seorang rasul yang menyeru manusia supaya beribadah dan mengesakan-Nya. 

Ayat 22

فَحَمَلَتْهُ فَٱنتَبَذَتْ بِهِۦ مَكَانًا قَصِيًّا

Maka Maryam mengandung, lalu dia mengasingkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh.

Allah Ta’ala menceritakan bahawa ketika Jibril as menyampaikan firman-Nya kepada Maryam, lalu Maryam berserah diri kepada ketentuan-Nya. Jibril as meniup roh kepada Maryam, lalu tiupan itu turun ke bahagian bawah tubuhnya hingga masuk ke dalam rahimnya, maka dengan serta-merta Maryam mengandungkan anak dengan izin Allah Ta’ala.  

Apabila Maryam berasa dirinya telah hamil dia pun menyisihkan dirinya membawa kandungannya ke tempat yang jauh. Dia berbuat demikian kerana bimbang dicela dan dimalukan setelah melahirkan anak tanpa suami. 

Ayat 23

فَأَجَآءَهَا ٱلْمَخَاضُ إِلَىٰ جِذْعِ ٱلنَّخْلَةِ قَالَتْ يَـٰلَيْتَنِى مِتُّ قَبْلَ هَـٰذَا وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيًّا

Maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksa dia (bersandar) pada pangkal pohon kurma, dia berkata, “Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi sesuatu yang tidak bererti, lagi dilupakan.”

Allah Ta’ala menyatakan kisah kelahiran Nabi Isa as. Rasa sakit saat hendak melahirkan anak telah memaksa Maryam untuk menyandarkan dirinya pada pangkal sebatang pohon kurma di tempat pengasingannya. 

Ketika itu, Maryam berangan-angan untuk mati sebelum terjadi hal itu kerana malu dengan manusia dan kerana takut mereka menganggapnya sebagai seorang perempuan yang keji dalam agama. Mungkin juga dia berangan-angan menjadi sesuatu yang tidak diendahkan atau dia berangan-angan jika dia tidak diciptakan. 

Berkenaan dengan tempat pengasingan ini, As-Suddi mengatakan ia terletak di timur mihrabnya yang dijadikan tempat solat di Baitul Maqdis. Wahb bin Munabbih menyatakan Maryam melarikan diri dan ketika berada di antara Syam dan negeri Mesir, dia berasa sakit hendak bersalin. Menurut Ibnu Kathir pula, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh An-Nasa’i dan Al-Baihaqi, tempat tersebut ialah Betlehem. 

Maryam menyedari bahawa dia akan menghadapi ujian. Masyarakat tidak akan mempercayai kisah yang dilaluinya padahal mereka mengenalinya sebagai wanita yang taat dan tekun beribadah. Mereka akan menuduhnya telah berubah menjadi pelacur dan penzina. 

Ayat 24

فَنَادَىٰهَا مِن تَحْتِهَآ أَلَّا تَحْزَنِى قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا

Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya, “Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Rabbmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.

Ulama tafsir berbeza pendapat mengenai orang yang menyeru Maryam. Al-‘Aufi dan lain-lain telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa yang menyerunya adalah Jibril as. Hal yang sama telah dikatakan oleh Sa’id ibnu Jubair, Ad-Dahhak, ‘Amr ibnu Maimun, As-Saddi, dan Qatadah, iaitu bahawa yang menyerunya adalah Jibril as. Jibril as memanggilnya dari lembah yang ada di tempat yang lebih rendah. 

Mujahid, Abdurrazzaq, daripada Ma’mar, daripada Qatadah, menyatakan bahawa Al-Hasan Al-Basri mengatakan yang menyerunya itu adalah puteranya Nabi ‘Isa as. Selanjutnya Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa ia berkaitan dengan firman Allah Swt dalam Surah Maryam 19:29. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Jarir di dalam kitab tafsirnya, juga oleh Ibnu Zaid. 

Ayat 25

وَهُزِّىٓ إِلَيْكِ بِجِذْعِ ٱلنَّخْلَةِ تُسَـٰقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا

Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.

Allah Ta’ala memberi kurnia kepada Maryam dengan mengadakan makanan dan minuman di sisinya. 

‘Amr bin Maimun mengatakan memakan rotab (kurma yang baru masak) adalah yang terbaik bagi wanita-wanita yang mengalami nifas. 

Ayat ini juga merupakan dalil bahawa perlunya melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki dan keyakinan bahawa pelaku yang sebenar dalam memudahkan rezeki adalah Allah Ta’ala dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. 

Ayat 26

فَكُلِى وَٱشْرَبِى وَقَرِّى عَيْنًا ۖ فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ ٱلْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِىٓ إِنِّى نَذَرْتُ لِلرَّحْمَـٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ ٱلْيَوْمَ إِنسِيًّا

Maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu. Jika kamu melihat seorang manusia, maka katakanlah, “Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk (Rabb) Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusia pun pada hari ini.”

Setelah Maryam selamat melahirkan Nabi Isa as, Allah Ta’ala memerintahkannya makan kurma dan minum air serta bergembira dan tidak bersedih kerana anak yang dilahirkan itu akan diangkat menjadi seorang Nabi. 

Allah Ta’ala mengajar Maryam agar dia memberi isyarat yang bermaksud dia sedang bernazar untuk berpuasa daripada berbicara dengan sesiapa pun apabila dia berjumpa dengan seseorang yang bertanyakan tentang dirinya dan anaknya. 

Anas bin Malik ra mengatakan puasa dalam ayat ini bererti berdiam diri. Maksudnya dalam syariat ketika itu, jika berpuasa maka diharamkan kepada mereka makan dan berbicara. Ini juga dinyatakan oleh As-Suddi, Qatadah, dan ‘Abdurrahman bin Zaid. 

Ayat 27

فَأَتَتْ بِهِۦ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُۥ ۖ قَالُوا۟ يَـٰمَرْيَمُ لَقَدْ جِئْتِ شَيْـًٔا فَرِيًّا

Maka Maryam membawa anak itu kepada kaumnya dengan menggendongnya. Kaumnya berkata, “Wahai Maryam, sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang amat mungkar.

Setelah Maryam berasa tenang dengan tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala yang disaksikannya, dia membawa anaknya pergi menemui kaumnya dan berserah diri kepada Allah Ta’ala serta menerima ketetapan-Nya. Dia-lah yang akan menyelesaikan urusannya dengan ditegakkan hujah berkaitan dengan dirinya. 

Ketika kaumnya melihat Maryam dalam keadaan tersebut, mereka menganggapnya sebagai satu perkara yang sangat mengaibkan dan perkara yang tidak boleh diterima. 

Ayat 28

يَـٰٓأُخْتَ هَـٰرُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ ٱمْرَأَ سَوْءٍ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا

Wahai saudara perempuan Harun, ayahmu sekali-kali bukanlah seorang yang jahat dan ibumu sekali-kali bukanlah seorang penzina.”

Dalam tafsir Ibnu Kathir dinyatakan, Maryam dipanggil saudara perempuan Harun kerana dia adalah seorang wanita yang soleh sebagaimana solehnya Nabi Harun as. 

‘Ali bin Abi Talhah dan As-Suddi mengatakan Harun dalam ayat, “Wahai saudara perempuan Harun,” bermaksud Nabi Harun as saudara Nabi Musa as dan Maryam termasuk keturunan mereka. 

Ada pula berpendapat, Maryam disandarkan kepada seseorang yang soleh pada masa itu yang bernama Harun. Beliau dibandingkan dengannya dalam kezuhudan dan ibadah. 

Ayat 29

فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ ۖ قَالُوا۟ كَيْفَ نُكَلِّمُ مَن كَانَ فِى ٱلْمَهْدِ صَبِيًّا

Maka Maryam menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata, “Bagaimana kami akan berbicara dengan anak kecil yang masih dalam buaian?”

Ketika mereka berasa ragu-ragu terhadap kejadian yang menimpa Maryam dan menuduhnya telah melakukan perbuatan mungkar, Maryam memberikan isyarat kepada mereka agar berbicara dengan bayinya kerana ketika itu beliau sedang berpuasa dan tidak boleh berbicara. 

Hal ini telah menimbulkan kemarahan mereka kerana menyangka telah dipermainkan dan diperlekehkan oleh Maryam. 

Ayat 30

قَالَ إِنِّى عَبْدُ ٱللَّهِ ءَاتَىٰنِىَ ٱلْكِتَـٰبَ وَجَعَلَنِى نَبِيًّا

Berkata (Isa), “Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang Nabi.

Perkataan pertama yang diucapkan oleh Nabi Isa as ketika masih bayi dan masih menyusu adalah mensucikan dan membebaskan Rabbnya daripada sifat memiliki anak. Baginda menetapkan statusnya sebagai seorang hamba terhadap Rabbnya. Hal ini mengingatkan kaum Nasrani tentang kesilapan mereka yang percaya bahawa Nabi Isa as itu adalah tuhan sedangkan baginda hanyalah pesuruh-Nya. 

Ayat ini juga merupakan satu pernyataan yang membebaskan Maryam daripada tuduhan keji yang dilemparkan terhadap dirinya. 

Ayat 31

وَجَعَلَنِى مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنتُ وَأَوْصَـٰنِى بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱلزَّكَوٰةِ مَا دُمْتُ حَيًّا

Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup.

Ulama telah bersepakat, maksud ayat, “Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada, ini ialah keberkatan yang dianugerahkan kepada Nabi Isa as adalah baginda sentiasa menyuruh kepada kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran walau di mana pun baginda berada. 

‘Abdurahman bin Al-Qasim mengatakan daripada Malik bin Anas tentang ayat dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup., dia mengatakan, “Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Isa as tentang sesuatu yang wajib diamalkannya sehingga tiba hari kematiannya.” Ayat ini merupakan pengukuhan bagi orang-orang yang percaya kepada takdir iaitu mereka hendaklah sentiasa beramal baik hingga sampai ajal dan tidak menunggu takdir tanpa beramal. 

Ayat 32

وَبَرًّۢا بِوَٰلِدَتِى وَلَمْ يَجْعَلْنِى جَبَّارًا شَقِيًّا

Dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka.

Allah Ta’ala menyebutkan bahawa Nabi Isa as diperintahkan-Nya berbakti kepada ibunya setelah melakukan ketaatan kepada-Nya sebagaimana firman-Nya: 

“Dan Rabbmu telah memerintahkan supaya kamu jangan beribadah kepada selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya…..” 

Al-Isra’ 17:23 

Allah Ta’ala juga tidak menjadikan Nabi Isa as seorang yang lalai dan menyombongkan diri sehingga baginda enggan beribadah dan taat kepada-Nya atau lalai daripada berbakti kepada ibunya. Sekiranya hal ini berlaku, kecelakaan akan menimpa dirinya. 

Ayat 33

ٱلسَّلَـٰمُ عَلَىَّ يَوْمَ وُلِدتُّ وَيَوْمَ أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا

Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku mati dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali.”

Ayat ini merupakan penegasan daripada Nabi Isa as tentang statusnya sebagai hamba Allah Swt dan baginda merupakan antara makhluk ciptaan-Nya. Baginda dihidupkan, akan dimatikan dan akan dibangkitkan kembali seperti makhluk-makhluk-Nya yang lain tetapi baginda mendapat kesejahteraan dalam tiga keadaan yang paling sukar bagi setiap hamba-hamba-Nya. Semoga Allah Swt sentiasa melimpahkan selawat dan salam kepada baginda. 

Ayat 34

ذَٰلِكَ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ ۚ قَوْلَ ٱلْحَقِّ ٱلَّذِى فِيهِ يَمْتَرُونَ

Itulah Isa putera Maryam, yang mengucapkan perkataan yang benar, yang mereka berbantah-bantahan tentang kebenarannya.

Allah Ta’ala menyebutkan sifat-sifat yang ada pada Nabi Isa as dalam ayat-ayat terdahulu. Ucapan yang dilafazkan adalah benar yang tidak diperselisihkan atau diragukan lagi. 

Namun orang-orang kafir tidak percaya bahawa Nabi Isa as adalah seorang hamba Allah Swt dan Nabi-Nya. Maha Suci Allah daripada apa yang diucapkan oleh yang melampaui batas. 

Ayat 35

مَا كَانَ لِلَّهِ أَن يَتَّخِذَ مِن وَلَدٍ ۖ سُبْحَـٰنَهُۥٓ ۚ إِذَا قَضَىٰٓ أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ

Tidak layak bagi Allah mempunyai anak, Maha Suci Dia. Apabila Dia telah menetapkan sesuatu, maka Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka jadilah ia.

Kemudian Allah Ta’ala membantah dakwaan ahli kitab bahawa Dia memiliki anak. Sesungguhnya itu semua adalah tidak benar dan tidak patut Dia mempunyai anak kerana Dia tidak memerlukannya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka ucapkan. 

Seterusnya Allah Ta’ala menjelaskan bahawa sekiranya Dia menghendaki sesuatu, maka Dia hanya memerintahkannya lalu jadilah sesuatu itu seperti yang dikehendaki-Nya sebagaimana firman-Nya: 

“Sesungguhnya perumpamaan (penciptaan) Isa di sisi Allah adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam daripada tanah, kemudian Dia berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu. Kebenaran itu daripada Rabbmu, oleh itu janganlah kamu (Muhammad) termasuk orang-orang yang ragu-ragu.” 

Ali ‘Imran 3:59-60 

Ayat 36

وَإِنَّ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبُّكُمْ فَٱعْبُدُوهُ ۚ هَـٰذَا صِرَٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ

(Isa berkata), “Sesungguhnya Allah adalah Rabbku dan Rabbmu, maka sembahlah Dia olehmu sekalian. Ini adalah jalan yang lurus.”

Antara yang diberitahu oleh Nabi Isa as kepada kaumnya ketika baginda masih dalam buaian adalah tentang Allah Swt. Baginda mengatakan, Rabbnya adalah Rabb mereka juga. Oleh itu, baginda memerintahkan mereka beribadah hanya kepada-Nya. 

Nabi Isa as juga mengatakan bahawa apa yang dibawanya itu merupakan jalan yang lurus. Sesiapa yang mengikutinya akan dibimbing dan mendapat petunjuk, manakala sesiapa yang menentangnya akan menyimpang dan tersesat. 

Ayat 37

فَٱخْتَلَفَ ٱلْأَحْزَابُ مِنۢ بَيْنِهِمْ ۖ فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن مَّشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Maka berselisihlah golongan-golongan (yang ada) di antara mereka. Maka celakalah orang-orang kafir pada waktu menyaksikan hari yang agung!

Ahli kitab berbeza pendapat tentang Nabi Isa as walaupun telah jelas bahawa baginda adalah hamba dan utusan Allah Swt.

Allah Ta’ala memberi ancaman yang keras kepada orang-orang yang berdusta terhadap-Nya dan mengatakan Dia memiliki anak.

Walau bagaimanapun, Allah Swt menangguhkan balasan terhadap mereka hingga Hari Kiamat. Hal ini menunjukkan sikap Pengasih-Nya dan Kekuasaan-Nya terhadap mereka sebagaimana firman-Nya:

“Dan berapa banyak negeri yang Aku tangguhkan (penghancurannya) kerana penduduknya berbuat zalim, kemudian Aku azab mereka, dan hanya kepada-Ku tempat kembali (segala sesuatu).”

Al-Hajj 22:48

Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah benar-benar menangguhkan (azab) bagi orang yang zalim, namun apabila Dia mengazabnya, maka Dia tidak akan melepaskannya.” Kemudian Rasulullah saw membaca firman-Nya, “Dan begitulah azab Rabbmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras.” (Surah Hud 11:102)

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

“Tidak ada yang lebih sabar dalam mendengar keburukan melainkan Allah kerana mereka mengatakan Dia mempunyai anak tetapi Dia tetap memberi rezeki dan kesejahteraan kepada mereka.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)