Kisah Zulkarnain
Surah 18: Al-Kahfi (83 – 99)

Gambaran tembok yang dibina oleh Zulkarnain untuk menyelamatkan manusia daripada Yakjuj dan Makjuj
Ayat 83
وَيَسْـَٔلُونَكَ عَن ذِى ٱلْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُوا۟ عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا
Dan mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Zulkarnain. Katakanlah, “Aku akan bacakan kepadamu cerita tentangnya.”
Orang-orang kafir Mekah menghantar utusan kepada kaum ahli kitab (di Madinah) untuk menanyakan soalan-soalan bertujuan menguji kebenaran Nabi Muhammad saw sebagai utusan Allah Swt. Ahli kitab mengatakan kepada orang-orang kafir Mekah, “Tanyakanlah kepadanya tentang seorang lelaki yang menjelajah ke seluruh permukaan bumi (Zulkarnain), juga tentang para pemuda penghuni gua, apakah yang mereka lakukan, dan tentang ruh.” Maka turunlah Surah Al-Kahfi ini.
Ayat 84
إِنَّا مَكَّنَّا لَهُۥ فِى ٱلْأَرْضِ وَءَاتَيْنَـٰهُ مِن كُلِّ شَىْءٍ سَبَبًا
Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu.
Allah Swt memberikan Zulkarnain kekuasaan yang besar meliputi segala perkara yang diberikan kepada raja-raja berupa kekuatan, bala tentera, alat-alat perang dan lain-lain. Oleh sebab dia mempunyai kekuasaan tersebut, dia mendapat gelaran Zulkarnain yang bermaksud pemilik dua tanduk kerana beliau telah menguasai dunia dari timur ke barat dan semua negara tunduk kepadanya.
Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Sa’id Ibnu Jubair, ‘Ikrimah, As-Suddi, Qatadah, Adh-Dhahhak dan lain-lain mengatakan, maksud ayat, “dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.” ialah Allah Ta’ala memberikan ilmu untuk mencapai segala sesuatu.
Ayat 85
فَأَتْبَعَ سَبَبًا
Maka dia pun menempuh suatu jalan.
Zulkarnain ingin memperluaskan wilayah kekuasaannya, maka untuk merealisasikannya dia pun menempuh suatu jalan dengan menggunakan cara yang telah Allah Ta’ala ajarkan kepadanya.
Ayat 86
حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ ٱلشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِى عَيْنٍ حَمِئَةٍ وَوَجَدَ عِندَهَا قَوْمًا ۗ قُلْنَا يَـٰذَا ٱلْقَرْنَيْنِ إِمَّآ أَن تُعَذِّبَ وَإِمَّآ أَن تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا
Hingga ketika dia telah sampai di tempat matahari terbenam, dia melihatnya (matahari) terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam, dan di sana ditemukannya satu kaum (tidak beragama). Kami berfirman, “Wahai Zulkarnain, kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan (mengajak beriman) kepada mereka.”
Zulkarnain meneruskan perjalanannya hingga dia sampai di suatu tempat yang sangat jauh di wilayah barat. Di situ dia dapat melihat matahari terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam. Di wilayah itu ditemukannya suatu kaum yang kafir dan derhaka.
Lalu Allah Ta’ala memberi pilihan kepada Zulkarnain, jika dia menghendaki dia boleh membunuh dan menawan. Jika dia menghendaki, dia boleh memperlakukan mereka dengan baik atau meminta tebusan, sama ada dia menghukum mereka kerana kederhakaan mereka, ataupun dia melakukan kebaikan kepada mereka dengan mengajak mereka beriman dan beramal soleh sehingga mereka menyedari kesesatan mereka.
Ayat 87
قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوْفَ نُعَذِّبُهُۥ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِۦ فَيُعَذِّبُهُۥ عَذَابًا نُّكْرًا
(Zulkarnain) berkata, “Adapun orang yang aniaya, maka kami kelak akan mengazabnya,” kemudian dia dikembalikan kepada Rabbnya, lalu Dia mengazabnya dengan azab yang tidak ada bandingannya.
Zulkarnain berkata kepada sebahagian daripada pengawal-pengawalnya bahawa orang-orang yang zalim dan bertahan dalam kesyirikan serta tidak menerima dakwahnya, maka mereka akan dibunuh. Di akhirat kelak mereka akan mendapat seksaan yang tidak terperi sakitnya di dalam Neraka Jahannam.
Ayat 88
وَأَمَّا مَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَلَهُۥ جَزَآءً ٱلْحُسْنَىٰ ۖ وَسَنَقُولُ لَهُۥ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا
Dan adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan, dan akan Kami titahkan kepadanya (perintah) yang mudah daripada perintah-perintah Kami.
Manakala orang-orang yang beriman kepada Allah Ta’ala dan keesaan-Nya serta membenarkan apa yang didakwahkan kepada mereka, maka balasannya adalah syurga. Mereka juga akan diajarkan perkara-perkara syariat agama yang mudah-mudah dan memberi arahan-arahan secara berlembut sahaja, tidak dengan cara keras.
Ayat ini merujuk kepada orang-orang yang mengikuti apa yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala, iaitu menyembahNya semata-mata dan tidak menyekutukanNya. Mereka akan mendapat balasan yang baik di akhirat kelak.
Ayat 89
ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا
Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain).
Ayat 90
حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ ٱلشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَىٰ قَوْمٍ لَّمْ نَجْعَل لَّهُم مِّن دُونِهَا سِتْرًا
Sehingga apabila dia telah sampai ke tempat terbit matahari (sebelah timur) dia mendapati matahari itu menyinari segolongan umat yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sesuatu yang melindunginya daripada (cahaya) matahari itu.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Zulkarnain menempuh suatu jalan yang lain. Dia berjalan dari tempat terbenamnya matahari menuju ke tempat terbitnya matahari.
Setiap kali bertemu dengan segolongan umat, dia dapat mengalahkan dan menguasai mereka serta menyeru mereka kepada Allah Swt. Jika mereka menolak seruannya, mereka akan dikuasai dan diambil harta kekayaan dan bekalan mereka serta digunakan segala yang ada pada umat tersebut untuk membantu angkatan tenteranya menyerangi kawasan-kawasan lain.
Ketika telah sampai di tempat terbitnya matahari iaitu di sebelah timur, terdapat suatu kaum yang tidak mempunyai bangunan untuk dijadikan sebagai tempat tinggal dan pepohonan yang tidak dapat dijadikan tempat bernaung untuk menghalang mereka daripada teriknya pancaran matahari.
Berkaitan hal ini, At-Tabari meriwayatkan daripada Qatadah, dia mengatakan, “Diceritakan kepada kami bahawa mereka berada di kawasan tanah yang sama sekali tidak dapat menumbuhkan tanaman. Jika matahari terbit, mereka akan masuk ke dalam terowong-terowong dan apabila matahari sudah tergelincir, mereka keluar mencari penghidupan mereka.”
Ayat 91
كَذَٰلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا
Demikianlah, dan sesungguhnya ilmu Kami meliputi segala apa yang ada padanya.
Mujahid dan As-Suddi mengatakan, maksud ayat ini ialah Allah Swt mengetahui semua keadaannya (Zulkarnain) dan keadaan angkatan tenteranya, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada-Nya, meskipun umat manusia terpisah di beberapa kawasan di muka bumi. Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya bagi Allah tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi di bumi dan tidak pula di langit.”
Ali ‘Imran 3:5
Ayat 92
ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا
Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain lagi).
Ayat 93
حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ ٱلسَّدَّيْنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا
Sehingga apabila dia telah sampai di antara dua buah gunung, dia mendapati di hadapan kedua-dua gunung itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan.
Kemudian Zulkarnain menempuh jalan ketiga yang melintang antara timur dan barat, dari timur menuju ke utara. Ketika sampai di antara dua gunung yang terletak antara Armenia dan Azarbaijan, dia mendapati di sebalik gunung tersebut ada satu kaum yang dia hampir tidak dapat memahami tutur kata/perkataan mereka kerana bahasa mereka sangat ganjil di samping tidak terdapat tanda-tanda kecerdikan mereka.
Ayat 94
قَالُوا۟ يَـٰذَا ٱلْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰٓ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا
Mereka berkata, “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya Ya’juj dan Ma’juj itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka.”
Mereka menawarkan kepada Zulkarnaian bahawa mereka boleh memberikan sesuatu sebagai upah sekiranya beliau sanggup membina penghalang antara mereka dengan Yakjuj dan Makjuj.
Ibnu Juraij menceritakan daripada Ibnu ‘Abbas ra mengatakan, mereka bermaksud mengumpulkan harta daripada kalangan mereka untuk mereka berikan kepadanya, supaya dengan demikian, dia bersetuju untuk membuat tembok antara mereka dengan Yakjuj dan Makjuj.
Ayat 95
قَالَ مَا مَكَّنِّى فِيهِ رَبِّى خَيْرٌ فَأَعِينُونِى بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا
(Zulkarnain) berkata, “Apa yang telah dikuasakan oleh Rabbku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan tembok antara kamu dan mereka.
Zulkarnain mengatakan apa yang Allah Ta’ala telah anugerahkan kepadanya iaitu kekuasaan dan kejayaan adalah lebih baik baginya daripada tawaran mereka. Walau bagaimanapun, beliau akan membantu dan meminta agar mereka menolongnya untuk membina tembok tersebut.
Ayat 96
ءَاتُونِى زُبَرَ ٱلْحَدِيدِ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ ٱلصَّدَفَيْنِ قَالَ ٱنفُخُوا۟ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَعَلَهُۥ نَارًا قَالَ ءَاتُونِىٓ أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا
Berilah aku potongan-potongan besi. ”Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua-dua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain, “Tiuplah (api itu).” Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata, “Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar aku tuangkan ke atas besi panas itu.”
Kemudian Zulkarnain meminta potongan-potongan besi dan apabila potongan-potongan besi itu telah tersedia, dia mulai menggunakannya untuk membina tembok antara dua gunung tersebut. Dia meletakkan sebahagian potongan besi atas potongan besi lainnya dari bawah sehinggalah tembok itu setinggi puncak dua gunung dan menutupi jarak antara keduanya.
Kemudian Zulkarnain berkata kepada orang-orang yang membantunya agar meniupkan potongan-potongan besi itu dengan peniup api sehingga semuanya menyala. Kemudian dituangkan tembaga yang meleleh pada besi yang dipanaskan tersebut maka semuanya akan menyatu dan menjadi tembok yang kukuh dan lubang-lubang antara besi itu pun akan tertutup.
Ayat 97
فَمَا ٱسْطَـٰعُوٓا۟ أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا ٱسْتَطَـٰعُوا۟ لَهُۥ نَقْبًا
Maka mereka (Ya’juj dan Ma’juj) tidak berupaya mendakinya dan mereka tidak berupaya (pula) melubanginya.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Yakjuj dan Makjuj tidak mampu mendaki tembok tersebut disebabkan tinggi dan licin tembok tersebut. Mereka juga tidak dapat menebuk untuk menembusinya kerana tembok tersebut sangat keras (pejal). Allah Ta’ala menjadikan bangsa-bangsa yang berada di sekitar tembok tersebut aman daripada kejahatan Yakjuj dan Makjuj.
Daripada Zainab binti Jahsy, isteri Nabi saw, dia mengatakan Nabi saw pernah bangun daripada tidur dengan wajah merah dan mengucapkan:
“La ilaha illallah (tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah), celakalah bangsa Arab daripada kejahatan yang telah dekat. Hari ini dinding penutup Yakjuj dan Makjuj telah terbuka seperti ini.” Lalu baginda, melingkarkan ibu jarinya pada telunjuknya. Aku pun bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kita akan binasa sedangkan di antara kita masih ada orang-orang soleh?” Baginda menjawab, “Ya, jika telah banyak kejahatan.”
(HR. Ahmad) Hadis ini sahih, Al-Bukhari dan Muslim telah sepakat mengeluarkannya.
Ayat 98
قَالَ هَـٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّى ۖ فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ رَبِّى جَعَلَهُۥ دَكَّآءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّى حَقًّا
(Zulkarnain) berkata, “(Dinding) ini adalah rahmat daripada Rabbku, maka apabila sudah datang janji Rabbku, Dia akan menjadikannya hancur luluh, dan janji Rabbku itu adalah benar.”
Zulkarnain memberitahu kaum tersebut bahawa tembok tersebut merupakan rahmat daripada Allah Ta’ala bagi manusia dengan menjadikannya sebagai penghalang antara mereka dengan Yakjuj dan Makjuj, agar tidak berlaku huru-hara dan kerosakan di bumi.
Namun apabila telah tiba waktu yang dijanjikan oleh Allah Swt iaitu ketika Hari Kiamat telah hampir tiba, tembok tersebut akan dihancurkan-Nya, maka Yakjuj dan Makjuj akan keluar dengan melakukan kerosakan dan menghancurkan segala yang dimiliki oleh manusia. Firman-Nya:
“Hingga apabila dibukakan (tembok) Yakjuj dan Makjuj, dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi. Dan telah dekatlah kedatangan janji yang benar (hari berbangkit), maka tiba-tiba terbelalaklah mata orang-orang kafir. (Mereka berkata), ‘Aduhai celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian tentang ini, bahkan kami adalah orang-orang yang zalim.’”
Al-Anbiya’ 21:96-97
Ayat 99
وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِى بَعْضٍ ۖ وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَجَمَعْنَـٰهُمْ جَمْعًا
Dan Kami biarkan mereka pada hari itu bercampur aduk antara satu dengan yang lain, kemudian ditiup lagi sangkakala, lalu Kami kumpulkan mereka itu semuanya.
Allah Ta’ala menyatakan ketika Yakjuj dan Makjuj keluar, Dia biarkan manusia menjadi kacau bilau dan bercampur baur antara satu dengan lain sehingga terjadi banyak pembunuhan dan kerosakan terhadap tumbuh-tumbuhan dan harta benda. Semua ini berlaku sebelum berlakunya Kiamat dan sebelum ditiup sangkakala, yang waktunya tidak ada manusia yang mengetahuinya.
Apabila waktu Kiamat sudah dekat maka ditiupkan sangkakala yang merupakan tiupan kali kedua. Ketika itu Allah Ta’ala akan mengumpulkan semua manusia dengan menghidupkan kesemuanya untuk dihisab. Firman-firman-Nya:
“Katakanlah, ‘(Ya), sesungguhnya orang-orang yang terdahulu dan yang kemudian, pasti semua akan dikumpulkan pada waktu tertentu, pada hari yang sudah dimaklumi.’”
Al-Waq’iah 56:49-50
“Kami kumpulkan mereka (seluruh manusia), dan tidak Kami tinggalkan seorang pun daripada mereka.”
Al-Kahfi 18:47
Hadis daripada ‘Athiyah daripada Ibnu ‘Abbas ra dan Abu Sa’id secara marfu’ disebutkan:
“Bagaimana aku merasakan kenikmatan, sedang (malaikat) peniup tanduk (sangkakala) sudah meletakkan tanduk itu di mulutnya. Ia telah menundukkan kepalanya, dan sentiasa menyemak, bila ia diperintahkan (untuk meniup).” Mereka bertanya, “Bagaimana yang kami ucapkan?” Baginda menjawab:
“Ucapkanlah, ‘Cukuplah Allah sebagai pelindung kami dan Dia sebaik-baik penolong, kami bertawakkal kepada Allah.’”
(HR. At-Tabari)