Kisah Nabi Musa as dan Nabi Khidir as
Surah 18: Al-Kahfi (60 – 82)
Tiga peristiwa yang berlaku semasa perjalanan Nabi Musa as dalam menuntut ilmu daripada Nabi Khidir as
Ayat 60
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبْرَحُ حَتَّىٰٓ أَبْلُغَ مَجْمَعَ ٱلْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِىَ حُقُبًا
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”.
Ini merupakan kisah ketiga yang disebutkan oleh Allah Swt dalam surah ini setelah kisah Ashabul Kahfi dan kisah pemilik dua kebun yang mempunyai harta yang banyak.
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, Ubay Ibnu Ka’ab ra mengatakan bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Musa as berdiri untuk menyampaikan khutbah kepada Bani Israil, lalu baginda ditanya, ‘Siapakah manusia yang paling alim?’ Dia (Musa) menjawab, ‘Aku.’ Maka Allah pun terus menegurnya, sebab baginda belum tahu tentang hal itu (iaitu tentang siapa yang paling alim). Lalu Allah memberikan wahyu kepadanya, ‘Aku memiliki seorang hamba yang berada di pertemuan dua laut, dia lebih berilmu daripada kamu.’ Musa berkata, ‘Wahai Rabbku, bagaimana aku dapat menemuinya?’ Allah berfirman, ‘Bawalah ikan, lalu letakkan di dalam bekas. Maka di mana pun ikan itu menghilang, maka dia (hamba-Ku) berada di sana.’”
(HR. Al-Bukhari)
Nabi Musa as menyatakan hal ini kepada pembantunya dan sekaligus muridnya yang bernama Yusya’ bin Nun bahawa baginda akan menempuh perjalanan ke tempat pertemuan dua laut itu walaupun hingga beberapa tahun. Tujuannya adalah untuk bertemu dengan hamba Allah seperti yang diwahyukan-Nya kepadanya.
Ayat 61
فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ سَرَبًا
Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.
Pertemuan dua buah lautan ialah tempat bertemunya dua lautan menjadi satu lautan. Tempat itu merupakan tempat yang dijanjikan Allah Ta’ala kepada Nabi Musa as untuk bertemu pemuda soleh (Khidir).
Ketika Nabi Musa as dan pembantunya tiba di tempat pertemuan dua laut tersebut, mereka duduk di atas batu dan mereka berdua terlupa terhadap ikan yang mereka bawa sebagai bekalan. Tiba-tiba ikan tersebut melompat keluar lalu menuju ke laut.
Ayat 62
فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَىٰهُ ءَاتِنَا غَدَآءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَـٰذَا نَصَبًا
Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: “Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini”.
Nabi Musa as dan pembantunya meneruskan perjalanan meninggalkan tempat yang mereka terlupa kepada ikan yang mereka bawa.
Ketika telah tersangat jauh mereka berjalan, mereka berhenti untuk beristirahat. Kemudian Nabi Musa as meminta pembantunya menyediakan bekalan yang mereka bawa untuk dimakan.
Ayat 63
قَالَ أَرَءَيْتَ إِذْ أَوَيْنَآ إِلَى ٱلصَّخْرَةِ فَإِنِّى نَسِيتُ ٱلْحُوتَ وَمَآ أَنسَىٰنِيهُ إِلَّا ٱلشَّيْطَـٰنُ أَنْ أَذْكُرَهُۥ ۚ وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ عَجَبًا
Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan”.
Pembantu Nabi Musa as pun memberitahu bahawa ketika mereka sedang berteduh di bawah batu besar yang ada di tempat pertemuan dua laut itu, ikan tersebut tiba-tiba bergerak dan kembali hidup, kemudian masuk ke dalam laut. Ikan itu melompat mencari jalan menuju ke laut dengan cara yang aneh.
Imam Bukhari meriwayatkan, “Nabi Musa as pun keluar disertai pembantunya, Yusya’ bin Nun, sambil membawa ikan. Ketika mereka menemui sebuah batu besar, kedua-duanya merebahkan diri atas batu tersebut lalu tertidur. Rasulullah saw bersabda:
‘Di bahagian bawah batu itu terdapat mata air yang bernama ‘mata air kehidupan.’ Tidak ada sesuatu pun yang terkena airnya, melainkan ia akan hidup. Ikan itu pun terkena air daripada mata air tersebut, sehingga bergerak-gerak dan meluncur dari bekas, masuk ke dalam laut. Apabila terbangun, Musa berkata kepada pembantunya, ‘Bawalah ke mari makanan kita.’”
(HR. Al-Bukhari)
Kemudian pembantu Nabi Musa as mengatakan kepada baginda bahawa syaitan telah membuatnya lupa untuk memberitahunya tentang ikan tersebut.
Ayat 64
قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ ۚ فَٱرْتَدَّا عَلَىٰٓ ءَاثَارِهِمَا قَصَصًا
Nabi Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki “; mereka pun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.
Setelah mendengar cerita pembantu itu, Nabi Musa as pun mengatakan bahawa itulah tempat yang mereka cari. Lalu Nabi Musa as dan pembantunya menelusuri kembali jalan yang telah mereka lalui sebelumnya sehingga sampai di tempat yang ada batu besar tersebut.
Ayat 65
فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَآ ءَاتَيْنَـٰهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا
Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.
Akhirnya Nabi Musa as dan pembantunya sampai di tempat yang ada batu besar itu dan di situlah mereka bertemu dengan hamba Allah yang soleh.
Al-Quran tidak menyebutkan nama sebenar hamba Allah yang soleh ini, tetapi ulama menyatakan lelaki itu adalah Nabi Khidir as bersandarkan kepada beberapa hadis daripada Rasulullah saw antaranya, daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Dia dinamakan Khidir tidak lain adalah kerana apabila dia duduk di atas ‘farwah’ (permukaan bumi) yang (tidak ada tanaman), maka tiba-tiba tanah di bawahnya menumbuhkan tanaman yang menghijau.”
(HR. Ahmad)
Ayat 66
قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰٓ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا
Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”
Allah Swt menyatakan permintaan Nabi Musa as agar Nabi Khidir as mengajarkan ilmu yang diberikan oleh Allah Swt khusus kepada Nabi Khidir as yang tidak diberikan-Nya kepada Nabi Musa as, sebagaimana Dia telah memberikan ilmu yang khusus kepada Nabi Musa as yang tidak diberikan-Nya kepada Nabi Khidir as.
Ini adalah pertanyaan yang penuh dengan kelembutan, bukan dalam bentuk kemestian dan pemaksaan. Ini menunjukkan Nabi Musa as tidak berasa rendah diri untuk mempelajari ilmu daripada orang lain dan juga tidak menyombongkan diri walaupun baginda adalah seorang Rasul.
Beginilah sewajarnya pertanyaan seorang pelajar kepada seseorang yang berilmu apabila meminta untuk diajarkan kepadanya.
Ayat 67
قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًا
Ia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.
Ayat 68
وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِۦ خُبْرًا
Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?
Nabi Khidir as menjawab bahawa Nabi Musa as pasti tidak akan sanggup untuk bersabar ketika mengikutinya kerana segala tindakan yang akan dilakukannya berbeza dengan syariat Nabi Musa as.
Seterusnya Nabi Khidir as menyatakan bahawa ini adalah kerana ilmu yang ada padanya adalah ilmu Allah Ta’ala yang telah diajarkan kepadanya dan tidak diajarkan kepada Nabi Musa as. Oleh itu, Nabi Musa as tidak akan mengetahui hikmah dan maslahat yang tersembunyi di sebalik segala tindakan Nabi Khidir as.
Ayat 69
قَالَ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ صَابِرًا وَلَآ أَعْصِى لَكَ أَمْرًا
Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”.
Nabi Musa as memberi jaminan bahawa baginda akan bersabar atas setiap tindakan Nabi Khidir as dan tidak akan menentangnya.
Ayat 70
قَالَ فَإِنِ ٱتَّبَعْتَنِى فَلَا تَسْـَٔلْنِى عَن شَىْءٍ حَتَّىٰٓ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا
Ia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.
Nabi Khidir as menyatakan syaratnya ialah Nabi Musa as agar tidak mengemukakan sebarang persoalan atas segala tindakannya sehingga Nabi Khidir as sendiri yang akan menjelaskan kepada baginda setiap peristiwa yang berlaku.
Ayat 71
فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا رَكِبَا فِى ٱلسَّفِينَةِ خَرَقَهَا ۖ قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْـًٔا إِمْرًا
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: “Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar”.
Setelah mendapat persepakatan, Nabi Musa as dan Nabi Khidir as memulai perjalanan mereka dengan menaiki kapal.
Daripada Sa’id bin Jubair, daripada Ibnu ‘Abbas ra, daripada Ubay Ibnu Ka’ab ra, mengatakan bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Kedua-duanya pun pergi dengan berjalan kaki di pantai, lalu melintaslah sebuah kapal. Mereka pun berbicara kepada anak-anak kapal agar bersedia membawa mereka. Anak-anak kapal tersebut mengenali Nabi Khidir as dan bersetuju membawa mereka berdua tanpa dikenakan sebarang bayaran. Ketika mereka berlayar, tiada kejadian yang mengejutkan sehingga Nabi Khidir as mencabut salah satu papan (kapal itu) dengan kapak. Nabi Musa as berkata, ‘Mereka telah membawa kita tanpa dikenakan sebarang bayaran, apakah kamu sengaja merosakkan kapal mereka hingga berlubang untuk menenggelamkan penumpangnya? Kamu benar-benar telah melakukan kesalahan yang besar.’”
(HR. Al-Bukhari)
Mujahid mengatakan bahawa Nabi Musa as berpendapat tindakan Nabi Khidir as melubangi kapal itu merupakan satu kemungkaran. Qatadah pula mengatakan Nabi Musa as berasa hairan terhadap tindakan Nabi Khidir as itu.
Ayat 72
قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًا
Ia menjawab: “Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”
Ayat 73
قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِى بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِى مِنْ أَمْرِى عُسْرًا
Nabi Musa berkata: “Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)”.
Nabi Khidir as mengingatkan Nabi Musa as tentang syarat yang telah dinyatakannya terdahulu. Lalu Nabi Musa as merayu agar Nabi Khidir as tidak berasa kesal dan bersikap keras terhadapnya.
Sambungan daripada hadis di atas dalam ayat 71 tadi, Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Protes Musa yang pertama ini dilakukannya kerana lupa.” Rasulullah saw melanjutkan:
“Lalu datang burung pipit dan hinggap di hujung kapal. Burung itu lantas mematuk ke dalam laut satu atau dua kali patukan. Khidir berkata kepadanya, ‘Tidaklah ilmuku dan ilmumu dibanding dengan ilmu Allah, melainkan seperti air yang diambil oleh paruh burung itu dari laut.’”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 74
فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا لَقِيَا غُلَـٰمًا فَقَتَلَهُۥ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةًۢ بِغَيْرِ نَفْسٍ لَّقَدْ جِئْتَ شَيْـًٔا نُّكْرًا
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”
Daripada Sa’id bin Jubair, daripada Ibnu ‘Abbas ra, daripada Ubay Ibnu Ka’ab ra, dia mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Kemudian kedua-duanya keluar dari kapal. Ketika kedua-duanya berjalan di pantai, tiba-tiba Khidir melihat seorang kanak-kanak yang sedang bermain bersama dengan kanak-kanak yang lain. Khidir terus menyentap kepalanya dan memulas lehernya dengan tangannya hingga mati.”
(HR. Al-Bukhari)
Apabila Nabi Musa as menyaksikan kejadian itu, baginda menegur Nabi Khidir as dengan lebih tegas daripada kejadian yang pertama dan terus menyanggahnya. Nabi Musa as mengatakan kanak-kanak yang dibunuh oleh Nabi Khidir as masih kecil dan tidak melakukan sebarang kesalahan serta tidak berdosa. Perkara ini tidak mempunyai asas yang dibenarkan untuk membunuhnya. Oleh itu, Nabi Musa as mengatakan bahawa perbuatan Nabi Khidir as itu benar-benar jelas kemungkarannya.
Ayat 75
قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًا
Ia menjawab: “Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”
Ayat 76
قَالَ إِن سَأَلْتُكَ عَن شَىْءٍۭ بَعْدَهَا فَلَا تُصَـٰحِبْنِى ۖ قَدْ بَلَغْتَ مِن لَّدُنِّى عُذْرًا
Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku”.
Dalam ayat yang lepas, Nabi Khidir as telah memperingatkan Nabi Musa as bukankah dia telah mengatakan bahawa Nabi Musa as tidak akan bersabar apabila melihat perbuatan-perbuatannya.
Dalam ayat ini sekali lagi Nabi Khidir as menegur dan mengingatkan baginda yang mempersoalkan perbuatannya membunuh seorang kanak-kanak tanpa sebab yang dibenarkan.
Tegurannya kali ini lebih tegas dan jelas, sedangkan membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa merupakan kejahatan yang lebih kejam jika dibandingkan sekadar melubangi kapal.
Mendengar peringatan kedua itu, Nabi Musa as tersedar dan berasa malu. Namun disebabkan keinginannya untuk mendapatkan ilmu daripada Nabi Khidir as sangat kuat maka baginda memohon agar diberi lagi kesempatan untuk mengikutinya.
Nabi Musa as berjanji sekiranya selepas ini baginda masih lagi bertanya dan menyanggah apa sahaja perbuatan Nabi Khidir as, Nabi Khidir as berhak untuk tidak menerima alasannya lagi.
Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, daripada Ubay bin Ka’ab ra, dia mengatakan, jika Rasulullah saw menyebutkan seseorang untuk mendoakannya, maka baginda memulai dengan mendoakan dirinya. Pada suatu hari baginda berdoa:
“(Semoga) rahmat Allah swt terlimpah kepada kita dan kepada Musa. Seandainya dia tetap bersama dengan sahabatnya (Khidir), nescaya dia melihat keajaiban. Tetapi dia berkata, ‘Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu setelah ini, maka jangan lagi engkau membenarkan aku menyertaimu, sesungguhnya engkau sudah cukup (bersabar) menerima alasan daripadaku.’”
(HR. At-Tabari dan Abu Dawud)
Ayat 77
فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَيَآ أَهْلَ قَرْيَةٍ ٱسْتَطْعَمَآ أَهْلَهَا فَأَبَوْا۟ أَن يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَن يَنقَضَّ فَأَقَامَهُۥ ۖ قَالَ لَوْ شِئْتَ لَتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا
Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”
Selepas kedua-dua kejadian di atas, Nabi Khidir as dan Nabi Musa as meneruskan perjalanan mereka hingga sampai ke suatu negeri. Kemudian mereka meminta makanan kepada penduduk negeri itu untuk menghilangkan rasa lapar mereka. Namun penduduk negeri itu menolak permintaan mereka dan enggan memberi mereka makan walaupun itu merupakan kewajipan mereka terhadap tetamu. Tindakan penduduk negeri itu tidak menepati etika dan menunjukkan sikap bakhil mereka.
Ketika berada di negeri tersebut, Nabi Khidir as dan Nabi Musa as mendapati sebuah dinding yang condong dan hampir roboh. Lalu Nabi Khidir as menegakkan dinding tersebut.
Apabila melihat kejadian itu, Nabi Musa as mengatakan Nabi Khidir as tidak perlulah membetulkan dinding tersebut. Ini kerana sikap penduduk negeri itu yang tidak mahu menerima kedatangan mereka sebagai tetamu. Namun baginda mencadangkan agar Nabi Khidir as mengambil upah melalui apa yang dilakukan oleh Nabi Khidir as.
Ayat 78
قَالَ هَـٰذَا فِرَاقُ بَيْنِى وَبَيْنِكَ ۚ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا
Ia menjawab: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.
Nabi Khidir as mengingatkan kepada Nabi Musa as tentang syarat yang telah ditentukan oleh Nabi Musa as sendiri sebelum ini iaitu sekiranya baginda bertanya lagi selepas ini, baginda tidak lagi dibolehkan menyertai Nabi Khidir as seterusnya. Hal ini merupakan perpisahan antara mereka berdua.
Ayat 79
أَمَّا ٱلسَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَـٰكِينَ يَعْمَلُونَ فِى ٱلْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَآءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا
Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.
Ini adalah penjelasan terhadap perkara yang sukar untuk difahami oleh Nabi Musa as dan bantahannya terhadap semua perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh Nabi Khidir as sedangkan Allah Swt telah menampakkan hikmah yang tersembunyi di sebaliknya kepada Nabi Khidir as.
Nabi Khidir as menjelaskan kepada Nabi Musa as bahawa dia melubangi perahu itu adalah bertujuan untuk merosakkannya. Ini kerana ketika itu mereka akan bertemu dengan seorang raja yang zalim. Raja itu akan merampas semua kapal-kapal yang masih dalam keadaan yang baik.
Nabi Khidir as melubangi kapal itu adalah untuk mencegah raja tersebut merampasnya daripada pemiliknya yang miskin. Mereka tidak memiliki sesuatu selain kapal tersebut untuk dimanfaatkan. Ada pendapat mengatakan mereka itu adalah anak-anak yatim.
Ayat 80
وَأَمَّا ٱلْغُلَـٰمُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَآ أَن يُرْهِقَهُمَا طُغْيَـٰنًا وَكُفْرًا
Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, daripada Ubay bin Ka’ab ra, dia berkata Rasulullah saw bersabda:
“Anak yang dibunuh oleh Khidir itu telah ditetapkan pada hari penetapannya sebagai seorang kafir.”
(HR. At-Tabari)
Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan tambahan, “Jika dia tetap hidup, nescaya dia akan mendorong kedua-dua orang tuanya kepada kekafiran dan kesesatan.”
Nabi Khidir as menyatakan bahawa Allah Ta’ala telah memperlihatkan kepadanya masa depan anak itu, sedangkan kedua-dua ibu bapanya adalah mukmin. Apabila anak itu meningkat dewasa, rasa cinta kedua-dua ibu bapa terhadapnya akan membuatkan mereka mengikuti kekafiran anak itu lalu menjerumuskan mereka kepada kezaliman, kemaksiatan dan kemungkaran.
Qatadah mengatakan maksud ayat ini ialah, “Kedua-dua orang tua anak tersebut sangat gembira ketika dia dilahirkan dan berasa sedih ketika dibunuh. Sekiranya anak tersebut masih hidup, nescaya hal itu menjadi penyebab kesengsaraan mereka. Oleh sebab itu, setiap orang hendaklah redha dengan segala ketetapan Allah Ta’ala kerana sesungguhnya bagi orang yang beriman, ketetapanNya pada sesuatu yang tidak disukainya adalah yang terbaik buatnya daripada ketetapanNya pada sesuatu yang dia sukai.” Firman Allah Ta’ala:
“……………Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
Al-Baqarah 2:216
Dalam hadis yang sahih disebutkan:
“Tidaklah Allah menetapkan sesuatu keputusan (takdir) bagi orang mukmin, melainkan keputusan itu lebih baik baginya.”
(HR. Ahmad – hadis yang senada dengannya diriwayatkan juga oleh Muslim)
Ayat 81
فَأَرَدْنَآ أَن يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِّنْهُ زَكَوٰةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا
Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.
Kemudian Nabi Khidir as melanjutkan lagi dengan mengatakan Allah Ta’ala akan menganugerahi ibu bapa tersebut dengan anak yang lebih baik sebagai pengganti anak yang dibunuh itu iaitu seorang anak yang taat beragama, soleh, berbakti dan lebih berkasih sayang serta berlemah lembut terhadap kedua-dua orang tuanya.
Menurut Ibnu Juraij, Allah Ta’ala akan menggantikannya dengan anak yang lebih suci dan kedua-dua ibu bapanya lebih menyayanginya.
Ayat 82
وَأَمَّا ٱلْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَـٰمَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِى ٱلْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُۥ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَـٰلِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبْلُغَآ أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ وَمَا فَعَلْتُهُۥ عَنْ أَمْرِى ۚ ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا
Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Khidir as memberitahu sebab tindakannya kepada peristiwa yang ketiga. Nabi Khidir as menyatakan bahawa dinding yang dibaikinya itu adalah milik dua orang anak yatim yang ada di daerah tersebut dan di bawah dindingnya terdapat harta simpanan milik mereka berdua. Manakala ayahnya adalah seorang yang soleh.
Allah Ta’ala menginginkan agar harta tersebut tetap tersimpan di dalam tanah untuk menjaga harta kedua-dua anak yatim tersebut sebagai balasan atas kesolehan bapa mereka. Sekiranya dinding itu roboh akan terlihatlah harta karun itu dan pasti akan diambil oleh orang lain.
Seterusnya Nabi Khidir as menyatakan bahawa ketiga-tiga tindakannya yang membuat Nabi Musa as hilang kesabaran dan tidak dapat menahan diri itu bukanlah hasil ijtihad dan pendapatnya, melainkan ia adalah sesuai dengan perintah Allah Ta’ala.
Dalam ayat ini terdapat dalil bahawa kesolehan seseorang menjadikan keturunannya sentiasa terpelihara. Keberkatan ibadah seseorang akan dirasakan oleh keturunannya di dunia dan di akhirat melalui syafaatnya. Darjat keturunannya juga turut diangkat ke tingkatan lebih tinggi di syurga agar orang tua berasa gembira dengan kehadiran mereka. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Sa’id bin Jubair menceritakan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa kedua-dua anak yatim itu dipelihara oleh Allah Swt kerana kesolehan kedua-dua orang tuanya walaupun kedua-dua mereka tidak disebut sebagai anak yang soleh.