Surah 18: Al-Kahfi (9 – 26)

Kisah Ashabul Kahfi

Surah 18: Al-Kahfi (9 – 26)


Gua Ashabul Kahfi yang terletak di Abu Alanda, kira-kira 7 km dari pusat bandar Amman, Jordan, merupakan lokasi sejarah yang lebih menepati ciri-ciri yang dikisahkan di dalam Al-Quran.

Ayat 9

أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَـٰبَ ٱلْكَهْفِ وَٱلرَّقِيمِ كَانُوا۟ مِنْ ءَايَـٰتِنَا عَجَبًا

Apakah kamu mengira bahawa orang yang mendiami gua dan (yang mempunyai) Raqim itu, termasuk tanda-tanda (kebesaran) Kami yang menakjubkan?

Ayat ini menceritakan kisah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi. Allah Swt memberitahu bahawa kisah mereka itu bukanlah sesuatu yang menakjubkan jika dibandingkan dengan besarnya kekuasaan-Nya yang lain seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat-Nya yang agung dalam Al-Quran, iaitu tentang penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, penundukan matahari, bulan dan bintang-bintang yang menunjukkan kebesaranNya. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu yang dikehendaki-Nya dan tidak ada sesuatu pun yang dapat melemahkan-Nya. 

Al-Kahfi ialah gua di gunung yang dijadikan sebagai tempat berlindung oleh para pemuda tersebut. Sedangkan Raqim, menurut Al-‘Aufi daripada Ibnu ‘Abbas ra, adalah sebuah lembah berdekatan Kota Ailah. 

Ayat 10

إِذْ أَوَى ٱلْفِتْيَةُ إِلَى ٱلْكَهْفِ فَقَالُوا۟ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

(Ingatlah) ketika pemuda-pemuda itu berlindung di dalam gua lalu mereka berdoa, “Wahai Rabb kami. Berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami.”

Allah Swt menyatakan bahawa para pemuda itu melarikan diri ke dalam gua di pergunungan untuk menyelamatkan akidah mereka. Mereka mengakui ketauhidan atau keesaan-Nya dan bersaksi tiada Ilah selain Dia, Rabb semesta alam. 

Ketika memasuki gua, para pemuda ini memohon kepada Allah Swt supaya diberi rahmat dan disempurnakan petunjuk yang lurus kepada mereka. 

Ayat 11

فَضَرَبْنَا عَلَىٰٓ ءَاذَانِهِمْ فِى ٱلْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا

Maka Kami tutup telinga mereka di dalam gua itu selama beberapa tahun.

Ayat 12

ثُمَّ بَعَثْنَـٰهُمْ لِنَعْلَمَ أَىُّ ٱلْحِزْبَيْنِ أَحْصَىٰ لِمَا لَبِثُوٓا۟ أَمَدًا

Kemudian kami bangunkan mereka, agar Kami mengetahui, manakah antara kedua golongan itu yang lebih tepat dalam menghitung berapa lamanya mereka tinggal (di dalam gua itu).

Allah Swt membuatkan mereka tidur bertahun-tahun lamanya ketika berada di dalam gua dan kemudian Allah Swt bangunkan mereka daripada tidur mereka itu. 

Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa ada dua golongan yang berbeza pendapat tentang berapa lama mereka tinggal di dalam gua, berapa jumlah para pemuda tersebut dan berapa lama mereka ditidurkan. 

Ayat 13

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًى

Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Rabb mereka dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.

Allah Swt memberitahu bahawa kisah Ashabul Kahfi yang mencari tempat perlindungan itu adalah suatu kisah yang benar-benar terjadi. Dia juga menyatakan bahawa mereka ini terdiri daripada orang-orang muda yang mahu menerima kebenaran dan lebih lurus jalan mereka daripada golongan tua yang tenggelam dalam agama yang batil. 

Hal ini sama keadaannya dengan orang-orang Quraisy kerana pada masa Rasulullah saw menyampaikan risalah-Nya, ramai daripada golongan muda yang menerima kebenaran dan golongan tua menolak. Allah Swt menambahkan lagi petunjuk kepada Ashabul Kahfi bagi menguatkan keimanan mereka. 

Imam Al-Bukhari dan beberapa orang lagi menyatakan ayat, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. adalah dalil bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurang serta mempunyai tingkatannya. Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain: 

“Dan orang-orang yang mendapat petunjuk, Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahi ketakwaan mereka.” 

Muhammad 47:17 

“………………Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya, sedang mereka berasa gembira.” 

At-Taubah 9:124 

Ayat 14

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَا۟ مِن دُونِهِۦٓ إِلَـٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَآ إِذًا شَطَطًا

Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, “Rabb kami adalah Rabb langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru ilah selain Dia. Sesungguhnya kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh daripada kebenaran.”

Pada masa itu, para pemuda Ashabul Kahfi ini berhadapan dengan raja yang zalim yang mendorong rakyatnya menyembah berhala dan patung-patung dan mengajak rakyatnya menyekutukan Allah Swt.  Para pemuda itu mengingkari dengan ucapan bahawa Rabb mereka adalah Rabb langit dan bumi dan mereka tidak akan sekali-kali menyembah selain-Nya. 

Sesungguhnya Allah Swt telah meneguhkan hati mereka ketika berdiri di hadapan pemimpin dan raja yang kafir dengan mengatakan mereka tidak akan sekali-kali menyembah selain Allah Swt. Sekiranya mereka beribadah kepada selain-Nya, sesungguhnya mereka telah berdusta terhadap kebenaran dan menzalimi diri mereka sendiri. 

Ayat 15

هَـٰٓؤُلَآءِ قَوْمُنَا ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةً ۖ لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَـٰنٍۭ بَيِّنٍ ۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا

Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai ilah-ilah (untuk disembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang jelas (tentang kepercayaan mereka)? Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?

Pemuda-pemuda itu juga mempersoalkan tentang dakwaan kaum musyrik yang menjadikan tuhan selain Allah Swt untuk disembah tanpa memberikan alasan dan bukti untuk menguatkan hujah mereka. Allah Swt menyatakan bahawa tiada perbuatan yang lebih zalim daripada membuat pembohongan terhadap diri-Nya iaitu menjadikan tuhan-tuhan selain-Nya sebagai sekutu. 

Ayat 16

وَإِذِ ٱعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأْوُۥٓا۟ إِلَى ٱلْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِۦ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا

Dan apabila kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu, nescaya Rabbmu akan melimpahkan sebahagian rahmat-Nya kepadamu dan menyediakan sesuatu yang berguna bagimu dalam urusanmu.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia mengilhamkan para pemuda Ashabul Kahfi agar melarikan diri dan meninggalkan kaum mereka yang berada dalam kekufuran dan kesyirikan mereka, seterusnya berlindung di dalam gua. Dia melimpahkan rahmat-Nya dengan memudahkan urusan mereka dan memberikan keamanan kepada mereka. Oleh itu, diri dan agama mereka terselamat daripada fitnah atau pembunuhan ketika berlindung di dalam gua. 

Sesungguhnya Allah Ta’ala akan melindungi hamba-hamba-Nya yang bergantung dan mencari perlindungan daripada-Nya. Hal ini juga berlaku kepada Rasulullah saw sebagaimana yang dinyatakan dalam Tafsir Ibnu Kathir, iaitu ketika baginda bersama-sama sahabatnya, Abu Bakar As-Siddiq berlindung di dalam Gua Thur. Lalu beberapa orang musyrik daripada kaum Quraisy datang untuk mencari baginda, namun mereka tidak menemukan baginda dan juga Abu Bakar, padahal mereka telah melalui tempat persembunyian itu. Di gua itu Nabi saw bersabda ketika baginda melihat kesedihan Abu Bakar melalui ucapannya, “Wahai Rasulullah, seandainya salah seorang daripada mereka melihat ke bawah kakinya, nescaya dia akan melihat kita.” Maka baginda pun bersabda, “Wahai Abu Bakar, bagaimana menurutmu jika ada dua orang dan yang ketiganya adalah Allah?” 

Allah Swt telah menegaskan dalam firman-Nya: 

“Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika orang-orang kafir (kaum musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika kedua-duanya berada dalam gua, pada waktu dia berkata kepada sahabatnya, ‘Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.’ Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah, dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” 

At-Taubah 9:40 

Kisah Nabi Muhammad saw dan sahabatnya di Gua Thur ini lebih mulia, lebih besar, lebih agung dan lebih menakjubkan daripada kisah Ashabul Kahfi. 

Ayat 17

وَتَرَى ٱلشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَٰوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ ٱلْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ ٱلشِّمَالِ وَهُمْ فِى فَجْوَةٍ مِّنْهُ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ ۗ مَن يَهْدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ وَلِيًّا مُّرْشِدًا

Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari terbenam, menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas di dalam (gua) itu. Itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk, dan sesiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapat seorang penolong yang dapat memberi petunjuk kepadanya.

Sesungguhnya keberadaan para pemuda Ashabul Kahfi di dalam gua selama beberapa ratus tahun dan dipelihara daripada sinaran matahari saat terbit dan terbenam, tidak lain adalah salah satu tanda kebesaran Allah Swt yang menakjubkan, juga membuktikan kesempurnaan kekuasaan dan keluasan ilmu-Nya. 

Hal ini juga menunjukkan Allah Ta’ala sentiasa menjaga hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan bahawasanya tauhid adalah agama yang benar sedangkan penyembahan kepada selain-Nya adalah merupakan kesesatan. 

Allah Swt telah mengilhamkan mereka bersembunyi di dalam gua tersebut supaya mereka terus hidup. Gua yang luas dan peredaran udara yang baik serta cahaya matahari yang tidak menerpa mereka dalam gua tersebut menyebabkan tubuh mereka tetap terpelihara. 

Ibnu ‘Abbas ra berkata, mereka tidur di tempat yang cukup luas dalam gua itu dan terhindar daripada kepanasan matahari. Ini kerana seandainya cahaya matahari mengenai tubuh mereka, tentulah panas yang terik akan membakar tubuh dan pakaian mereka. 

Sesungguhnya orang yang diberi petunjuk oleh Allah Swt, dialah yang mendapat petunjuk dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah Swt, maka tiada seorang pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya. 

Dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa pintu gua itu menghadap ke arah utara kerana ketika cahaya matahari pagi masuk ke dalamnya, bayang condong ke arah kanan. 

Ayat 18

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ ۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ ٱلْيَمِينِ وَذَاتَ ٱلشِّمَالِ ۖ وَكَلْبُهُم بَـٰسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِٱلْوَصِيدِ ۚ لَوِ ٱطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا

Dan kamu mengira mereka itu tidak tidur, padahal mereka tidur dan Kami bolak-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka melunjurkan kedua-dua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling melarikan (diri) daripada mereka dan pasti kamu akan dipenuhi rasa takut terhadap mereka.

Allah Ta’ala menyatakan sesiapa yang melihat para pemuda Ashabul Kahfi ketika itu, mereka akan menyangka mereka dalam keadaan terjaga disebabkan mata mereka terbuka sedangkan mereka sebenarnya sedang tidur nyenyak. Keadaan ini terjadi agar tidak berlaku perkara yang membahayakan diri mereka seakan-akan para pemuda tersebut melihat orang yang sedang menyaksikan keadaan mereka. 

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan selama mereka tidur, badan mereka sentiasa berbalik ke kiri dan ke kanan dari masa ke masa. Allah Swt melakukan demikian agar tubuh mereka sentiasa mendapat udara. Ibnu ‘Abbas ra pernah berkata, “Sekiranya tubuh mereka tidak dibolak-balikkan, pastilah tanah tempat mereka berbaring akan memakan jasad mereka.” 

Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid ra, Qatadah ra dan Ibnu Juraij ra menyatakan bahawa anjing itu duduk menjaga mereka di hadapan pintu gua. 

Allah Ta’ala mengadakan perkara-perkara yang menakutkan untuk melindungi mereka ketika tidur. Ini bertujuan tidak ada seorang pun yang mendekati dan menyentuh mereka sehingga tiba waktu yang dikehendaki-Nya itu berakhir. Hal ini terdapat hikmah, hujah yang kuat dan rahmat yang sangat luas. 

Ayat 19

وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَـٰهُمْ لِيَتَسَآءَلُوا۟ بَيْنَهُمْ ۚ قَالَ قَآئِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۚ قَالُوا۟ رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَٱبْعَثُوٓا۟ أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَـٰذِهِۦٓ إِلَى ٱلْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَآ أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا

Dan demikianlah Kami bangunkan mereka (daripada tidur) agar mereka saling bertanya sesama mereka. Salah seorang di antara mereka bertanya, “Sudah berapa lama kamu berada (di sini)?” Mereka menjawab, “Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari.” Berkata (yang lain lagi), “Rabbmu lebih mengetahui berapa lama kamu berada (di sini). Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik, maka hendaklah dia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah dia berlemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada sesiapa pun.

Mereka saling bertanya berapa lama mereka tertidur. Ada di antara mereka yang berkata bahawa lamanya sehari atau setengah hari. Kemudian seorang lagi menjawab bahawa Allah Swt yang lebih mengetahui apa yang telah berlaku. 

Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa mereka dibangunkan dalam keadaan yang tidak berubah sebagaimana sebelum mereka ditidurkan walaupun selepas tiga ratus sembilan tahun berlalu. Firman Allah Swt: 

“Dan mereka tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi).” 

Al-Kahfi 18:25 

Kemudian salah seorang daripada mereka diminta agar pergi ke bandar untuk membeli makanan yang halal. Pemuda tersebut dinasihatkan supaya bersikap lemah lembut semasa dalam perjalanan pergi dan balik serta semasa hendak membeli supaya tiada sesiapa pun yang mengesyaki mereka. Pemuda itu juga dilarang daripada menyampaikan atau memberitahu lokasi mereka berada kepada penduduk bandar. 

Ayat 20

إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا۟ عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِى مِلَّتِهِمْ وَلَن تُفْلِحُوٓا۟ إِذًا أَبَدًا

Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian, nescaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.”

Para pemuda Ashabul Kahfi bimbang sekiranya tempat persembunyian mereka diketahui oleh para pemimpin dan kaum mereka, tentu mereka akan diseksa berterusan sehingga kembali syirik kepada Allah Ta’ala. Jika mereka kembali syirik, mereka tidak akan mendapat apa-apa keuntungan baik di dunia atau pun di akhirat. 

Ayat 21

وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ ٱلسَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَآ إِذْ يَتَنَـٰزَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ ۖ فَقَالُوا۟ ٱبْنُوا۟ عَلَيْهِم بُنْيَـٰنًا ۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ ۚ قَالَ ٱلَّذِينَ غَلَبُوا۟ عَلَىٰٓ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا

Dan demikian (pula) Kami mempertemukan mereka (para pemuda itu kepada manusia), agar manusia mengetahui, bahawa janji Allah itu benar, dan bahawa (kedatangan) Hari Kiamat tidak ada keraguan padanya. Ketika orang-orang itu berselisih tentang urusan mereka maka orang-orang itu berkata, “Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Rabb mereka lebih mengetahui tentang mereka.” Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata, “Kami pasti akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya.”

Allah Swt memberitahu bahawa Dia telah membangunkan para pemuda Ashabul Kahfi daripada tidur yang lama dalam keadaan seperti sebelum tidur. Hal ini sama seperti peristiwa orang yang meninggal dunia kemudian dibangkitkan kembali. 

Kemudian Allah Swt memberitahu bahawa Dia mempertemukan mereka kepada manusia lain bertujuan agar mereka mengetahui bahawa janji Allah Swt untuk membangkitkan kembali manusia setelah mati adalah benar dan Kiamat pasti akan terjadi. 

Dalam Tafsir Ibnu Kathir dinyatakan, terdapat lebih daripada seorang ulama terdahulu menyebutkan bahawa manusia pada masa itu meragukan adanya kebangkitan dan Hari Kiamat. 

Dalam Tafsir Ibnu Kathir juga dinyatakan, ‘Ikrimah berkata, sekumpulan orang di antara penduduk kota itu mengatakan, “Roh-roh akan dibangkitkan, tetapi jasad-jasad tidak akan dibangkitkan.” Oleh itu, Allah Swt membangkitkan penghuni gua itu sebagai hujah, dalil dan tanda kekuasaan Allah Swt tentang hal itu. 

Setelah para pemuda Ashabul Kahfi dimatikan oleh Allah Ta’ala, penduduk negeri itu menyarankan supaya pintu gua tersebut ditutup dan para pemuda itu dibiarkan begitu sahaja kerana Rabb mereka lebih mengetahui tentang mereka. Orang-orang yang memiliki pengaruh ketika itu seterusnya mengatakan bahawa mereka akan mendirikan sebuah rumah ibadah di atasnya. 

Ayat 22

سَيَقُولُونَ ثَلَـٰثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًۢا بِٱلْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّىٓ أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ ۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَآءً ظَـٰهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًا

Nanti (ada orang yang akan) mengatakan, “(Jumlah mereka) tiga (orang), yang keempat adalah anjingnya,” dan (yang lain) mengatakan, “(Jumlah mereka) lima (orang), yang keenam adalah anjingnya,” sebagai tekaan terhadap yang ghaib dan (yang lain lagi) mengatakan, “(Jumlah mereka) tujuh (orang), yang kelapan adalah anjingnya.” Katakanlah (Muhammad), “Rabbku lebih mengetahui jumlah mereka, tidak ada yang mengetahui (bilangan) mereka kecuali sedikit.” Oleh itu janganlah engkau (Muhammad) berbantah tentang hal itu, kecuali perbantahan zahir sahaja, dan janganlah engkau menanyakan tentang mereka (pemuda-pemuda itu) kepada sesiapa pun di antara mereka.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa ada antara mereka yang meneka-neka tentang masalah ghaib tanpa berdasarkan ilmu. Dia mengatakan bahawa hanya sedikit sahaja manusia yang mengetahui jumlah sebenar bilangan pemuda tersebut dan hendaklah mengembalikan pengetahuan kepada-Nya sebab dalam perkara seperti ini tidak perlu pada banyak pembicaraan tanpa ilmu. 

Dalam Tafsir Ibnu Katsir dinyatakan bahawa Qatadah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, “Aku termasuk yang sedikit yang dikecualikan oleh Allah Swt dan yang benar, mereka berjumlah tujuh orang.” Begitu juga yang diriwayatkan oleh Ibnu Juraij daripada ‘Atha’ Al-Khurasani serta Ibnu Jarir iaitu kesemua periwayatannya sahih sehingga Ibnu ‘Abbas ra mengatakan jumlah pemuda tersebut adalah tujuh orang. 

Allah Ta’ala menasihati Rasulullah saw agar tidak berdebat dengan ahli kitab dalam urusan Ashabul Kahfi melainkan debat yang jelas dengan menceritakan apa yang telah Dia ceritakan kepadanya tanpa mendustai dan juga tidak menyetujui mereka. Ini kerana ahli kitab tidak mengetahui jumlah bilangan sebenar pemuda Ashabul Kahfi dan mereka mengatakan berdasarkan tekaan tanpa ilmu. Ini menunjukkan adanya larangan untuk kembali kepada penjelasan ahli kitab dalam hal ilmu walaupun sedikit. 

Hal yang terpenting dalam permasalahan ini bukanlah tentang jumlah mereka tetapi hikmah daripada kisah itu dan bagaimana memanfaatkan pelajaran yang disampaikan iaitu kekuasaan Allah Ta’ala membangkitkan dan menghidupkan manusia setelah kematian. 

Ayat 23

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَا۟ىْءٍ إِنِّى فَاعِلٌ ذَٰلِكَ غَدًا

Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu,  “Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi,”

Ayat 24

إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ وَٱذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَىٰٓ أَن يَهْدِيَنِ رَبِّى لِأَقْرَبَ مِنْ هَـٰذَا رَشَدًا

Kecuali (dengan menyebut), “Insya Allah.” Dan ingatlah kepada Rabbmu jika kamu lupa dan katakanlah, “Mudah-mudahan Rabbku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini.”

Ini merupakan bimbingan daripada Allah Swt kepada Rasulullah saw tentang adab ketika hendak melakukan sesuatu pekerjaan pada masa akan datang. Baginda hendaklah mengembalikan hal itu kepada kehendak Allah yang Maha Perkasa, Maha Mulia lagi Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. 

Mengikut pendapat Muhammad Ibnu Ishaq, daripada ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas ra, sebab turun ayat ini, ialah dalam sabda Nabi Muhammad saw ketika baginda ditanya tentang tiga perkara, antaranya ialah kisah Ashabul Kahfi, baginda menjawab, “Akan aku berikan jawapan kepada kamu esok hari.” Lalu wahyu terlambat turun sehingga hari ke lima belas. 

Berkaitan dengan firman Allah Ta’ala, “Dan ingatlah kepada Rabbmu jika kamu lupa,” ada yang mengatakan maksudnya ialah, jika kamu lupa mengucapkan insya Allah, maka ucapkanlah kalimah itu pada saat kamu mengingatinya. Pendapat ini dikemukakan oleh Abul ‘Aliyah dan Al-Hasan Al-Basri. 

Firman Allah Swt, dan katakanlah, “Mudah-mudahan Rabbku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini.”” adalah arahan kepada Rasulullah saw iaitu jika baginda ditanya tentang sesuatu yang tidak ketahui, hendaklah baginda memohon kepada Allah Ta’ala agar Dia memberi taufik untuk memperoleh kebenaran dan juga petunjuk berkenaan hal tersebut. 

Ayat 25

وَلَبِثُوا۟ فِى كَهْفِهِمْ ثَلَـٰثَ مِا۟ئَةٍ سِنِينَ وَٱزْدَادُوا۟ تِسْعًا

Dan mereka tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi).

Allah Ta’ala memberitahu Rasulullah saw tentang berapa lama Ashabul Kahfi ditidurkan dan kemudian dibangunkan kembali dan Dia mempertemukan mereka dengan orang-orang yang hidup pada zaman itu. 

Allah Ta’ala menyatakan bahawa tempoh mereka hidup di dalam gua adalah tiga ratus tahun menurut hitungan matahari yang ditambah lagi dengan sembilan tahun menurut hitungan bulan. Perbezaan antara tahun bulan dengan tahun matahari dalam seratus tahun adalah tiga tahun. Oleh sebab itu, Allah Swt menyatakan, “tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi).” 

Ayat 26

قُلِ ٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا۟ ۖ لَهُۥ غَيْبُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ أَبْصِرْ بِهِۦ وَأَسْمِعْ ۚ مَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّ وَلَا يُشْرِكُ فِى حُكْمِهِۦٓ أَحَدًا

Katakanlah, “Allah lebih mengetahui berapa lamanya mereka tinggal (di gua), kepunyaan-Nya-lah semua yang tersembunyi di langit dan di bumi. Alangkah terang penglihatan-Nya dan alangkah tajam pendengaran-Nya, tidak ada seorang pelindung pun bagi mereka selain Dia dan Dia tidak mengambil seorang pun menjadi sekutu-Nya dalam menetapkan keputusan.”

Allah Swt mengingatkan Rasulullah saw, sekiranya ada yang bertanya tentang berapa lama mereka tinggal di dalam gua itu, baginda hendaklah mengatakan hanya Dia yang mengetahui hal tersebut. 

FirmanNya, “bagi-Nya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi,” bermaksud tidak ada yang mengetahui hal itu kecuali Dia dan orang yang diberitahu oleh-Nya. 

FirmanNya, “terang sungguh penglihatanNya dan pendengaranNya (terhadap segala-galanya)” bermaksud sesungguhnya Allah Swt benar-benar Maha Melihat dan Maha Mendengar segala perbuatan dan perkataan manusia, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada-Nya. 

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan hanya Dia sahaja yang mempunyai hak mencipta dan memerintah, tidak ada yang boleh mengingkari ketetapan-Nya. Dia tidak mempunyai pembantu, sekutu dan penasihat bagi-Nya. Dia Maha Tinggi dan Maha Suci daripada segala kekurangan.