Surah 7: Al-A’raf (205 – 206)

Perintah untuk Mengingati Allah (Berzikir) Pagi dan Petang

Surah 7: Al-A’raf (205 – 206)


Ayat 205

وَٱذْكُر رَّبَّكَ فِى نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ ٱلْجَهْرِ مِنَ ٱلْقَوْلِ بِٱلْغُدُوِّ وَٱلْـَٔاصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلْغَـٰفِلِينَ

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.

Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan hamba-hambaNya agar banyak mengingatiNya pada waktu pagi dan petang, sebagaimana Dia memerintahkan untuk beribadah kepadaNya pada kedua-dua waktu tersebut dalam firmanNya: 

“…………..Dan bertasbihlah sambil memuji Rabbmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada malam hari dan setiap selesai solat.” 

Qaf 50:39-40 

Zikir atau mengingati Allah swt adalah dengan hati dan diucapkan dengan lisan, atau dengan kedua-duanya sekali, dan inilah yang terbaik. Ayat ini menjelaskan bahawa berzikir adalah diperintahkan dalam keadaan tidak dinyaringkan suara dan dengan ucapan yang tidak dikuatkan. 

Dianjurkan berzikir dengan ikhlas secara sirr (perlahan) pada setiap waktu terutama pagi dan petang agar tidak termasuk dalam golongan yang lalai. Kedua-dua waktu ini memiliki keistimewaan dan kelebihan untuk zikrullah. 

Maksud “dengan merendah diri serta dengan perasaan takut” adalah mengingati Allah Ta’ala dengan harap dan cemas serta dengan ucapan yang tidak dinyaringkan. Manakala ayat, “dan dengan tidak pula menyaringkan suara,” itulah zikir yang disunnahkan, bukan dengan suara yang keras. Allah Ta’ala berfirman: 

“…………..Dan janganlah engkau mengeraskan suaramu dalam solatmu dan jangan pula merendahkannya, serta carilah jalan tengah di antara kedua-duanya.” 

Al-Isra’ 17:110 

Diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari, dia berkata, beberapa orang mengeraskan suara mereka ketika berdoa dalam salah satu perjalanan. Maka Rasulullah saw bersabda: 

“Wahai sekalian manusia, kasihanilah diri kamu, sebab kamu tidak menyeru kepada yang tuli dan yang jauh. Sesungguhnya Zat yang kamu seru itu adalah Maha Mendengar lagi sangat dekat. Allah lebih dekat kepada kamu melebihi dekatnya salah seorang di antara kamu kepada leher binatang kenderaannya.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Lalai daripada mengingati Allah Ta’ala bermaksud melupakan Allah, sehingga Allah swt melupakan mereka dengan membiarkan mereka ketika mereka memerlukan pertolonganNya. Mereka sesungguhnya telah berpaling daripada kebahagiaan dan keberuntungan dan beralih kepada kebinasaan dan kerugian. 

Ayat 206

إِنَّ ٱلَّذِينَ عِندَ رَبِّكَ لَا يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِهِۦ وَيُسَبِّحُونَهُۥ وَلَهُۥ يَسْجُدُونَ

Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa malaikat yang kedudukannya mulia di sisiNya tiadalah berasa berat dan enggan menyembahNya. Oleh itu, hendaklah manusia mencontohi ketaatan malaikat itu kepadaNya. Para malaikat itu selalu mensucikan Allah swt daripada sifat-sifat yang tidak layak bagiNya, dan daripada menyembah berhala-berhala. 

Ayat ini termasuk ayat sajadah yang pertama dalam Al-Quran. Disunatkan bagi orang Islam melakukan sujud setelah membaca atau mendengar ayat ini dibacakan dengan niat mencontohi ketaatan para malaikat kepada Allah Ta’ala.