Surah 7: Al-A’raf (203 – 204)

Al-Quran adalah Mukjizat, Petunjuk dan Rahmat bagi Orang Beriman

Surah 7: Al-A’raf (203 – 204)


Ayat 203

وَإِذَا لَمْ تَأْتِهِم بِـَٔايَةٍ قَالُوا۟ لَوْلَا ٱجْتَبَيْتَهَا ۚ قُلْ إِنَّمَآ أَتَّبِعُ مَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ مِن رَّبِّى ۚ هَـٰذَا بَصَآئِرُ مِن رَّبِّكُمْ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Dan apabila engkau (wahai Muhammad) tidak membawa kepada mereka sesuatu ayat Al-Quran (sebagaimana yang mereka kehendaki), berkatalah mereka (secara mengejek): “Mengapa engkau tidak bersusah payah membuat sendiri akan ayat itu?” Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan – yang membuka hati – dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman”.

Allah Ta’ala menerangkan cara khusus tingkah laku teman-teman syaitan dalam usaha mereka menentang Nabi Muhammad saw. Ketika Baginda tidak membawakan kepada mereka ayat Al-Quran disebabkan lambat turunnya ayat selang beberapa waktu, maka orang-orang musyrikin itu mendesak Baginda agar menciptakan sendiri ayat-ayat tersebut. Desakan mereka itu sebenarnya sebagai tanda pengingkaran mereka terhadap Al-Quran yang diturunkan oleh Allah Ta’ala kepada Baginda. 

Maka Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menjelaskan kepada mereka bahawa Al-Quran itu adalah mukjizat, wahyuNya kepada Baginda. Baginda hanyalah mengikuti apa yang diwahyukan kepadanya. Baginda tidak mempunyai hak untuk mendesak-Nya agar menciptakan sesuatu perkara. Baginda hanya dapat menunggu segala wahyu yang disampaikan kepadanya dan akan disampaikan pula kepada umatnya. 

Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar, mengandungi dalil-dalil yang paling kuat dan paling jelas. Ia menampakkan kebenaran dalam penjelasan tentang tauhid, kenabian, hari perhitungan, peraturan kehidupan manusia dengan hukum-hukum terbaik, petunjuk jalan yang lurus, rahmat di dunia dan akhirat bagi orang-orang yang mengimaninya. 

Sesiapa yang memikirkan dan merenunginya, maka dia akan mengetahui bahawa Al-Quran adalah daripada Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji, yang tidak dimasuki kebatilan dari hadapan ataupun dari belakang dan sebagai penegak hujah bagi orang yang telah sampai kebenaran kepadanya. 

Ayat 204

وَإِذَا قُرِئَ ٱلْقُرْءَانُ فَٱسْتَمِعُوا۟ لَهُۥ وَأَنصِتُوا۟ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang yang beriman agar memberikan perhatian yang bersungguh-sungguh kepada Al-Quran. Mereka hendaklah mendengarkannya dengan sebaik-baiknya apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka, baik tentang bacaan atau pun isinya untuk difahami, diambil pelajaran-pelajaran daripadanya dan diamalkan. 

Ayat ini juga bermaksud ketika Al-Quran dibacakan, kita wajib mendengar dan memperhatikan sambil berdiam diri, sama ada dalam solat ataupun di luar solat, kecuali dalam solat berjemaah, makmum boleh membaca Al-Fatihah sendiri, namun ada sebahagian ulama lain berpendapat bahawa cukup mendengarkan bacaan imam sahaja. 

Ada juga ulama yang berpendapat, bahawa ayat ini turun berkenaan dengan tidak boleh berbicara sewaktu khatib berkhutbah. Dikaitkan dengan kata-kata Al-Quran adalah kerana isi kandungan khutbah adalah ayat-ayat Al-Quran. Ada juga yang berpendapat bahawa perintah untuk mendengarkan dan diam ketika dibacakan Al-Quran adalah perintah secara mutlak.