Dorongan untuk Memaafkan, Menyuruh Mengerjakan yang Maaruf dan Berpaling daripada Orang Bodoh
Surah 7: Al-A’raf (199)
Ayat 199
خُذِ ٱلْعَفْوَ وَأْمُرْ بِٱلْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ ٱلْجَـٰهِلِينَ
Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).
Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw agar berpegang teguh kepada prinsip umum tentang moral dan hukum. Ayat ini merangkumi akhlak mulia yang patut dilakukan terhadap orang lain dan bagaimana bergaul dengan mereka. Akhlak tersebut adalah:
Pertama
‘Afwu, iaitu mempunyai sikap bertolak ansur atau memaafkan kesalahan orang lain dan tidak membesar-besarkannya, berterima kasih terhadap perkataan dan perbuatan baik orang lain, memaafkan kekurangan mereka dan tidak memandang rendah terhadap kekurangannya. Juga tidak bersikap sombong terhadap anak kecil kerana usianya, terhadap orang yang kurang akal kerana kelemahannya, terhadap orang miskin kerana kefakirannya, bahkan dia bergaul dengan lemah lembut serta menunjukkan akhlak yang baik yang menyenangkan hati mereka.
Kedua
Menyuruh orang lain mengerjakan yang makruf sama ada dengan menyampaikan ilmu atau mendorong mengerjakan kebaikan, seperti mendirikan solat, bersilaturahim, berbakti kepada orang tua, mendamaikan manusia, atau memberi nasihat yang bermanfaat, tolong-menolong kepada perkara kebaikan dan ketakwaan, melarang perbuatan buruk, serta menumpukan usaha ke arah perkara yang dapat menghasilkan faedah kepada agama ataupun dunia.
Ketiga
Menghadapi orang yang jahil dengan berpaling daripadanya dan tidak menghadapi kebodohannya, tidak membalas orang yang menyakiti dengan perkataan atau perbuatannya. Siapa sahaja yang tidak memberi, maka berilah kepadanya, siapa sahaja yang memutuskan hubungan denganmu, maka sambunglah, dan siapa sahaja yang menzalimi, maka berbuat adillah kepadanya.