Celaan Allah Swt terhadap Penyembah Berhala
Surah 7: Al-A’raf (191 – 198)
Ayat 191
أَيُشْرِكُونَ مَا لَا يَخْلُقُ شَيْـًٔا وَهُمْ يُخْلَقُونَ
Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatupun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan?
Ayat 192
وَلَا يَسْتَطِيعُونَ لَهُمْ نَصْرًا وَلَآ أَنفُسَهُمْ يَنصُرُونَ
Dan benda-benda itu tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.
Dalam ayat 191 dan 192 ini, Allah Ta’ala mencela sikap, cara pemikiran dan tingkah laku orang-orang musyrik itu. Mereka menyekutukan-Nya dengan berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun dan juga tidak dapat memberi sebarang manfaat kepada mereka, bahkan berhala-berhala tersebut itu pun mereka sendiri yang membuatnya. Ini menunjukkan betapa lemahnya sembahan-sembahan mereka yang dijadikan tempat pergantungan.
Adalah tidak wajar bagi orang yang mempunyai akal fikiran yang waras menjadikan berhala sebagai sembahan, baik ia dipandang sebagai sekutu Allah Ta’ala dalam beribadah atau pun sebagai perantara manusia dengan-Nya. Ini kerana segala pujian atau sembahan kepada selain Allah Swt sedikit pun tidak ada faedahnya. Firman-Nya:
“Wahai sekalian manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, meskipun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemah yang menyembah dan amat lemah pula yang disembah.”
Al-Hajj 22:73
Ayat 193
وَإِن تَدْعُوهُمْ إِلَى ٱلْهُدَىٰ لَا يَتَّبِعُوكُمْ ۚ سَوَآءٌ عَلَيْكُمْ أَدَعَوْتُمُوهُمْ أَمْ أَنتُمْ صَـٰمِتُونَ
Dan jika kamu (hai kaum musyrik) menyeru benda-benda itu untuk memperoleh petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat menurut (menyampaikan hajat) kamu; sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu menyerunya atau mendiamkan diri.
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa berhala-berhala tersebut tidak layak untuk disembah dan diagung-agungkan. Ini kerana tidak ada kebaikannya yang dapat diharapkan daripada berhala-berhala tersebut. Berhala itu tidak mampu memahami seruan atau doa, tidak boleh mendengar dan tidak akan memahami perkataan mereka. Jika seperti inilah sifat berhala-berhala tersebut maka jelaslah bahawa berhala-berhala itu tidak layak dianggap sebagai Tuhan yang disembah.
Sebaliknya yang hanya layak disembah adalah Allah Yang Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Menolong, Maha Berkuasa, boleh memberi manfaat dan bahaya juga Hakim Yang Maha Adil pada Hari Kebangkitan.
Ayat 194
إِنَّ ٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ عِبَادٌ أَمْثَالُكُمْ ۖ فَٱدْعُوهُمْ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لَكُمْ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.
Allah Ta’ala menerangkan bahawa sembahan-sembahan selain-Nya yang menjadi tujuan doa kaum musyrikin itu sebenarnya adalah makhluk yang lemah seperti mereka juga. Oleh itu, bagaimana mungkin mereka memanjatkan doa kepada berhala-berhala yang sebenarnya makhluk-Nya seperti mereka juga yang sama-sama tunduk kepada kudrat dan iradat-Nya. Sesungguhnya perbuatan mereka yang memohon kepada berhala-berhala itu adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh akal.
Oleh itu pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyindir mereka agar memanggil berhala-berhala itu dan melihat adakah berhala-berhala itu dapat menyahut panggilan mereka.
Ayat 195
أَلَهُمْ أَرْجُلٌ يَمْشُونَ بِهَآ ۖ أَمْ لَهُمْ أَيْدٍ يَبْطِشُونَ بِهَآ ۖ أَمْ لَهُمْ أَعْيُنٌ يُبْصِرُونَ بِهَآ ۖ أَمْ لَهُمْ ءَاذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا ۗ قُلِ ٱدْعُوا۟ شُرَكَآءَكُمْ ثُمَّ كِيدُونِ فَلَا تُنظِرُونِ
Adakah benda-benda (yang kamu sembah) itu mempunyai kaki yang mereka dapat berjalan dengannya, atau adakah mereka mempunyai tangan yang mereka dapat memegang (menyeksa) dengannya, atau adakah mereka mempunyai mata yang mereka dapat melihat dengannya, atau adakah mereka mempunyai telinga yang mereka dapat mendengar dengannya? Katakanlah (wahai Muhammad): “Panggilah benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah, kemudian kamu semua jalankan tipu daya terhadapku, serta jangan pula kamu bertangguh lagi.
Allah swt mengingatkan lagi kepada penyembah-penyembah berhala, bahawa berhala-berhala itu bukan sahaja tidak sama taraf dengan mereka bahkan lebih rendah daripada mereka. Ini kerana berhala-berhala itu tidak memiliki anggota tubuh yang lengkap seperti kaki, tangan, mata dan lain-lain yang dapat menunaikan permohonan dan tuntutan penyembahnya. Sepatutnya benda-benda yang disembah itu lebih lengkap dan sempurna keadaannya daripada orang yang menyembahnya.
Peringatan Allah Ta’ala ini merupakan ejekan dan penghinaan kepada kaum musyrikin. Namun kaum musyrikin itu tidak menginsafi keadaan diri mereka, bahkan mereka bersikap sombong. Mereka enggan menerima petunjuk dan pelajaran daripada Rasulullah saw dengan alasan bahawa Baginda adalah seorang manusia. Mereka berkata sesama mereka sebagaimana firman Allah swt:
“Dan berkatalah pemuka-pemuka yang kafir di antara kaumnya dan yang mendustakan akan menemui Hari Akhirat (kelak) dan yang telah Kami mewahkan mereka dalam kehidupan di dunia, ‘(Orang) ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, dia makan daripada apa yang kamu makan, dan minum daripada apa yang kamu minum. Dan sesungguhnya jika kamu sekalian mentaati manusia yang seperti kamu, nescaya bila demikian, kamu benar-benar (menjadi) orang-orang yang merugi.’”
Al-Mu’minun 23:33-34
Ayat 196
إِنَّ وَلِـِّۧىَ ٱللَّهُ ٱلَّذِى نَزَّلَ ٱلْكِتَـٰبَ ۖ وَهُوَ يَتَوَلَّى ٱلصَّـٰلِحِينَ
“Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan”
Allah Ta’ala memberi petunjuk kepada Rasulullah saw agar mengucapkan kepada kaum musyrikin bahawa sesungguhnya hanya Dia lah yang menjadi pelindungnya, yang menguasai urusannya dan yang menjadi penolongnya. Dia lah yang menurunkan Al-Quran kepada Baginda yang mengandungi seruan tauhid dan membuang kesyirikan.
Allah Ta’ala juga akan memberikan pertolongan dan perlindunganNya kepada hamba-hambaNya yang soleh sama ada dikalangan para rasul atau orang-orang yang beriman.
Ayat 197
وَٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِهِۦ لَا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَكُمْ وَلَآ أَنفُسَهُمْ يَنصُرُونَ
Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri.
Allah Ta’ala menegaskan kembali kepada kaum musyrikin bahawa berhala-berhala yang mereka harapkan pertolongan itu tidak dapat memberi manfaat mahupun menolak kemudaratan kepada mereka.
Ayat ini juga menunjukkan bahawa berhala-berhala itu tidak berhak disembah kerana mereka tidak memiliki kemampuan membela diri ketika ada yang menyerangnya, apalagi untuk menolong penyembahnya.
Ayat 198
وَإِن تَدْعُوهُمْ إِلَى ٱلْهُدَىٰ لَا يَسْمَعُوا۟ ۖ وَتَرَىٰهُمْ يَنظُرُونَ إِلَيْكَ وَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ
Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya; dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.
Ayat ini merupakan hujah kepada kaum musyrik, bahawa sembahan mereka yang mereka sangkakan sebagai Ilah, adalah berhala yang sangat lemah iaitu tidak dapat mendengar dan tidak boleh melihat.